Wednesday, April 10, 2013

Kaji Selidik Yang Belum Diumumkan: Mendapati Jika Mukhriz Tun Mahathir diumumkan bakal MB Kedah- Peluang besar BN rampas Kedah

Menghantar isyarat kuat bahawa penyandang kerusi Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir akan menjadi menteri besar jika BN mengambil alih Kedah, "boleh mempengaruhi pengundi atas pagar untuk memihak kepada BN".

Menurut saintis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Samsu Adabi Mamat, ini adalah maklum balas yang diterima apabila universiti itu yang menjalankan kajiselidik - yang belum disiarkan - di Kedah dari Januari hingga Mac lalu.

"Gambaran yang diberikan ialah untuk memastikan kemenangan BN, gabungan itu perlu mengemukakan calon menteri besar yang boleh menarik sokongan pengundi pagar," tegasnya

Menurut Samsu, sentimen umum di Kedah ialah pengundi atas pagar di Kedah - sekitar 25 hingga 30 peratus jumlah pengundi - menghargai ketokohan Mukhriz.

Penemuan lanjut kaji selidik itu, yang dijalankan oleh universiti ke atas kira-kira 3,000 responden di Kedah, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang, akan dibentangkan akhir bulan ini.

Pada tahun 2008, Pakatan Rakyat memenangi 20 daripada 36 kerusi, untuk memperolehi majoriti mudah di Dewan Undangan Negeri, dengan saingannya BN mendapat 14 kerusi. Dua kerusi lain lagi disandangkan oleh wakil rakyat bebas.

Samsu yang juga profesor Madya di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi berkata, mengumumkan Mukhriz sebagai calon kerusi DUN, akan menjadi isyarat yang cukup kepada pengundi tetapi ia juga boleh menimbulkan pergeseran dalam parti, terutamanya yang menyokong puak lain.

Tetapi pada keseluruhannya, tambah beliau, ini boleh diselesaikan dengan cepat kerana Mukhriz sangat popular di kalangan pengundi, dan mempunyai imej profesional. 

Hakikat bahawa bapanya adalah (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad juga membantu, tambah Prof Madya Samsu.

Mukhriz, yang merupakan timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, dispekulasikan menjadi calon menteri besar Kedah jika BN menang. Pengerusi BN negeri ialah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mukhriz dijangka bertanding kerusi DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerlun, yang dimenanginya dengan majoriti 2,205 undi pada 2008.

Kerusi DUN lain dalam kawasan Parlimen Jerlun ialah Ayer Hitam yang dimenang PAS dengan majoriti tipis pada 2008 dan Kota Siputeh - kerusi yang diwakili oleh BN.

Sementara itu, Ahmad Bashah, dijangka mempertahankan kerusi DUN Bakar Bata, yang dimenanginya pada 2008 dengan majoriti tipis 358 undi.

Kedua-dua Ayer Hitam dan Kota Siputeh dikatakan antara 22 kerusi yang BN telah diisytiharkan sebagai "selamat", manakala Bakar Bata dipercayai kerusi "kelabu" dengan satu pertiga pengundinya terdiri daripada masyarakat Cina.

Masyarakat Cina, sebahagian besarnya sejak tahun 2008, tidak mengundi menyokong BN.

No comments:

Blog Archive