Latest News

Kalimah Allah: Pas Sudah Hilang Wibawa: Hassan Ali

KEPUTUSAN mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat membenarkan penggunaan kalimah Allah digunakan oleh penganut agama Kristian pada hari ini (semalam) memang telah dijangkakan.

Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dua hari yang lalu yang mengesahkan bahawa Pas bersetuju kalimah ALLAH digunakan oleh masyarakat bukan Islam menjadi petanda yang memudahkan lagi proses membuat keputusan di kalangan ketiga-tiga komponen parti gabunganPakatan Rakyat.

Lebih mendukacitakan keputusan yang dibuat terang-terang menyanggah dan tidak menghormati titah Sultan Selangor yang bertindak sebagai Ketua Agama atas nasihat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang menyelar pihak-pihak yang cuba mengganggu-gugat kesucian Islam dengan membawa Isu kalimah ALLAH itu.

Logiknya masalah ini terbeban kepada Pas disebabkan parti inilah sejak penubuhannya 60 tahun yang lalu memperjuangkan Islam termasuk hal yang menyentuh persoalan Akidah. Sikap Pas yang sanggup menggadaikan maruah perjuangannya amat disanjung oleh DAP dan PKR. Seingat saya belum ada lagi perkara-perkara yang membabitkan Islam dalamana Pas dapat mempertahankannya. Kes-kes kecil seperti tukang gunting rambut wanita di Kota Bharu, papan iklan dan penutupan pusat-pusat hiburan dalam bulan Ramadan di Kedah membuktikan pandangan ini. Tindakan yang saya ambil semasa diamanahkan memegang portfolio Hal Ehwal Islam dalam barisan ExcoKerajaan Negeri Selangor seperti arak, judi, rumah urut, hotel bajet dan terakhir peristiwa DUMC menserlahkan betapa Pas sudah hilang maruah akibat tunduk dengan kehendak DAP dan PKR.

Dalam isu kalimah ALLAH yang menyentuh persolan pokok dalamIslam iaitu Akidah menyerlahkan ketidakupayaan Pas mempertahankan dirinya. Pas terpaksa memilih DAP dan PKR bukan ulama-ulama besar mereka seperti Ketua Dewan Ulama,Datuk Harun Taib, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din dan ,Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ramai lagi yang telah menyuarakan pandangan mereka bila isu ini timbul dua tahun yang lalu. Jelas kepada kita ulama dalam Pas semakin terpinggir, suara mereka tidak lagi didengar dan tidak hairan kalau golongan ini terus dipencilkan.

Bagi saya inilah kerja golongan parasit dalam Pas. Setakat ini mereka begitu berjaya mengubah hala tuju Pas. Atas pengaruh mereka Pas telah membuat keputusan yang berkaitan dengan dasar parti tanpa merujuk kepada Majlis Syura Ulama. Apa yang ada lagi kepada parti ini bila Majlis Syura Ulama pun tidak lagi diberi penghormatan yang selayaknya.

Saya berharap sejuta ahli Pas dan ramai lagi penyokong mereka akan dapat segera merenung apakah mereka akan terus berada dan menyokong sebuah parti yang sudah hilang wibawa dan kredibiliti akibat daripada keghairahan yang tidak terperi untuk ke Putrajaya dan untuk melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun.

* Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Presiden Jati

0 Response to "Kalimah Allah: Pas Sudah Hilang Wibawa: Hassan Ali"

Blog Archive