Tuesday, October 08, 2013

Musa Ketua Menteri Sabah Paling Berjaya

SEMPENA pemilihan Umno untuk memilih barisan kepimpinan parti bagi 2013-2016, Datuk Musa Haji Aman, tidak bertanding sebarang jawatan, kecuali mempertahankan Ketua Bahagian Umno Libaran.

Pada pemilihan tahun 2009, Musa mendapat undi kedua tertinggi dalam barisan Ahli Majlis Tertinggi bersama Datuk Noh Omar daripada Selangor. Pada pemilihan kali ini, kedua-duanya tidak mempertahankan jawatan.

Musa yang dilantik sebagai Ketua Perhubungan Umno selepas Datuk Uso Sukam melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun 2003 menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat dalam sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah.

Sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah dimansuhkan selepas PRU-2004, akibat cadangan komponen BN Sabah mencadangkan agar sistem itu dimansuhkan, ekoran kejayaan Musa membawa kemenangan cemerlang kepada BN. Pada PRU itu, hanya satu kerusi DUN terlepas, iaitu DUN Kuala Penyu kepada calon bebas John OT Ghani, seorang mantan pengasas Umno Sabah.

Dari segi poitik, Musa terus membawa kejayaan kepada BN Sabah; atas sebab itu, Sabah dianggap sebagai simpanan tetap BN, ekoran kejayaannya terus memberi jumlah kerusi yang mencukupi kepada BN untuk mempertahankan Putrajaya.

Pada PRU-13 lalu, walaupun BN Sabah tidak menang 100 peratus, namun merupakan salah satu negeri penyumbang kerusi terbanyak kepada BN secara keseluruhan.

Selepas 10 tahun menjadi Ketua Menteri Sabah, selain melakar berbagai kemajuan bagi Sabah, Musa juga melepasi Jinx 9 tahun, di mana sebelum ini, Sabah biasanya bertukar kerajaan selepas 9 tahun, bermula daripada kerajaan Usno hinggalah kepada kerajaan PBS.

Sabah selepas 10 tahun, bukan sahaja terus maju daripada segi pembangunan fizikal, juga berjaya menurunkan kadar kemiskinan. Kini, kadar kemiskinan negeri berada pada tahap 8 peratus, berbanding tahun 2009 yang 20 peratus. Kadar ini akan terus menurun sesuai dengan perancangan kerajaan sesuai dengan hala tuju pembangunan Sabah sehingga tahun 2015.

Ucapan Musa, pada Sabtu semepena menyambut Hari Jadi Tuan Yang Terutama Sabah, beliau mengulangi komitmen kerajaan untuk melangkah maju ke depan, menerusi berbagai program yang sedang di rangka terutama dalam RMK-10.

Sabah yang merdeka pada 31 Ogos 1963 daripada British dan bersama Malaya, Sarawak, Singapura membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Satu catatan sejarah sebelum Sabah menyertai Persekutuan Malaysia, adalah kenyataan Perdana Menteri Malaya yang juga Perdana Menteri Malaysia pertama- YTM Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, bahawa Sabah dan Sarawak bukan negeri ke-13 atau 14 akan tetapi adalah equal partner dalam persekutuan Malaysia.

Dalam tempoh 50 tahun Sabah berada dalam Malaysia, negeri di bawah bayu mencipta terlalu kerap menukar kerajaan, berbanding Sarawak jiran; dan jauh sekali dengan Malaya dan Singapura, kerana ke dua negara itu tidak pernah bertukar kerajaan.

Selama 50 tahun, Sabah telah mengalami lima kali pertukaran kerajaan, dan terakhir pada tahun 1994, apabila kerajaan PBS pimpinan Datuk Pairin Kitingan (kini Tan Sri) rebah selepas PRU-94 negeri, kerana dua ADUN parti itu melompat ke Parti Umno.

Dalam perjalannya, Sabah terus melakar sejarah tersendiri, namun lakaran sejarah itu, sebenarnya bukan untuk kepentingan rakyat.

Sabah adalah negeri yang ramai Ketua Menteri, selain paling banyak parti politik. Sabah juga adalah negeri yang paling ramai pendatang asing, selain negeri yang amat peka terhadap perubahan semasa.

Dari sekian ramai Ketua Menteri, Musa yang merupakan Ketua Menteri yang ke-14 merupakan KM terlama, berbanding KM yang lain. Berbanding dengan Pairin- 9 tahun, Harris 9 dan Tun Mustapha-8 tahun.

No comments:

Blog Archive