Sunday, December 22, 2013

Pertubuhan PERKASA: Hanya Duri Dalam Umno

HATI-HATI terhadap pendekatan Pertubuhan Perkasa (Perkasa) sebuah NGO yang dipimpin Ibrahim Ali. Samada pertubuhan itu menjadi faktor sokongan melayu kembali kepada Umno atau BN pada PRU-13 lalu merupakan satu tanda tanya.

Satu fakta nyata, bahawa dua pemimpin tertinggi pertubuhan itu yang bertanding di kawasan majoriti melayu pada PRU-13, ternyata ditolak oleh kaum melayu. Apa ertinya itu? Perkasa bukanlah faktor penyebab kembalinya kaum melayu Semenanjung menyokong Umno atau Bn.

Melihat kepada trend pemilih pada dua pilihanraya umum 2008 dan 2013, faktor sokongan melayu tidak semestinya menyebabkan Bn masih menguasai Putrajaya. Jumlah kerusi Umno di Semenanjung hanya 73 daripada 107 kerusi yang ditandingi atau 56 peratus daripada 166 jumlah kerusi Parlimen di Semenanjung.

Daripada 166 kerusi itu, 38 kawasan adalah majoriti kaum cina, 9 majoriti India dan 12 kerusi kawasan bukan bumiputera. Ertinya, 59 kawasan adalah kawasan bukan melayu.

Fakta melalui PRU-13 lalu, daripada 166 kerusi Parlimen di Semenanjung, 82 atau 49.4 peratus dimenangi Pakatan Rakyat. Bayangkan kalau MCA tidak mampu menyumbang kerusi? dan semua kawasan bukan melayu di menangi Pakatan Rakyat? Pakatan Rakyat tidak memperlukan sokongan Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Pendekatan Perkasa yang ekstrem tidak akan mampu membawa kaum melayu yang menjadi penyokong tegar pembangkang menyokong Umno atau Bn, sebaliknya akan mendorong kaum lain menolaknya. Fakta menunjukkan, bahawa status quo keputusan PRU-12 diteruskan pada PRU-13, malah Bn kehilangan 7 kerusi Parlimen, daripada Sarawak 7 dan Sabah 2, walaupun Bn di Semenanjung menambah dua kerusi berbanding tahun 2008.

Tindakan Perkasa mungkin positif bagi kaum melayu di luar bandar di Semenanjung, tetapi membawa impak negatif yang besar bagi pengundi bumiputera di Sabah dan Sarawak serta kaum bukan melayu di Semenanjung.

Impak negatif terhadap pendekatan Perkasa yang kononnya ultra melayu dalam Umno adalah kekalahan beberapa kerusi di Sabah seperti Parlimen Penampang, Dun Kedamaian dan Dun Tamparuli.

Pemimpin Bn terutama para pemimpin Umno kena mengambil iktibar daripada fakta-fakta yang disebutkan, jika Bn tidak mahu mengalami kata peribahasa Menang sabung kampung tergadai.
 
Pendirian Perkasa yang berkaitan dengan agama merupakan perkara sensitif bagi pengundi Sabah dan Sarawak.  Atas sebab itu, jika Perkasa, masih kelihatan berafiliasi dengan Umno, ada kemungkinan besar, gabungan 13 parti itu akan kehilangan sokongan pengundi bukan melayu di Semenanjung dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Jangan mimpi bagi Bn untuk merampas 82 kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat di Semenanjung, malah pakatan 3 parti itu boleh menambah kerusi. Fikir-fikirkan lah.

No comments:

Blog Archive