Wednesday, April 03, 2013

Ops Daulat: Saya Ditembak tiga Das: Inspektor Hasnal

Walaupun pernah ditetak enam kali dan ditembak tiga das ketika menentang pengganas Kiram di Sabah, namun pengalaman ngeri Inspektor Mohd. Hasnal Jamil, 31, itu tidak pernah mematah semangat beliau untuk terus mempertahankan negara.

Menceritakan detik-detik cemas pada 2 Mac lalu, Mohd. Hasnal berkata, beliau yang cedera parah selepas ditetak di kepala dan tangan selain ditembak di perut dan tangan terpaksa berlindung lebih 21 jam di sebuah rumah air di Semporna.

"Saya terbaring dalam keadaan berlumuran darah dari pukul 7.30 malam pada 2 Mac hingga 5.30 petang keesokan harinya, darah yang memancut dari kepala memenuhi muka malahan masuk ke telinga.

"Tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan melainkan berdoa dan mengharapkan yang lain akan datang menyelamat. Dalam otak bermain fikiran kalau mati maka mati sahajalah," katanya.

Mohd. Hasnal berkata, ketika berlindung di rumah air, beliau dijaga oleh dua rakan setugas yang memberinya air hujan sebagai minuman dan mengelap darah yang mengalir keluar dari luka-luka di badan.

"Tujuh anggota lain berjaga untuk menghadapi kemungkinan serangan. Bantuan yang ditunggu mengambil masa lebih lama untuk sampai kerana pasukan kita perlu menunggu ketibaan kelengkapan dan anggota lain sebelum merempuh kawasan musuh.

"Saya cuba bangun tetapi pitam sebaik sahaja berdiri dan terpaksa dibaringkan. Rakan-rakan pula tidak sanggup meninggalkan saya dan jenazah seorang lagi rakan yang telah pun terkorban," kata beliau.

Tambah Mohd. Hasnal, beliau menghidupkan telefon bimbit sebaik waktu siang dan sempat menjawab panggilan isterinya yang bertanyakan khabar.

"Saya memaklumkannya bahawa saya tengah bertugas dan akan telefon balik pada waktu petang dengan jangkaan saya akan tiba di hospital menjelang petang. Apa yang saya tidak sangka ialah dia menerima berita saya ditembak pada waktu tengah hari.

"Ramai yang datang ke kampung di Kedah kerana sangka saya telah mati. Mereka hanya dimaklumkan pada waktu petang bahawa saya terselamat tetapi cedera parah," katanya.

Mohd. Hasnal berkata, beliau dibawa ke Hospital Semporna sebelum dipindahkan ke Hospital Tawau dan menerima rawatan doktor pakar tangan di Hospital Selayang.

"Tangan saya masih dalam proses pemulihan, salah satu tangan tidak boleh digerakkan langsung manakala satu tangan lagi, hanya tiga jari boleh bergerak," katanya.

Beliau juga kecewa dengan pihak tertentu yang memperlekehkan peranan anggota keselamatan dalam menentang penceroboh di Sabah.

"Ini bukan soal main-main sebab kami perlu berjaga sepanjang hari dan malam. Kami perlu bersedia kerana musuh mungkin menyerang pada bila-bila masa," katanya.

No comments:

Blog Archive