Wednesday, July 24, 2013

PRK Kuala Besut- Bakal milik siapa?

Calon BN mempamerkan kertas UNDI yang belum dipangkah 
PEMENANG kerusi N1 Kuala Besut Terengganu dalam Pilihanraya kecil pertama selepas PRU-13 bakal ditentukan oleh 17,713 pemilih kawasan yang berjiran dengan Kelantan itu.

Seandainya kawasan itu dimenangi calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, maka status quo Dewan Undangan negeri Terenggangu akan kekal; manakala jika berlaku sebaliknya, maka untuk pertama kalinya berlaku di negara ini, yang mana antara parti pemerintah dan pembangkang mempunyai jumlah kerusi yang sama banyak.

Kerusi DUN Kuala Besut memang wilayah Barisan Nasional sejak tahun 2004, walaupun  pada tahun 1999, DUN itu pernah dimenangi calon Pembangkang daripada PKR.

Pada PRU-13 lalu, kawasan itu dimenangi calon BN Dr A. Rahman Moktar dengan kelebihan undi 2,434.

Dr A. Rahman telah meninggal pada 26 Jun lalu kerana radang paru-paru, menyebabkan kawasan itu kosong.

Walaupun berasaskan rekod pilihan raya sejak tahun 2004, bahawa kawasan itu adalah kawasan penyokong tegar BN, namun parti pembangkang melalui PAS mencuba melakukan kejutan melalui PRK kali ini dengan membawa misi 16:16.

Para pemimpin PAS mempunyai MISI tertentu sekiranya berlaku seri antara jumlah kerusi BN dan PR; dan mereka yakin akan menubuhkan kerajaan baru di Terengganu dan telahpun mencadangkan bahawa Presiden PAS Datuk Hadi Awang bakal menjadi Menteri Besar yang baru.

Namun, diatas kertas, keadaan pertukaran kerajaan tidak akan berlaku, sekiranya semua ADUN BN bersatu, kerana Speaker adalah pementu undi, jika berlaku undi belah bahagi di sidang DUN. 

Pertukaran kerajaan akan berlaku, jika ada ADUN BN menjadi pembelot; jika itu berlaku, maka ada kemungkinan akan berlaku undi semula, kerana BN mempunyai alasan kuat untuk membubarkan DUN untuk mrmberi ruang kepada rakyat mengundi semula.

Di atas kertas, sebenarnya calon BN tidak mempunyai halangan untuk mempertahankan kawasan itu, kerana selain ianya wilayah BN, juga kerana faktor jentera BN yang berkampung di kawasan itu, serta habuan kepada rakyat Kuala Besut melalui berbagai pengumuman pembangunan yang mencecah lebih RM400 juta.

Siapa bakal pemenang? Keputusan akan diketahui selepas jam 10 malam ini.

No comments:

Blog Archive