Latest News

PRK Kedua Selepas PRU-13: ADUN Sungai Limau Kosong-Tan Sri Azizan Meninggal Dunia

Pulangnya Tan Sri Azizan Razak ke rahmatullah pagi ini menyaksikan pilihan raya kecil (PRK) kedua bakal diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

PRK pertama di DUN Kuala Besut, Terengganu pada 24 Julai lalu.

Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau memenangi kerusi tersebut pada PRU13 lalu dengan majoriti 2,774 undi menerusi pertandingan empat penjuru
.
Beliau yang mewakili PAS memperolehi 13,294 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Fazillah Mohd Ali dengan 10,520 undi dan dua lagi calon bebas iaitu Abdullah Hashim dan Sobri Ahmad yang masing-masing hilang wang pertaruhan.

Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi masa 60 hari selepas menerima notis rasmi daripada speaker DUN mengesahkan kekosongan kerusi itu.

Bekas Menteri Besar Kedah itu meninggal dunia kira-kira jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada umur 68 tahun selepas menghadapi komplikasi jantung sejak dua hari lalu.

Azizan dilahirkan pada 25 Oktober 1944 dan meninggal dunia sebulan sebelum ulang tahun kelahirannya ke-69.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah selepas Pakatan Rakyat memenangi negeri itu semasa PRU12 pada 2008.

Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, seterusnya ke Maktab Mahmud pada 1959 dan kemudiannya menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir dalam jurusan Sarjana Muda Syariah serta mendapat pendidikan undang-undang dari Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom.

Antara jawatan yang disandangnya ialah Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama PAS (1991 hingga kini), Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993 hingga kini) selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga kini),

Selain itu, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Perhubungan PAS Kedah pada tahun 2000. Beliau memenangi kerusi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) sejak 1995 hingga kini.

0 Response to "PRK Kedua Selepas PRU-13: ADUN Sungai Limau Kosong-Tan Sri Azizan Meninggal Dunia"

Blog Archive