Latest News

PRU13: Jangan Tukar Kerajaan Persekutuan: Tun Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat Malaysia perlu menilai secara waras parti mana yang hendak dipilih pada pilihan raya bagi memastikan negara terus stabil.

Beliau berkata, di Malaysia kini ada sistem dua parti, iaitu parti memerintah yang berbilang kaum dan berkongsi kuasa selama 55 tahun serta parti yang mencabar, juga mengamalkan perkongsian kuasa.

"Persoalannya, siapa yang layak memerintah negara ini? Saya buat penilaian (parti memerintah) yang sedia ada lebih faham konsep perkongsian daripada yang mencabar (pembangkang)," 

Dr. Mahathir berkata, pakatan pembangkang masih tidak sepakat dan bercanggah pendapat antara satu sama lain, sebaliknya parti memerintah telah bekerjasama selama 55 tahun serta faham masing-masing perlu melakukan pengorbanan untuk kesejahteraan negara.

Beliau melahirkan kebimbangan Malaysia akan berdepan masalah jika parti politik dari pakatan pembangkang memerintah negara ini kerana kerajaan baharu biasanya tidak akan mengekalkan dasar kerajaan sekarang selain ingin menunjukkan kebolehan mencipta dasar sendiri.

Misalnya, mereka mungkin akan menukar dasar Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju, sedangkan hanya tinggal tujuh tahun lagi untuk mencapai sasaran, dan menggantikan ia dengan wawasan baharu, kata beliau.

Dr. Mahathir berkata, menukar kerajaan sedia ada kepada kerajaan baharu juga tidak semestinya akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik kerana kerajaan baharu yang memerintah tidak semestinya lebih bersih atau lebih baik daripada kerajaan sebelumnya.

Tidak semestinya kerajaan pengganti tidak akan mengamalkan rasuah kerana mereka mungkin hanya bersih pada peringkat permulaan pemerintahan tetapi apabila telah merasai kenikmatan berkuasa, tidak mustahil mereka juga akan rasuah atau lebih rasuah daripada kerajaan sebelumnya, katanya. 

0 Response to "PRU13: Jangan Tukar Kerajaan Persekutuan: Tun Mahathir"

Blog Archive