Wednesday, September 25, 2013

Pemilihan Umno: Pertarungan Naib Presiden Jadi Tumpuan

TELAH muktamad, pertarungan bagi jawatan Naib Presiden UMNO yang akan diadakan pada Oktober ini kekal ditandingi oleh enam calon termasuk tiga penyandang apabila kesemua mereka mengesahkan penyertaan selepas tamat tempoh bertenang pada Selasa.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang akan mempertahankan jawatan.

Ketiga-tiga mereka yang menyandang jawatan itu sejak 2009 akan dicabar oleh Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Felda yang juga Ahli Parlimen Jempol Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Sudah pastilah pertarungan bagi jawatan Naib Presiden paling mendapat tumpuan apabila jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang disandang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas proses penamaan calon selesai pada Sabtu lalu.

Sebanyak 146,500 ahli UMNO di seluruh negara akan membuat keputusan sama ada mengekalkan ketiga-tiga penyandang atau sebaliknya. Pertarungan bagi jawatan tersebut juga dijangka berlangsung sengit memandangkan kesemua calon mempunyai kekuatan dan penyokong masing-masing.

Namun begitu turut menarik perhatian, ia pertarungan bagi merebut kerusi Majlis Tertinggi (MT) apabila difahamkan kesemua 64 calon mengesahkan akan bertanding termasuklah 18 penyandang dan seorang ahli MT yang dilantik.

Bagi jawatan Ketua Wanita UMNO pula, penyandangnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sah akan ditentang oleh bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan dan Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Kulim Bandar Bharu, Raihan Suleiman Palestin. Walaupun Shahrizat dikatakan mendapat sokongan padu kesemua ketua Wanita negeri namun saingan dua pencabarnya khususnya daripada Maznah tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Ini kerana Maznah dikatakan turut mempunyai penyokong memandangkan beliau merupakan salah seorang Exco Wanita yang dipimpin oleh Shahrizat.

Bagaimanapun jawatan Naib Ketua hanya menyaksikan pertarungan dua penjuru antara Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang Datuk Suraya Yaakub dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd.Dun. Ia berikutan tindakan Ketua Penerangan Wanita UMNO Datuk Hamidah Osman menarik diri bagi memberi tumpuan kepada perebutan kerusi MT.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin disahkan menghadapi tentangan daripada empat calon lain bagi mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Mereka ialah Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bendang Baru Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Ketua Pemuda UMNO cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak, Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Pandan, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail dan bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian Merbok Abd. Karim Ali.

Berdasarkan latar belakang pencabar yang kurang dikenali di peringkat nasional, Khairy dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk mengekalkan jawatan.

Jawatan Naib Ketua Pemuda pula yang dikosongkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim disahkan akan direbut oleh empat calon termasuk dua Exco Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar dan Lokman Noor Adam. Mereka akan bersaing dengan Ketua Pemuda UMNO Perak Datuk Khairul Azwan Harun dan Ketua Pemuda UMNO Lenggong Mohamad Iruan Zulkefli.

Kerusi Ketua Puteri UMNO kekal menyaksikan perebutan antara Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyanti Samsudin dan Ketua Puteri UMNO Petaling Jaya Selatan Jamilah Hanim Othman manakala jawatan Naib Ketua Puteri pula akan direbut oleh Ketua Puteri Kulim Bandar Bharu Datin Nor Sabrina Mohd.Noor, Ketua Puteri Pandan Zahida Zarik Khan dan Ketua Puteri Tawau Nazliah Ali.

Senarai calon yang disahkan layak untuk bertanding akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra,  pukul 4 petang Rabu.

Pemilihan bagi sayap parti akan diadakan pada 12 Oktober manakala untuk kerusi MT termasuk Naib Presiden pula pada 19 Oktober.

No comments:

Blog Archive