Monday, July 16, 2012

Jentera Penerangan Umno, BN Perlu Diperhebatkan Lagi - Zahid

BAGAN DATOH: Jentera penerangan Umno dan Barisan Nasional (BN) peringkat bahagian perlu diperhebatkan lagi termasuk usaha mewujudkan 'media troopers' menangkis tohmahan yang sering dilemparkan pembangkang melalui media sosial.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembangkang menggunakan media sosial menyerang dan memfitnah Umno dan BN dengan isu-isu negatif yang boleh meracuni pemikiran rakyat.

"Oleh yang demikian, Umno dan BN perlu mendekati kumpulan pelayar media sosial agar hal yang sebenar dapat diperjelaskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Pergerakan Wanita Umno bahagian Bagan Datoh di Wisma Umno di sini Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata penjelasan perlu dilakukan kerana kira-kira 17 juta daripada 28 juta penduduk negara ini lebih cenderung mendapat maklumat menerusi media sosial daripada media arus perdana.

Beliau berkata 'media troopers' adalah saluran yang cukup penting bagi membetulkan dakwaan yang digambarkan oleh pelayar media pembangkang.

"Oleh sebab itu, adalah penting untuk kita mengaktifkan kumpulan 'media troopers' kita bagi membetulkan keadaan.

"Saya yakin anggota Pemuda Umno dan BN boleh melakukannya kerana sekarang ini ia merupakan satu kumpulan kecil dan saya berterima kasih kepada 'media troopers' yang ada tetapi masih tidak mencukupi," katanya.

Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengambil inisiatif menjawab segala permasalahan yang timbul melalui media sosial yang dikendalikannya secara peribadi.

"Oleh kerana permasalahan yang ditimbulkan bukan hanya berkaitan dengan soal parti dan kerajaan tetapi melibatkan perkara-perkara yang lain," katanya. - BERNAMA

No comments:

Blog Archive