Latest News

MH370 boleh 'dihilangkan'

 Spekulasi mengatakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dirampas oleh pihak tertentu boleh diterima kerana menurut pakar penerbangan, pesawat tersebut boleh 'dihilangkan' daripada radar secara sengaja menggunakan teknologi ketenteraan.

Mengulas perkara itu, bekas juruterbang MAS selama 15 tahun, Hazri Satriawan Haron, 42, berkata, MH370 boleh menjadi 'halimunan' sekiranya terdapat sekurang-kurangnya tiga pesawat Stealth iaitu pesawat perang antiradar yang terbang berhampiran atau di bawahnya.

Katanya, pada masa sama, individu yang menerbangkan pesawat Stealth juga boleh melakukan pintasan terhadap frekuensi radio yang digunakan mana-mana pesawat komersial berhampiran menyebabkan isyarat kecemasan yang dihantar juruterbang tidak sampai ke menara kawalan.

Hazri yang juga Pengurus Kualiti dan Keselamatan, Asia Pasific Flight Training (APFT) berkata, meskipun teori itu sukar diterima, namun boleh dilakukan asalkan pihak merancang rampasan mempunyai akses kepada mana-mana pesawat Stealth, sistem satelit dan melakukan perancangan dengan teliti.

"Pesawat Stealth direka khas untuk mengelak daripada dikesan oleh radar biasa dan melalui formasi khusus iaitu sekiranya terdapat tiga pesawat tersebut terbang di bawah MH370 pada jarak antara 30 hingga 60 meter, secara automatik MH370 juga akan 'hilang' daripada radar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pesawat Stealth yang hanya dimiliki oleh beberapa negara kuasa besar mempunyai keupayaan untuk memesongkan pancaran radar selain menyerap transmisi radio daripada pesawat yang terbang berhampiran.

Sehubungan itu, katanya, selain tindakan juruterbang sendiri, hanya pesawat Stealth yang boleh menyebabkan juruterbang terputus hubungan dengan menara kawalan sebelum transponder pesawat dipadamkan atau selepas rampasan berjaya dilakukan.

"Andaiannya mudah iaitu perkara tersebut mungkin telah dirancang dengan tiga pesawat itu terbang di bawah MH370 untuk memastikan radar tidak dapat mengesannya lalu pada masa itulah macam-macam boleh berlaku termasuk cubaan merampas penguasaan pesawat daripada juruterbang.

"Saya percaya juruterbang ada menghubungi menara kawalan namun gagal kerana sistem radio yang digunakan itu sudah dipintas menyebabkan aduannya hanya sampai pada pesawat Stealth yang terbang berhampirannya," katanya.

Sementara itu, ditanya kemungkinan juruterbang sendiri memainkan peranan dalam kehilangan MH370, Hazri berkata, sebagai bekas juruterbang, perkara tersebut sukar diterima.

Ini kerana, katanya, untuk mencapai tahap kapten bukan mudah sebaliknya memerlukan tempoh yang lama dengan pengalaman dan kecintaan yang tinggi terhadap kerjaya, maka tidak mudah untuk seseorang juruterbang bertindak di luar batas.

"Memang ada kemungkinan juruterbang terlibat sama, namun secara peribadi saya tidak percaya. Bagi saya, tindakan itu memerlukan satu dorongan yang luar biasa untuk seseorang juruterbang berpengalaman merampas sendiri pesawatnya dan bertindak di luar dugaan," katanya.

Tambahnya, andaian rampasan dilakukan oleh penumpang boleh diterima terutama bagi individu dengan kepakaran dalam teknologi elektronik yang boleh digunakan untuk mematikan sistem keselamatan dalam pesawat.

"Untuk masuk ke dalam kokpit pesawat tidak mudah memandangkan pintu tersebut dikunci menggunakan sistem magnetik dari dalam bagi menjamin keselamatan juruterbang malah kapten juga boleh melihat apa yang berlaku di luar kokpit melalui kamera yang disediakan.

"Namun, sistem magnetik itu boleh dimatikan dari luar kokpit sekiranya kita tahu kod yang digunakan. Lazimnya, kod tersebut hanya diketahui oleh jurutera penerbangan yang terlatih selain syarikat yang membina kapal terbang itu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140317/dn_10/MH370-boleh-dihilangkan#ixzz2wDPPj5pq
© Utusan Melayu (M) Bhd

0 Response to "MH370 boleh 'dihilangkan'"

Blog Archive