Latest News

Isu Scorpene: Akhirnya SUARAM didapati BOHONG


Diasak oleh wartawan akhirnya Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel mengaku tiada perbicaraan kes Scorpene di mahkamah Perancis sepertimana yang cuba digembar gembur selama ini.

Cynthia Gabriel seperti dilaporkan Antarapos sebaliknya menyalahkan media tempatan yang salah tafsir kenyataannya, sedangkan dia mendakwa tidak pernah mengeluarkan kenyataan berlakunya ‘perbicaraan’ kes tersebut di mahkamah Perancis.

“Semua kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini oleh Suaram menggunakan perkataan ‘siasatan kehakiman’ dan ‘penyiasatan’.

“Tidak pernah Suaram menggunakan perkataan “perbicaraan” dalam kenyataan kepada umum sebelum ini,” katanya kepada pemberita.

Cynthia yang dilihat cuba mempertahankan SUARAM berkata, setakat ini hanya aduan tentang pembelian kapal selam Scorpene telah dibuat kepada mahkamah Perancis agar siasatan lanjut dapat dilakukan.

Yves Charpenel, pendakwa kerajaan Perancis yang terkenal sebelum ini pernah berkata sesiapa pun berhak untuk memfailkan aduan dan mahkamah akan meminta seorang hakim bebas menyiasat sejauhmanakah relevan aduan tersebut.

Dalam masa sama Charpenel turut mengesahkan tiada sebarang perbicaraan kes Scorpene berlaku di negara itu.

Dzulkarnain Taib, bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan dalam sidang medianya, 11 Okt. lalu mendedahkan aduan SUARAM melalui peguamnya, William Bourdon telah ditolak bulat-bulat oleh mahkamah Perancis pada 13 Mac lalu.

Selepas tiga hari ditolak, peguamnya, Bourdon sekali lagi memohon kepada mahkamah Perancis untuk menjadikan badan itu sebagai plaintif bersekutu dengan alasan Suaram bekerjasama dengan Persekutuan Antarabangsa bagi Hak Asasi Manusia (FIDH), namun setakat ini status rayuan tersebut masih belum diketahui.

“Fakta yang didedahkan hari ini jelas menunjukkan Suaram dan pemimpin pembangkang seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua telah berbohong kepada rakyat Malaysia dalam isu tersebut.

“Tindakan mahkamah Perancis menolak permohonan itu jelas menunjukkan Suaram telah cuba menipu badan kehakiman negara itu dengan mengaku sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sah tetapi sebenarnya sebuah syarikat iaitu Suara Inisiatif Sdn. Bhd. yang bermotifkan keuntungan dan tidak mewakili rakyat Malaysia,” kata Dzulkarnain.

Pada Jun lalu Cynthia Gabriel mendakwa Jasbir Singh Chahl akan disepina untuk menjadi saksi pertama kes Scorpene tersebut.

“Ketika kita sedang duduk di meja makan malam pada saat ini, satu sepina kini dalam perjalanan ke rumah Encik Jasbir Singh Chahl,” umum Gabriel dilaporkan Mkini dotcom

Namun dakwaan Gabriel itu dinafikan sendiri oleh Jasbir Singh yang berkata beliau tidak pernah menerima sebarang sepina.

“Itu adalah satu tuduhan palsu dan tuduhan jahat yang dibuat oleh seseorang yang saya tidak pernah kenal dan jumpa,” kata Jasbir Singh kepada FMT.

Semalam dilaporkan enam NGO telah membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap Gabriel yang masih berdegil mahu memanipulasikan isu tersebut.

Enam NGO terbabit ialah Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Jaringan Melayu Muda Malaysia (JMM), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Lembaga Kesedaran Pencegah Jenayah serta Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna.

0 Response to "Isu Scorpene: Akhirnya SUARAM didapati BOHONG"

Blog Archive