Friday, October 04, 2013

Naib Presiden: Ali Yakin Calon-Calon Bertanding Secara SOLO

CALON Naib Presiden Umno yang juga bekas ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yakin ahli Umno matang untuk menilai bahawa tiada pasukan dalam pertandingan untuk tiga tempat bagi jawatan itu pada pemilihan 19 Oktober ini. 

Katanya, beliau sendiri bergerak solo untuk memenangi hati akar umbi kerana percaya sebarang bentuk pasukan dalam pertandingan akan membentuk pepecahan dalam parti, lapor Utusan Malaysia hari ini.

"Umno tidak membenarkan adanya berpasukan, ini adalah tradisi. Kalau ada kebetulan, orang sebut-sebut, itu tiada masalah. Saya memang bergerak solo dan sudah tentunya ada tiga tempat untuk naib presiden.

"Kalau berlakunya berpasukan seperti dahulu adanya Tim Wawasan dan bukan Tim Wawasan, akan berlakunya masalah. Bagaimanapun, saya yakin ahli-ahli Umno sudah matang," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Sementara itu, Berita Harian hari ini pula melaporkan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan calon bertanding jawatan itu agar tidak terlalu yakin untuk menang.

Menurutnya, kuasa untuk membuat keputusan mengenai calon yang paling layak mengisi jawatan itu pada 19 Oktober ini terletak di tangan kira-kira 146,500 perwakilan seluruh negara.

"Saya rasa masih terlalu awal untuk membuat ramalan mengenai calon mana yang akan menang dalam pemilihan nanti. Kita tidak tahu apa yang ada dalam hati perwakilan Umno yang bakal membuat keputusan nanti," katanya seperti dilapor oleh akhbar itu.

Hishammuddin yang juga menteri pertahanan mengulas kenyataan Mohd Ali yang yakin mempunyai peluang cerah untuk menang berdasarkan faktor pengalaman luas dalam politik termasuk pernah mejadi naib presiden.

Berasaskan bancian Blog ini, dalam tempoh 24 jam, undian terhadap Ali mendadak dengan ketara sekali, di mana pada 3 Oktober, beliau mendapat undi 117, kini melonjak kepada 566, kenaikan 384 peratus, manakala Munkhriz daripada 382 meningkat 610 meningkat 60 peratus, Zahid pula daripada 346 kepada 467 naik 35 peratus, manakala Shafie daripada 172 kepada 222 naik 29 peratus. Pengundi boleh mengundi sebanyak 3 kali, berasaskan jumlah Naib Presiden yang bakal dipilih.

No comments:

Blog Archive