Sunday, May 18, 2014

Pencalonan Dyana Sofya Daud-Pembuka Mata

Bukan sahaja pemimpin BN malah penyokong BN mempersoalkan kesediaan Dyana Sofya Daud menjadi calon DAP bagi PRK Teluk Intan.

Persoalan mereka, Dyana tidak akan sampai ke tahap itu, kalau bukan kerana ikhsan UITM dan atas sebab ibunya sendiri seorang pemimpin veteran Umno.

Satu persoalan, akan sampai kah Dyana pada tahap sekarang ini, jika dia tidak menyongsang? Dyana setamat daripada pengajian di Uitm kemudian jadi peguam, terus menyertai DAP pada tahun 2012. Kemudian dia aktif membantu Lim Kit Siang sebagai calon DAP pada PRU-13 bagi Parlimen Gelang Patah untuk mengalahkan calon Umno/BN mantan Menteri Besar Johor-Datuk Abdul Ghani Othman.

Pada usia relatif muda, 27 tahun, telah menjadi calon peringkat parlimen; dan jika menang maka akan menjadi ahli parlimen termuda.

DAP sepertimana ramai tahu adalah parti racis, atas sebab parti itu dimonopoli hanya satu kaum, walaupun beberapa pemimpin utamanya seperti mendiang Karpal Singh menempah nama melalui parti itu.

Sokongan melayu terhadap DAP sejak sekian lama minima sekali, walaupun pada tahun 1990 berlaku kesepakatan antara parti itu dengan S-46, kemudian membentuk Barisan Alternatif dengan parti yang sama, sebelum parti itu dibubarkan.

Kemudian DAP berkerjasama dengan Parti Keadilan, sebelum menjadi parti keadilan rakyat bersama PAS, untuk berdepan dengan beberapa pilihanraya, namun sokongan melayu tidak pernah kunjung datang. Tamparan hebat kepada parti itu pada PRU-2004, di mana ramai pemimpin parti itu kalah termasuk Lim Kit Siang dan Karpal Singh.

Namun pada PRU-2008, angin perubahan berlaku, kemudian diikuti PRU-13, di mana DAP dengan sokongan padu kaum cina dan india dan sedikit melayu, akhirnya mendapat kerusi kedua terbanyak di dewan rakyat selepas Umno.

DAP melihat, bahawa dengan sokongan sedikit kaum melayu, maka parti itu akan mampu menorobos penguasaaan BN, seperti terbukti pada PRU-13.

Kini, untuk mengyakinkan melayu, bahawa DAP tidak selamanya racis, maka memilih Dyana Sofya Daud untuk bertanding bagi kawasan majoriti kaum cina, seperti mana PKR lakukan di Parlimen Pandan.

DAP tahu, walaupun tindakan itu mengurangkan MP DAP kaum cina di Dewan Rakyat; namun ianya merupakan satu strategi atau umpan untuk mendapatkan habuan yang lebih besar, terutama pada PRU-14 akan datang.

Bagi mereka yang berumur 50-an pada masa ini, memang tahu benar bahawa perjuangan DAP itu berideologi sosialis, perjuangan kesamarataan, anti monarkhi, dan Malaysian Malaysia; akan tetapi generasi muda seperti Dyana Sofya Daud, tidak mengerti itu semua, yang penting peluang yang diberikan perlu digarap dan perlu digenggam, kerana peluang seperti itu, bukan mudah untuk diperolehi.

Sangkaan orang bahawa suatu hari nanti, bahawa dia akan menyesal sepertimana berlaku pada pemimpin melayu yang pernah menyertai DAP, bukan suatu persoalan, yang penting peluang terbuka luas, apatah lagi, hanya 2 tahun menjadi ahli, kemudian mendapat jawatan setiausaha politik kepada pemimpin kanan Lim Kit Siang, kemudian diberi peluang bertanding bagi kerusi Parlimen, bukan mudah diperolehi di mana-mana parti.

AYT tidak melihatnya satu kepelikan, seorang muda yang berpotensi, seharusnya tidak melepaskan peluang yang diberikan, meskipun peluang itu merupakan katalis kepada penghapusan hak-hak pada kaumnya sendiri. Kalaulah peluang itu tidak diambil oleh Dyana, mungkin orang muda lain akan mengambilnya.

Atas sebab itu, bagi Umno atau Bn, jangan salahkan lantai kalau tidak tahu menari. Jangan salahkan Dyana kerana membuat pendirian yang berbeza, salahkan pendekatan yang dipupuk selama lebih setengah abad, mengapa keadaan ini boleh berlaku kepada seorang anak pemimpin Umno sendiri.

Janganlah kita terlalu tertutup, beberapa hari lalu, semasa krisis Terengganu, seorang mantan Menteri Besar dan dua ADUN Umno, untuk seketika keluar daripada parti; di mana seharusnya tidak perlu berlaku. Sedangkan Dyana hanya seorang wanita muda, yang tidak mempunyai apa-apa kedudukkan dalam parti, dan bukan ahli Umnopun dan hanya kebetulan tamat belajar daripada UITM, satu institusi yang dipelopori Umno dan ibunya seorang pemimpin wanita Umno.

Apa yang kita saksikan, bahawa semasa pengumunan calon, ibu Dyana terus bersamanya, memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada anaknya, malah akan turut berkempen untuk memastikan kemenangan anaknya.

Pemimpin Umno perlu bertanya pada diri sendiri, mengapa ini berlaku? para pemimpin juga perlu bertanya apa yang tidak kena dengan Umno? sehingga Datuk Ahmad Said bersama dua ADUN Terengganu untuk beberapa ketika keluar parti?

Pemimpin Umno kena ingat, terutama mereka yang diberi peluang menjadi wakil rakyat, sebenarnya ikhsan daripada rakyat, atas sebab itu, apabila berada disinggahsana, janganlah terus mendongkak ke langit, ingat juga rumput yang dipijak. Dalam rumput yang dipijak itulah lahirnya Dyana, kemudian bangun dengan caranya sendiri, dan kini menjadi cemohan pula. Satu persoalan, jikalah Dyana tidak memunculkan dirinya, ada siapakan pemimpin Umno mampu menyebut namanya? sebagai misalanya penulis blog ini, walaupun ahli Umno, namun kalau adapun yang mampu menyebut nama, hanya ketua bahagian di mana AYT bernaung.

Pencalonan Dyana bagi mewakili DAP, bukan sahaja menjadi cemohan para pemimpin Umno akan tetapi menjadi perhatian penulis pojok Utusan Malaysia, surat khabar arus perdana milik Umno. Malah penulis itu, membuat kesimpulan, bahawa suatu hari Dyana akan menyesal sepertimana pengakuan para pemimpin melayu di mana suatu ketika pernah menyertai parti racis itu. Namun, suatu keadaan yang perlu diakui, bahawa jika Dyana tidak mencoba dengan caranya, mungkin kah dia dikenali begitu rupa, malah menjadi sumber berita.

Sempena PRK Teluk Intan, berkempenlah cara bermaruah, dengan menghindari unsur pribadi. Beritahu pengundi Teluk Intan, bahawa Presiden Parti Gerakan akan mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengundi, atas sebab parti yang diwakilinya adalah parti kerajaan. Sebaliknya kalau memilih Dyana, ianya hanya mampu berceloteh di dewan rakyat; tanpa faedah kepada penggundi Teluk Intan. Jika ini yang diberitahu kepada pengundi, dan masih juga memberi kemenangan kepada Dyana, ertinya pengundi Teluk Intan, tidak memerlukan pembelaan kerajaan yang memerintah- titik. Untuk itu semasa kempen, BN perlu menghindar daripada umum sana umum sini berbagai projek; kerana telah terbukti cara itu tidak mustajab lagi.

No comments:

Blog Archive