Saturday, March 09, 2013

Ops Daulat:Agbimuddin ORANG YANG PALING DIKEHENDAKI


SEJAK pencerobohan Pengganas Sulu di Lahad Datu yang bermula pada 9 Februari dan menawan Kg Tanduo pada malam 12, tiada foto-foto yang dapat membuktikan bahawa adik Jamalul Kiram III, Agbimuddin Kiram ada bersama-sama pengganas itu.

Lelaki yang berusia 60-an itu, sebenarnya arif mengenai keadaan Lahad Datu, kerana beliau melibatkan diri dalam perniagaan pengangkutan ikan dan kerap berulang-alik dari Lahad Datu ke Kunak, Semporna, Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu.

Mungkin ada kebenaran bahawa adik Kiram itu mengetuai pencerobohan Kg Tanduo, kerana sejak bermulanya krisis Lahad Datu, Agbimuddin tidak kelihatan lagi dan menghilangkan diri.

Sumber percaya saudara kepada Sultan Sulu ini turut membantu dalam rundingan bagi menamatkan krisis di Tanduo yang melibatkan kumpulan lelaki bersenjata dan pasukan keselamatan Malaysia.

Mereka berkata polis mula mencari Agbimuddin apabila dia tidak ditemui lagi selepas berpindah ke Semporna.

Selain Agbimuddin, mereka yang lain yang dikaitkan dengannya juga sedang dicari oleh polis berikutan penangkapan beberapa orang termasuk beberapa saudara mara, anggota beruniform dan ahli politik tempatan.

Polis berkata, sehingga kini lebih daripada 50 orang telah ditahan kerana mempunyai hubungan dengan kumpulan bersenjata.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).

Beliau berkata tangkapan dibuat di seluruh Sabah dan di luar kawasan operasi Op Daulat yang berpusat di sekitar Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian.

"Soal siasat suspek akan dapat mengesahkan beberapa maklumat yang kami perolehi," Ismail berkata semasa sidang akhbar bersama dengan Ketua Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin..

Sementara itu Seorang lagi pengganas Sulu ditembak mati di Kampung Tanduo, Felda Sahabat 18 dekat sini jam 8 pagi tadi. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata lelaki terbabit dibunuh ketika berbalas tembak dengan pasukan keselamatan ketika cuba melarikan diri daripada operasi mencari dan menggeledah.

No comments:

Blog Archive