Latest News

Pemilihan Umno: Semua Suspen Berakhir

SEMUA suspen sudah berlalu selepas jam 5 petang hari Sabtu, selepas tamat masa untuk menyerahkan borang pencalonan merebut jawatan-jawatan yang dipertandingkan dalam pemilihan UMNO Oktober ini.

Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sah milik Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas tiada sesiapa menghantar borang pencalonan untuk mencabar kedua-dua jawatan tertinggi UMNO itu selepas jam 5 petang ini.

Ini bermakna kedua-dua mereka akan terus mengemudi UMNO untuk penggal kedua bagi tempoh tiga tahun lagi.



Bagi jawatan Naib Presiden UMNO penyandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Afdal akan berdepan dengan saingan dari bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam, Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad dan Menteri Besar Kedah Datuk Paduka Mukhriz Mahathir.

Bagi jawatan Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil berdepan kejutan saat akhir selepas ADUN Muaazamshah Pahang, Datuk Maznah Mazlan menfailkan borang pencalonan untuk menentang Shahrizat.

Sebelum itu, seorang lagi calon, Raihan Sulaiman Palestin turut menfailkan borang pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita UMNO.

Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO, Khairy berdepan dengan empat calon lain, selepas anak bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri

Sanusi Junid, Akhramsyah Muammar Ubaidah bersama bekas Ketua Pemuda Merbok Karim Ali, ahli UMNO bahagian Pandan Syed Rosli Syed Herman serta Ahli UMNO Ampang Irwan Ambak menfailkan borang pencalonan masing-masing hari ini.

Bagi jawatan Ketua Puteri yang dikosongkan oleh Datuk Rosnah Rashid, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Binti Samsudin dan Ketua Puteri Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman (gambar) akan berentap untuk mengetuai sayap Puteri UMNO.

Pertandingan di peringkat bahagian juga meriah apabila menyaksikan banyak ketua-ketua bahagian dicabar. Antaranya adalah Ketua Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Bahagian Semporna Datuk Seri Shafie Apdal, Ketua Bahagian Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz, Ketua Bahagian Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Ketua Bahagian Bera Datuk Seri Ismail Sabri, Ketua Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Bahagian Kota Belud Datuk Seri Salleh Said serta Ketua Bahagian Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar

Turut dicabar di peringkat bahagian adalah Ketua UMNO Johor Bahru Tan Sri Shahril Samad. Beliau memegang jawatan tersebut sejak 30 tahun lalu tanpa dicabar. Selain itu Datuk Seri Ali Rustam turut dicabar oleh ahli biasa di bahagian Bukit Katil. Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron turut dicabar oleh ahli biasa di bahagian Tangga Batu.

0 Response to "Pemilihan Umno: Semua Suspen Berakhir"

Blog Archive