Tuesday, January 17, 2012

Jelajah Anwar: cara lapuk; Pemerhati politik

Pemerhati politik menyifatkan usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelajah dalam dan luar negara sebagai strategi lapuk yang belum tentu dapat meraih sokongan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap pakatan pembangkang.

Menurut mereka, Barisan Nasional (BN) tidak perlu gentar terhadap rancangan pembangkang itu, cuma berwaspada dengan mengambil pendekatan menerangkan kepada rakyat mengenai sesuatu isu.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, pembangkang yang sepatutnya berasa gentar pada masa ini setelah satu demi satu rancangan mereka 'menyerang' BN tidak menjadi.

Menurutnya, berbanding BN yang dilihat lebih tenang dan telus menangani sebarang isu yang timbul, usaha jelajah yang digerakkan oleh Anwar dianggap masih belum mampu memenangi hati rakyat.

"Saya lihat daripada keputusan mahkamah dalam kes liwat Anwar, pembangkang lebih mengharapkan Anwar bersalah untuk membolehkan mereka memainkan isu itu dan meraih simpati rakyat.

"Namun, berlaku sebaliknya. Bagi saya BN tidak perlu gentar dalam perkara ini, sebaliknya pembangkang yang sepatutnya berasa demikian," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN tidak gentar dengan sebarang strategi pembangkang termasuk tindakan Anwar menjelajah dalam dan luar negara untuk meraih sokongan.

Anwar dipercayai sedang sibuk menjelajah ke beberapa tempat termasuk luar negara bagi mendapatkan sokongan selepas dibebaskan daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Isnin lalu.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak turut berpandangan sama iaitu BN tidak perlu bimbang dengan strategi Anwar, sebaliknya meneruskan program turun padang bagi mendekati rakyat.

"BN tidak perlu mengikut taktik yang dilakukan oleh pembangkang, sebaliknya bertemu rakyat dari semasa ke semasa sebagai persediaan menangkis dakyah yang mungkin cuba disebarkan pembangkang melalui program jelajah Anwar," katanya.

Berbeza bagi penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling yang berpendapat, jelajah Anwar itu jika dilakukan secara konsisten dan agresif ditambah dengan kebijaksanaannya berpidato boleh menjejaskan peluang BN menguasai pilihan raya akan datang.

"Jadi, BN jangan pandang ringan perkara ini kerana program jelajah dianggap satu medium dan sebahagian proses komunikasi orang politik untuk menerangkan kepada rakyat mengenai sesuatu isu," katanya.

Justeru, beliau menyarankan BN memperhebatkan kempen penerangan dan program bertemu rakyat bagi menyangkal dakyah yang dikhuatiri disebarkan melalui program jelajah Anwar itu.

No comments:

Blog Archive