Monday, January 30, 2012

Anwar cuba raih kembali sokongan Israel: Anifah

Datuk Seri Anifah Aman melihat kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau memberikan “sepenuhnya sokongan kepada semua tindakan yang diambil bagi menjaga keselamatan negara Israel” sebagai satu usaha untuk menarik kembali sokongan Israel terhadapnya.

Menteri Luar Negeri itu dalam satu kenyataannya hari ini berkata, selepas menerima kecaman ekoran tuduhannya bahawa konsep 1 Malaysia ditiru dari konsep regim Zionis Israel di Dewan Rakyat pada Mac 2010, Anwar telah dikecam oleh pemimpin-pemimpin Yahudi.

“Adalah jelas kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah semata-mata untuk meraih kembali sokongan masyarakat Yahudi dan penyokong-penyokong Israel kepada beliau dalam usaha mendapat sokongan antarabangsa bagi menghadapi pilihanraya,” kata Anifah (gambar) dalam kenyataan tersebut.

Berdasarkan temuramah eksklusif ketua pembangkang itu bersama Wall Street Journal pada hari Khamis, Anifah mengatakan dengan jelas bahawa prinsip dan pendirian Anwar mengenai isu Palestin sudah berubah.

“Kenyataan beliau yang disiarkan dalam Wall Street Journal mengenai sokongan penuh beliau kepada semua tindakan Israel bagi menjaga keselamatan negara Israel adalah jelas, kecuali kalau beliau ingin mendakwa Wall Street Journal melakukan kesilapan,” tambahnya.

Tambah Anifah, kenyataan yang dibuat Anwar itu secara langsung jelas menunjukkan penerimaan dan sokongan beliau terhadap segala tindakan yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin selama ini.

Tindakan-tindakan yang ditakrifkan oleh Israel sebagai perlu bagi menjaga keselamatan negara tersebut termasuklah antara lain serangan ketenteraan besar-besaran ke atas Gaza yang telah mengorbankan beribu-ribu nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Sehubungan itu, Anifah menegaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah menyokong tindakan-tindakan Israel ke atas Palestin malahan telah bersama-sama masyarakat antarabangsa mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan-tindakan tersebut yang jelas melanggari perundangan antarabangsa.

“Kerajaan Malaysia berpendirian bahawa penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui perundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.

“Malaysia menggesa supaya semua pihak berusaha mencari satu penyelesaian komprehensif yang adil dan saksama berdasarkan ‘Roadmap’ dan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan di mana kedua-dua buah negara dapat hidup bersebelahan dengan satu sama lain dalam keadaan aman dan selamat,” tambahnya.

Anwar Ibrahim semalam memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak memutarbelit kenyataan kononnya beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataan ringkas, Anwar menegaskan temubual bersama Wall Street Journal banyak membincangkan isu yang berkaitan dengan dasar luar negara dan Palestin.

“Saya tuntas menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi.

“Saya juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati,” kata Ketua Umum PKR ini.

Jelas Anwar jawapan yang diberikan berbunyi: “Saya menyokong semua usaha melindungi keselamatan negara Israel.”

Beliau turut menambah akan membuka hubungan diplomatik dengan negara Yahudi sekiranya Israel menghormati aspirasi rakyat Palestin.

Tegas Anwar, pendirian beliau sejajar dengan prinsip perjuangan PKR yang menjunjung tinggi aspek keadilan sejagat dan membela hak mereka yang dizalimi.

“Selain itu pandangan saya ini ternyata selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai Two-State Solution,” katanya.

Malaysia secara konsisten menolak untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel walaupun hubungan komersial wujud antara syarikat-syarikat swasta di dua negara itu.

Permusuhan Israel dengan negara Islam di Timur Tengah merupakan isu utama bagi rakyat negara ini yang majoritinya Melayu Islam.

Anwar menambah dasar Malaysia adalah bersedia menghormati hak rakyat Palestin dan Israel untuk menikmati keamanan.

No comments:

Blog Archive