Saturday, September 28, 2013

Pemilihan Umno; Kemenangan Calon-Calon Muda Indikasi Umno Mahu Berubah

UMNO kini diteropong bukan sahaja oleh 3.5 juta ahlinya, akan tetapi oleh seluruh rakyat negara ini.

Pemilihan parti pada Oktober ini, akan melahirkan indikasi bahawa parti itu sanggup berubah. Berubah sesuai dengan tuntutan zaman. Umno tidak mahu mengikuti jejak Parti kongres India, Parti Golkar Indonesia dan Parti LDP Jepun, apabila kecundang baharu akan menerima perubahan.

Kemenangan calon-calon muda adalah satu indikasi kepada perubahan itu. Ertinya, parti menyahut proses transformasi dalam parti. Kemenangan calon-calon muda boleh dilihat sebagai transformer kepada parti.

Atas sebab kemenangan calon-calon muda merupakan petunjuk berlakunya perubahan dalam parti, maka ada calon-calon yang sebenarnya secara fizikal bukan muda lagi, tetapi membawa aspirasi pemuda. Pada situasi begini, kita patut angkat topi pada calon-calon ini.

Kemasukan calon-calon muda menawarkan diri bertanding bagi barisan depan parti; menunjukkan bahawa pemimpin pelapis itu, sanggup memikul tanggungjawab dan amanah yang lebih besar.

Walaupun dilihat calon-calon yang dikategorikan muda pada masa sekarang, namun pada PRU-14, mereka itu bukan muda lagi. Bagi mempersiapkan parti berdepan dengan PRU-14 itu, maka sayogia, pemimpin muda diberi peluang seluas-luasnya membarisi kepimpinan parti.

Kemasukan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai calon Naib Presiden, merupakan Game changer dalam pemilihan kali ini. Kemenangan beliau, memperkukuhkan proses transformasi dalam parti benar-benar belaku; namun jika sebaliknya berlaku; parti akan dilihat lesu bukan sahaja oleh ahli-ahli parti akan tetapi oleh rakyat jelata.

Calon-calon muda seperti Datuk Abdul Rahman Dahalan (RD4MT #32), Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan (Tawfiq4amt #08) adalah sebahagian pemimpin muda yang mendukung transformasi dalam parti, atas sebab mereka ini, produk parti daripada awal pembabitan mereka dalam dunia politik. Mereka boleh dianggap sebagai transformer, sebarisan dengan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Razali ibrahim, Suraya Yakob, Azalina Othman Said dan ramai lagi pemimpin muda yang menawarkan diri sebagai pemimpin barisan depan parti.

Memang diakui, kombinasi antara pemimpin lama dan muda, adalah satu kombinasi yang afdal; agar supaya pengalaman orang lama boleh diperturunkan kepada yang muda; dan yang muda pula boleh berkongsi dengan citrarasa generasi muda. Melalui kaedah itu, maka orang lama dan muda saling komplimen antara satu sama lain, yang boleh memberikan parti nafas yang panjang dan relevan sesuai dengan perkembangan zaman.

Memang diakui, pemilihan dengan sistem yang baru, calon-calon muda mempunyai kekangan daripada segi jalinan antara bahagian-bahagian; faktor itu merupakan kekurangan mereka.

Pemilihan parti pada kali ini, walaupun menggunapakai "sistem baru" namun, ianya hampir sama dengan sistem kuota sebelum ini. Kemenangan seseorang calon tergantung kepada berapa undi daripada bahagian-bahagian; kerana pemenang berasaskan bahagian diberikan undi 1(satu); ertinya, setiap calon akan mendapat undi maksima 191, sesuai dengan jumlah bahagian parti seluruh negara.

Cuma bezanya, semasa sistem kuota dahulu, ada pengaruh jumlah pencalonan antara bahagian, kerana pemilihan tidak berlangsung serentak, namun pada pemilihan kali ini, pemilihan secara serentak; itu sahaja yang membezakan antara sistem lama dengan yang baharu.

Kerana melalui sistem electoral collage yang digunapakai oleh pemilihan parti pada kali ini, maka suara perwakilan di peringkat bahagian adalah penentu kemenangan bagi setiap calon yang bertanding. Ertinya, siapa sahaja calon-calon yang mempunyai jalinan yang banyak dan jentera yang kuat bagi setiap bahagian, maka mempunyai potensi untuk menang. Keadaan ini, bakal dilalui oleh calon-calon muda yang menawarkan diri bertanding pada kali ini. Namun, bagi calon-calon muda yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan, setidak-tidaknya nama mereka diketahui atau dikenali oleh para perwakilan, mungkin faktor ini yang boleh membantu mereka terpilih; namun bagi mereka yang tidak mempunyai kedudukan, malang sungguh nasib mereka, meskipun ada sinar kepimpinan bersama mereka.

No comments:

Blog Archive