Tuesday, January 08, 2013

Antara Anwar dan Habibie: Zam

Malaysia digemparkan dengan berita akan jatuhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak mempunyai kuasa dua pertiga pada 16 September 2008 kerana wakil rakyatnya akan berpaling tadah.

Bila hal itu tidak berlaku pada hari yang sama, mesej telah disebarkan menerusi media sosial; khidmat pesanan ringkas (SMS), Facebook, Twitter, e-mail dan sebagainya bahawa Anwar Ibrahim sedang menuju ke Istana Negara kononnya dipanggil menghadap oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun generasi baru tidak menyedari bahawa kegemparan yang sama juga pernah berlaku lebih 40 tahun lalu. Orang yang sama, Anwar, pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mencetuskan cerita penoreh mati kebuluran di Baling, Kedah sehingga membangkitkan tunjuk perasaan siswa-siswa dan juga penduduk Baling.

Saya sebagai wartawan kanan Utusan Melayu/Malaysia telah ditugaskan oleh Ketua Pengarang Utusan Melayu ketika itu, Tan Sri Mazlan Nordin (Allahyarham) untuk menyiasat peristiwa ini dan telah menemui pelbagai pihak di Baling.

Antaranya ialah Penolong Pegawai Perubatan, Dr Tan Ah Hock yang bertugas di Hospital Baling. Beliau menyatakan: “Di Malaysia hal ini tidak mungkin akan berlaku, orang kampung berjiran dan tahu jika jirannya kebuluran dan tidak akan membiarkannya. Untuk mati kebuluran akan mengambil masa berhari-hari...”

Tetapi cerita ini turut dipercayai oleh sebahagian besar mahasiswa dan pensyarah universiti termasuk Profesor Zainol Abdul Wahid dari Universiti Malaya.

Bagaimanapun apabila mengetahui keadaan yang sebenar setelah melakukan siasatan sendiri, beliau menulis kepada Utusan Malaysia bagi menjelaskan mengenai temu ramahnya yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 1 Januari 1975 yang mungkin menimbulkan anggapan ramai bahawa beliau mempercayai kejadian itu.

Antara lain katanya — “Saya berpendapat bahawa pelajar-pelajar yang meneruskan balik kuliah dan tutorial mereka selepas tunjuk perasaan pada 3 Disember 1974 itu, tidak bermakna yang mereka telah mengkhianati perjuangan mereka atau pemimpin-pemimpin mereka yang telah ditangkap”.

Malahan telah dinyatakan bahawa jika pelajar-pelajar meneruskan pelajaran mereka seperti biasa kerana peperiksaan akhir telah hampir, tindakan itu akan menunjukkan sikap mereka yang lebih bertanggungjawab.

Perdana Menteri pada masa itu Tun Abdul Razak yang baru sahaja berjaya memadamkan api 13 Mei, merasa bertanggungjawab menahan Anwar yang mengetuai tunjuk perasaan di Kuala Lumpur dan Baling kerana beliau mahu menjamin kestabilan negara bagi membolehkannya menguruskan kerja-kerja pembangunan untuk mengimbangi ekonomi rakyat.

Setelah dibebaskan kira-kira dua tahun kemudian, Anwar mempunyai kekuatan baru sebagai bekas tahanan politik kerana memperjuangkan rakyat dan sebagai bekas pemimpin ABIM yang menjadikannya lebih berkredibiliti dan berpotensi dalam politik tanah air.

Beliau menjadi rebutan antara PAS dan Umno. Tetapi penyelewengan Anwar daripada prinsip ABIM bila menyertai Umno menyebabkan beliau ditinggalkan oleh ramai rakan seperjuangannya terutama yang mengetahui stail hidup barunya kecuali beberapa orang kepercayaannya yang turut berseronok dengan cara hidup di awan biru.

Apabila masalah moralnya terdedah setelah berada di puncak awan dan disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau begitu mudah diri dengan DAP dan PAS kerana sebenarnya dia tidak pernah menjiwai atau sebati dengan Umno.

Lakonannya telah memukau Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menundukkan PAS dan juga pemimpin-pemimpin Umno yang mahu kedudukan.

Apabila diburu oleh pasukan polis kerana tuduhan liwat kali kedua, beliau lari mencari perlindungan di Kedutaan Turki pada 29 Jun 2008 kerana mendakwa akan dibunuh oleh ejen-ejen BN yang mahu mematahkan perjuangan reformasinya.

Pengikut-pengikut politiknya percaya penuh kepada dakwaan itu dan mengadakan tunjuk perasaan menyokongnya di hadapan Kedutaan Turki dan kemudian didramakan dengan melarikan diri ke sana sini daripada tangkapan polis. Tetapi mereka yang rasional sedar bahawa dakwaan Anwar itu tidak mungkin akan berlaku di Malaysia.

Wartawan-wartawan dalam dan luar negara yang meliputi drama hebat ini tentulah ketawa sendiri sekarang kerana telah nampak sudut kelucuan dan kekarutannya.

Rakan-rakan yang bersamanya menubuhkan ABIM dan Yayasan Anda seperti Ismail Mina yang telah mengetahui kecenderungan maksiat Anwar dari sejak awal tidak lagi terkejut dengan tuduhan liwat terhadapnya.

Inilah gempar yang paling menggemparkan dunia sebelum kegemparan yang menggegarkan Malaysia tentang kerajaan BN akan tumbang pada 16 September 2008.

Orang ramai boleh menjangkakan bahawa beberapa kegemparan lagi akan dicetuskan oleh “Anwar and The Gang” menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Beliau akan lebih dipercayai kerana PAS sebuah parti Islam yang akan menjadi pertahanannya dan bukan lagi dia sendiri. Kewibawaannya sekarang bergantung kepada PAS dan tidak lagi ada pada dirinya sendiri.

Bagi saya yang mengenali Anwar Ibrahim lebih dahulu daripada Dr Mahathir tidak akan terkejut lagi dengan “gempak-gempak” baharunya.

Saya pernah memberitahu Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri supaya berhati-hati dengan Anwar tetapi katanya kepada saya: “Zam, you ni baik, Anwar tak adakah — semua jahat sahaja?”

Tetapi apabila saya menemui Dr Mahathir di pejabatnya pada hari Tun Daim Zainuddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan kali kedua, saya lebih dahulu meminta maaf kepadanya.

Saya berkata: “Datuk Seri, dalam soal Anwar saya benar dan Datuk Seri salah.” Saya lihat air mata mengalir ke pipinya dan beliau mengesat dengan sapu tangannya.

Di Indonesia, bekas Presiden Indonesia B.J. Habibie masih mempunyai kredibiliti yang tinggi. Beliau bukan seorang street actor, maka itu rakyat Indonesia marah apabila saya menyamakannya dengan Anwar Ibrahim.

B.J. Habibie adalah seorang pemimpin yang masih dihormati dan tidak bergelumang dengan lumpur seperti Anwar Ibrahim. — Utusan Malaysia

No comments:

Blog Archive