Sunday, April 14, 2013

Pengganas Sulu Guna Peguam Malaysia


TAWAU 12 April - Kesemua warga Filipina yang ditahan ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini akan menggunakan khidmat peguam, Datuk N. Sivananthan yang dilantik oleh negara ini untuk mewakili mereka dalam prosiding kes di Mahkamah Tinggi di sini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam James Y.P. Tsai yang mewakili Kedutaan Filipina ketika kes terhadap lapan pengganas warga Filipina disebut semula di hadapan Hakim P. Ravinthran selain kes ke atas 11 pengganas lagi yang baru dipindahkan ke mahkamah sama.

James memberitahu, pihaknya mendapat arahan untuk melantik Sivananthan yang beribu pejabat di Kuala Lumpur bagi mengendalikan prosiding membabitkan tertuduh- tertuduh yang disahkan sebagai warga Filipina.

Menurut beliau, pihaknya perlu mengemukakan permohonan ad-hoc (sampingan atau sementara) terlebih dahulu sebelum Sivananthan mewakili kesemua tertuduh.

Kesemua tertuduh warga Filipina itu sehingga kini masih belum membuat pengakuan terhadap pertuduhan masing-masing.

Pada 21 Mac lalu, lapan warga Filipina iaitu Atik Hussin Abu Bakar, Basad Manuel, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili, Timhar Hadir, Kadir Uyung, dan Lating Tiong buat pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam prosiding hari ini, sebanyak 10 lagi rakan senegara mereka dihadapkan ke muka pengadilan atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka ialah Masir Aidin, Ismail Yasin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhma, Virgilio Nemar Patulada @ Mohammad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Al Wazir Osman @ Abdul, Abd. Hadi Mawan, Tani Lahad Dahi, dan Julham Rashid.

Mereka masing-masing menghadapi pertuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas di dalam negeri Sabah.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau tempoh pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati boleh juga didenda.

Kesemua mereka juga didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan turut didakwa ialah seorang lagi warga Filipina, Aiman Radie.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman pemenjaraan yang boleh berlanjutan sehingga seumur hidup dan boleh didenda.

Salib Akhmad turut didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu merekrut orang lain sebagai anggota kumpulan pengganas dan melindungi pengganas.

Bagi dua kesalahan itu, masing- masing didakwa mengikut Seksyen 130E Kanun Keseksaan (merekrut) yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda serta Seksyen 130K kanun sama (melindungi) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Februari dan 13 Mac lalu di beberapa buah kampung iaitu Kampung Tanduo, Kampung Bakau, Ladang Atlas 2 di Jalan Ulu Tungku dalam Daerah Lahad Datu dan juga Kampung Perigi dalam Daerah Semporna juga Kampung Madai Kunak.

Pada prosiding hari ini, Atik Hussin diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan peguam Ram Singh mewakili Basad yang telah dilantik oleh pihak mahkamah manakala tertuduh lain masih belum diwakili peguam.

Sementara itu peguam Syarulnizam Salleh dan Y.S. Lo Yun Sin mewakili Persatuan Undang-Undang Sabah (SLA) sebagai peguam pemerhati.

Sementara itu, di mahkamah sama seorang anggota polis, Koperal Hassan Ali Basri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja tidak memberi maklumat berhubung aktiviti pengganas.

Hassan Ali didakwa melakukan perbuatan itu antara 9 Februari dan 3 Mac lalu di Pejabat Ketua Cawangan Khas Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan yang boleh berlanjutan sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hassan Ali yang sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna, akan dibicarakan selama lima hari bermula 24 Jun depan.

Dia diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki.

Tarikh itu ditetapkan selepas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai pendakwaan memaklumkan, pihaknya sudah bersedia untuk perbicaraan kes tersebut.

Pertuduhan terhadap setiap tertuduh dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu, Suluk dan Bajau Filipina.

Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes pada 14 Mei depan bagi membolehkan peguam dan peguam pemerhati menemu bual kesemua tertuduh sebelum pengakuan direkodkan.

Insiden pencerobohan pengganas Kiram sejak 12 Februari lalu, sehingga kini mengorbankan 10 anggota keselamatan terdiri daripada lapan anggota polis dan dua tentera. 

No comments:

Blog Archive