Friday, June 01, 2012

Duit siapa dalam akaun Azmin itu?

Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan siasatan dijalankan terhadap bekas Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, yang didakwa memiliki aset dan harta melebihi pendapatan penjawat awam, antara 1995 dan 1997.

Pengerusinya Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata panel mengarahkan SPRM menyambung siasatan berdasarkan kertas laporan siasatan yang dibuka pada 2009.

"Kertas siasatan itu disambung semula berdasarkan maklumat tambahan yang terbaru dan ia disiasat untuk memastikan kebenaran dakwaan itu," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata mereka yang terbabit dalam siasatan itu termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri dan kini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya cabaran utama untuk menyiasat kes berkenaan adalah mencari bukti kukuh kerana kes berlaku pada 1995 dan telah agak lama.

Pengendali portal Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin mendakwa mendapat maklumat mengenai salah guna kuasa oleh Anwar untuk menghalang siasatan terhadap Mohamed Azmin daripada seorang bekas pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR), yang menyerahkan dokumen sulit bertarikh 15 Mei 1995 itu di London bulan lalu.

Dalam portalnya, Raja Petra mendakwa berdasarkan dokumen mengikut Akta Rahsia Rasmi, BPR mempunyai bukti jelas Mohamed Azmin dan isteri, Shamsidar Taharin memiliki saham, rumah dan kereta mewah bernilai kira-kira RM1.5 juta dan hampir RM10 juta dalam bentuk wang tunai dan cek.

Hadenan berkata siasatan terhadap Azmin akan mengambil masa lama selain cabaran menentukan apakah seksyen yang bersesuaian untuk disiasat pada masa kini kerana terdapat perbezaan peruntukan undang-undang.

"Pada ketika ini adalah salah bagi penjawat awam yang memiliki aset melebihi pendapatan dan diragui punca hasilnya mengikut Seksyen 36 Akta Pencegahan Rasuah 2009," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata kes itu berlaku pada 1995 dan pada ketika itu undang-undang terpakai adalah mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1961 yang tidak mempunyai peruntukan undang-undang sekarang.

Beliau berkata mengikut undang-undang 1961, kesalahan seperti itu hanya memperuntukkan tindakan tatatertib oleh jabatan.

Hadenan berkata bagaimanapun panel penilaian mendapati adalah wajar satu siasatan dijalankan bagi memastikan kebenaran dalam dakwaan itu.

Katanya SPRM juga akan memanggil bekas Ketua Pengarah SPRM pada ketika itu, Shafee Yahaya manakala pegawai penyiasat kes tersebut telah meninggal dunia.- BERNAMA

No comments:

Blog Archive