Sunday, July 31, 2011

Catatan Wartawan BERNAMA semasa Himpunan Bersih 907

Perhimpunan haram di ibu negara 9 Julai lepas adalah satu gambaran percubaan untuk mencabar institusi negara terutama polis untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Perhimpunan haram itu, anjuran badan tidak berdaftar dikenali Bersih 2.0 kononnya bagi memperjuangkan sistem pilihan raya yang adil, diadakan tanpa menghiraukan nasihat serta amaran pihak berkuasa dan bantahan umum.

Sekumpulan wartawan Bernama ditugaskan di beberapa lokasi di sekitar ibunegara untuk melaporkan mengenai peristiwa itu.

Berikut catatan lima daripada mereka:

MOHD NOOR FIRDAUS MOHD AZIL

Lokasi: Stadium Merdeka dan Menara Maybank

Saya diarah membuat liputan di Stadium Merdeka bersama-sama tiga wartawan lain. Dalam perjalanan menuju ke sana dengan menaiki kenderaan Bernama, kami perhatikan jalan-jalan dikawal oleh polis trafik, termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Setiba di Jalan Stadium pada 8.30 pagi, kami melihat
kawat-kawat berduri didirikan dengan beberapa anggota polis berkawal. Wartawan perlu mendaftarkan diri sebelum dibenarkan masuk.

Setelah dua jam berlalu dan masih tidak ada apa-apa berlaku, saya dan seorang wartawan dari akhbar Utusan Malaysia mengambil keputusan untuk melihat kawasan sekitar.

Menyusuri Bulatan Merdeka, kami melihat sekumpulan penyokong BERSIH berjalan dengan langkah yang laju mengikuti lorong belakang bangunan menuju ke Jalan Petaling.

Kami mengekori mereka dan melihat kumpulan yang lebih besar.

Kemudian terdengar seorang berteriak "Kita tukar plan! Arahan atas suruh kita berkumpul di menara Maybank, kemudian kita bersurai."

Apabila 'crowd' tersebut memasuki Jalan Pudu, berdepan dengan kompleks membeli belah Kota Raya, keadaan menjadi huru-hara dan udara mula berbau seakan-akan sengit dan menusuk hidung (dipercayai akibat gas pemedih mata).

Dari situ, kami lihat, sekitar Menara Maybank kecoh apabila sekumpulan besar perusuh dikejar oleh sepasukan polis di bahagian tebing Menara Maybank.

Ketika itu, pasukan FRU bersiap sedia di simpang Jalan Tun Perak manakala kumpulan perusuh semakin ramai memenuhi jalan diketuai Chegu Bard (Badrul Hisham Shaharin daripada PKR) di depan kompleks perhentian bas Pudu Raya.

Hujan mula turun dan kemudian kumpulan perusuh melaung-laung "Allahu Akbar", "Reformasi", "Tumbang BN" dan "BN Zalim". Tiada laungan berkaitan memperjuangkan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya seperti yang diuar-uarkan.

Selepas FRU memberi amaran tiga kali untuk bersurai, mereka melepaskan gas pemedih mata ekoran sikap degil dan keras kepala peserta demonstrasi yang enggan meninggalkan tempat itu.

Oleh kerana saya dan wartawan Utusan Malaysia berada di tengah-tengah, antara FRU dan penyokong demonstrasi, kami cuba berlindung di satu kawasan letak kereta tetapi asap tebal kemudian memenuhi tempat itu membuatkan kami berasa lemas.

Ketika itu, mata dan hidung mula terasa kepedihan dan berair, tekak terasa sengit dan ingin memuntahkan sesuatu, dan yang paling azab, kami tidak mampu bernafas dan berdiri dengan stabil.

Saya segera mencapai sebotol air mineral dalam beg saya untuk membasahkan baju dan menggunakan baju saya itu untuk membaluti muka saya. Air mineral itu saya beri kepada seorang anggota polis berpakaian preman kerana kelihatan dia juga mengalami kepayahan untuk bernafas.

Disebabkan saya tidak dapat melihat di mana rakan saya (wartawan Utusan), saya mengambil keputusan untuk berlari keluar dari kawasan itu dan masuk ke satu lorong kecil di mana beberapa orang menghulurkan garam dan air untuk dilumurkan ke muka bagi menghilangkan kesakitan akibat gas pemedih mata.

Apabila keadaan menjadi sedikit reda, hujan berhenti, dan saya keluar kembali untuk melihat situasi terkini.

Ketika itu saya lihat anggota polis mula menangkap beberapa perusuh yang cuba melakukan provokasi.

Kemudian, kelihatan Anggota Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dari DAP dan Anggota Parlimen Subang dari Parti Keadilan Rakyat, R.Sivarasa, serta seorang lagi (kemudiannya saya dapat tahu beliau adalah Suhardi Mohd, orang yang polis kata berpura-pura mati) sedang berbincang dengan anggota polis untuk membenarkan perarakan menuju ke Stadium Merdeka.

Kali ini perarakan itu lebih besar apabila mereka dibenarkan polis, dan ia diketuai oleh Chegu Bard.

Di Stadium Merdeka, kumpulan itu bertemu dan bergabung pula dengan perarakan pimpinan Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa.

Rundingan seterusnya diadakan dengan polis tetapi kali ini mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan stadium.

MOHD FAIZAL HASSAN

Lokasi: Hentian Puduraya

Saya dan seorang lagi rakan wartawan berselindung di celah premis perniagaan berdekatan Hentian Puduraya, tiba-tiba mata dan hidung saya sangat pedih dan saya sukar bernafas.

Itulah pengalaman pertama kali saya terkena gas pemedih mata yang dilepaskan polis bagi menyuraikan peserta perhimpunan haram 9 Julai lepas.

Kira-kira 10 minit selepas membersihkan diri dengan air garam, saya terus berlari ke kawasan tinggi bagi mendapatkan gambaran sebenar kenapa tiba-tiba gas pemedih mata dilepaskan.

Apa yang saya lihat adalah peserta perhimpunan yang rata-ratanya lelaki dewasa enggan bersurai walaupun FRU telah mengeluarkan amaran. Peserta perhimpunan berada kira-kira 50 meter dari anggota polis yang telah bersedia dalam barisan mereka menghadapi sebarang kemungkinan. Apa yang diperhatikan, tiada sebarang tindakan ganas polis terhadap mereka.

Gas pemedih mata dilepaskan ke kawasan yang tiada peserta berada. Asapnya dibawa angin dan terkena peserta. Tembakan air tidak dibuat.

Kejadian yang berlaku pada 1 tengah hari menyebabkan kumpulan perusuh bergerak menghampiri Bukit Bintang, namun berhenti berdekatan Hospital Tung Shin bagi berteduh kerana hujan.

Saya mengambil kesempatan untuk membersihkan diri di kawasan letak kereta hospital dan untuk bersolat.

Di kawasan itu, kelihatan seorang wanita dan dua budak lelaki masih kecil dan mereka seolah-olah sesat dan tidak tahu apa yang berlaku ketika ini.

Saya menyuruh wanita itu keluar dari kawasan itu dan pergi ke arah barisan FRU yang telah siap sedia berhampiran Jalan Bukit Bintang supaya bagi perlindungan.

Tepat jangkaan saya, kerana selang beberapa minit selepas itu, kumpulan perusuh cuba bergerak ke kawasan Jalan Bukit Bintang dari arah hospital namun berjaya dihalang FRU.

FRU bertindak bijak dengan menggunakan SOP mereka seperti mengeluarkan amaran sebelum mula bertindak dengan melepaskan gas pemedih mata dan tembakan air kepada peserta di jalan raya.

Kerana hujan, asap gas pemedih mata dibawa angin ke kawasan hospital. Kumpulan perusuh kemudian dilihat meninggalkan kawasan itu dan menggunakan laluan lain ke Jalan Bukit Bintang.

Kumpulan itu kemudian tiba berhampiran Hotel Istana sebelum menuju ke KLCC dan di sini, selepas hampir 20 minit berkumpul, menjerit, melaungkan pelbagai cemuhan terhadap kerajaan, barulah polis tiba.

FRU sekali lagi menggunakan SOP mereka dan kali ini berjaya menahan ramai perusuh manakala yang lain melarikan diri ke dalam KLCC, dan ke Jalan Yap Kwan Seng dan sekitarnya.

Ketika ini saya terlihat sebuah ambulans, dan pada hemat saya, mungkin ada peserta yang cedera sebelum kenderaan itu dilihat keluar ke Jalan Ampang mungkin menuju ke Hospital Kuala Lumpur.

Kemudian saya pulang ke pejabat dan selang beberapa jam selepas itu, dilaporkan seorang peserta mati di kawasan KLCC akibat sesak nafas.

Ketika beberapa tempat di sekitar ibu kota dikatakan mulai kecoh dan polis mula menangkap perusuh, kawasan sekitar Bukit Bintang Walk masih lengang dan wakil media termasuk dari Bernama TV, TV Al-Hijrah, Astro Awani, Utusan Malaysia dan Berita Harian sudah berhimpun di situ sejak 9 pagi.

Lebih kurang pukul 1 tengah hari, kumpulan Patriot muncul dan mula mengedarkan T-shirt merah sebelum ketibaan pemimpin tertinggi mereka, Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kira-kira 30 minit kemudian.

Khairy dalam ucapan ringkasnya berkata tindakan kumpulan itu bukanlah semata-mata mahu menyertai demonstrasi jalanan sebaliknya sebagai satu protes terhadap pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dalam negara.

"Kita adalah barisan hadapan berkumpul secara aman untuk mempertahankan pemimpin kita dan keamaman negara. Perhimpunan haram hari ini adalah agenda pembangkang yang berselindung di sebalik Bersih yang bukan untuk bersih (pilihan raya) tetapi untuk mengguling kerajaan," kata Khairy.

Kumpulan Patriot seramai 500 anggota dilihat bersemangat menuju ke Stadium Merdeka sambil menyanyikan lagu "Inilah Barisan Kita" sementara polis telah bersiap sedia untuk menghalang mereka.

Terdahulu, sebelum Patriot muncul, satu kumpulan juga dianggarkan 500 orang yang dipercayai dari Bersih, berarak dari Jalan Imbi menuju ke Stadium Merdeka yang membuatkan kumpulan media yang berada di sekitar itu kecoh dan terkeliru mengekori mereka sehingga ke Jalan Pudu.

Di hadapan sebuah hotel di Jalan Pudu, pasukan FRU sudah mula berkumpul bersedia dengan perisai dan kenderaan meriam air.

Polis telah memberi amaran kepada peserta Himpunan Patriot supaya mereka bersurai secara aman, namun amaran itu tidak diendahkan malah mereka melaungkan "Hapus Bersih", "Hidup Rakyat", "Hidup Malaysia".

Oleh kerana arahan polis tidak dipatuhi, pasukan keselamatan terpaksa menembak gas pemedih mata ke arah mereka.

Polis kemudian menahan Khairy, Abdul Azeez bersama penolong setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdaus Megat Junid dan Exco Pemuda Umno, Lokman Adam.

Keadaan kelihatan terkawal pada 3.30 petang apabila Himpunan Patriot mula bersurai.

Polis juga mengarahkan semua pihak meninggalkan kawasan itu tetapi kerana tugas belum selesai, saya dan rakan-rakan media lain masih berada di situ sehingga 4 petang.

ZULHILMI SUPAAT

Lokasi: Ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur

Beberapa pemimpin penganjur perhimpunan haram dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) bagi tujuan soal-siasat, mengaku mendapat layan baik daripada polis.

Penganjur perhimpunan, Datuk S.Ambiga yang ditahan pada 2.30 petang di KL Sentral dan dibebaskan pada 6.30 petang, mengakui beliau sendiri mendapat layanan baik sepanjang tempoh ditahan.

Beliau kelihatan ceria ketika keluar dari pintu utama IPKKL dan kemudian memberitahu pemberita bahawa dia berpuashati dengan layanan polis terhadap para penyokong yang ditahan di Pulapol kerana diberikan kemudahan makan dan tempat bersolat.

Malah beliau juga terperanjat bila diberitahu penyokong yang ditahan di Pulapol diberikan menu nasi beriani.

"Di IPKKL tiada nasi beriani tetapi saya dilayan baik semasa sesi soal siasat yang mengambil masa 45 minit. Saya tiada komplen mengenai layanan polis," katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ditahan di IPPKL dibebaskan pada 7.30 malam, dan terus dihantar polis ke rumahnya dekat Sentul.

Hampir 100 penyokong parti itu yang berada di situ tidak berpuashati kerana tidak diberikan peluang bertemu pemimpin mereka menyebabkan ada segelintir yang memaki hamun anggota polis yang berkawal di pintu IPKKL.

Keadaan hanya tenang selepas penolong setiausaha agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang turut berada di situ, membuat beberapa panggilan telefon dan kemudian mengesahkan Abdul Hadi dihantar polis terus ke kediamannya.

ZURIATI ZULMI

Lokasi: Kompleks Sogo, KLCC, Stesen KTMB, Menara MaybankSaya ditugaskan meninjau di tiga kawasan iaitu Kampung Baru, Maju Junction dan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Ini adalah kali pertama saya membuat liputan perhimpunan haram seperti ini. Dalam hati, rasa gementar, takut-takut kalau keadaan menjadi tidak terkawal dan saya terfikir juga mengenai situasi di luar negara di mana mereka yang berhimpun adakalanya bertindak luar biasa.

Dari Jalan Tun Razak menuju ke Jalan Ampang, kelihatan anggota polis berkawal di beberapa lokasi menjaga lalu lintas untuk membantu orang ramai supaya tidak terperangkap dalam kesesakan.

Ketika melalui kawasan sekitar Jalan Bunus pada 10 pagi, ternampak kumpulan kecil peserta perhimpunan di situ seolah-olah menunggu arahan untuk tindakan selanjutnya.

Di kompleks beli belah Sogo, kawasan sekitarnya tenang dan kira-kira pukul 10.30 pagi, saya diarah meninjau kawasan KLCC kerana dikatakan sudah ada gas pemedih mata dilepaskan di situ. Setiba di sana, saya dapati ia hanyalah khabar angin.

Kira-kira 12 tengah hari, melalui walkie-talkie, saya mendengar rakan setugas menyatakan suasana di Stesen KTMB mulai "panas" apabila berlaku kekecohan.

Tiba di sana, saya lihat polis telah membuat tangkapan dan walaupun ada provokasi melampau dan tindakan agresif daripada perusuh yang melemparkan kata-kata kesat kepada polis, mereka kelihatan tenang menangani situasi sebegitu.

Polis didapati tidak menggunakan kekerasan melampau ke atas tahanan. Cara mereka bertanya nama dan memeriksa kad pengenalan juga masih sopan santun walaupun ada ketegasan sebagai anggota polis. Bagi wanita pula, ada anggota polis wanita yang ditugaskan untuk mengendalikan mereka.

Selepas keadaan terkawal di Stesen KTMB, kawasan sekitar Pasar Seni pula mula dipenuhi manusia. Dari bangunan Dayabumi, saya dapat lihat ribuan peserta sudah mula bergerak menuju ke Dataran Merdeka.

Di situ, polis memberi amaran supaya mereka bersurai tetapi tidak dihiraukan malah mereka mula menjerit-jerit melaungkan "Allahu Akbar" dan "Reformasi".

Bukan sahaja arahan tidak dipatuhi, perusuh dilihat begitu berani membuat provokasi terhadap polis memaksa polis melepaskan gas pemedih mata.

Kira-kira pukul 1.30 tengah hari dan cuaca menjadi panas terik, saya pula kehabisan air. Apabila melintas di hadapan kedai 7-Eleven, saya dapati pintunya ditutup dengan kotak-kotak diletakkan di pintu supaya tidak dapat ditolak dari luar. Saya cuba meminta supaya dibekalkan air mineral tetapi seorang petugas di kedai itu enggan membukanya.

Saya kemudiannya cuba ke restoran dalam bangunan Dayabumi. Pintu kedai itu juga disendal dengan kayu walaupun terdapat orang yang sedang makan di dalamnya.

Dua kali saya melintas kedai itu tetapi pintu tidak dibuka, akhirnya saya mengetuk pintu meminta mereka membekalkan saya air. Syukur saya dapat juga masuk ke restoran itu, beli air mineral untuk simpanan.

Kira-kira pukul 2 petang, berdasarkan maklumat yang diterima, saya bersama seorang jurugambar, bergerak ke Menara Maybank. Apabila tiba di sana, FRU telahpun melepaskan air dari meriam air dan gas pemedih mata.

Saya agak terkejut melihat situasi di situ kerana kumpulan penyokong BERSIH sangat ramai dan mereka bertindak melampau tanpa mengendahkan arahan polis untuk berundur dan bersurai.

Saya dapat lihat polis mengejar perusuh yang cuba mencabar polis. Beberapa orang yang ditangkap juga dilihat cuba bertindak kasar terhadap anggota polis. Ketika saya cuba menghubungi ibu pejabat untuk memberi maklumat mengenai situasi di situ, tiba-tiba polis melepaskan gas pemedih mata menyebabkan saya dan rakan yang lain bertempiaran lari.

Tidak lama kemudian hujan turun dengan lebat dan saya bersama rakan wartawan berteduh berhampiran sebuah restoran di kompleks Kotaraya.

Apabila hujan berhenti sekitar 3 petang, kumpulan perusuh yang tadi lari bertempiran kembali keluar dari tempat perlindungan dan ada yang menjadi "penghasut" menjerit mengajak semua yang ada menuju ke Stadium Merdeka.

Kumpulan itu berkumpul semula di jalan raya dan bergerak ke arah Stadium Merdeka sambil melaungkan "Allahu Akbar" dan "Reformasi".

Kami wartawan juga mengikuti pergerakan kumpulan itu tetapi apabila berhampiran selekoh di Stesen LRT Pasar Seni, tanpa disedari, polis telah melepaskan gas pemedih mata. Kami sempat melarikan diri sebelum terkena gas pemedih mata.

Kemudian polis melepaskan tiga lagi gas pemedih mata kerana perusuh tidak mahu bersurai. Keadaan menjadi reda pada 4.15 petang.

Saya ingin katakan bahawa dalam ketegasan ada juga sifat kemanusiaan di pihak berkuasa kerana mereka tidak sewenang-wenangnya menggunakan gas pemedih mata.

Beberapa ambulans juga kelihatan berada di kawasan berhampiran untuk memberi bantuan kepada mereka yang menghadapi masalah jika terkena gas pemedih mata.- Bernama

Coli dan seluar dalam hadiah untuk Lim Guan Eng dibidas

Bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Dr Mohd Razak Idris menyelar tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang cuba memberikan “hadiah” berupa pakaian dalam kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Kelmarin Persatuan Suara Anak-anak Malaysia Negeri menghadiahkan dua coli dan seluar dalam bercorak harimau bintang kepada Lim sebagai simbolik meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbirannya.

Razak berkata tindakan Persatuan Suara Anak-anak Malaysia Negeri yang diketuai Mohamed Ghani Abdul Jiman itu satu perbuatan tidak berakhlak dan melanggar amalan orang Melayu di negara ini.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini menambah sebarang pertikaian politik hendaklah dibuat dengan saluran yang betul dan bukan bertindak di luar batasan.

“Saya berharap supaya sebarang pertikaian politik dan ketidakpuasan hati tentang urusan pentadbiran negeri diluahkan dengan cara yang beradab pada masa akan datang.

“Jangan sesiapa merosakkan imej baik umat Islam yang menjunjung tinggi ketinggian budi dengan perbuatan yang berunsur biadap seperti itu,” katanya.

Pada sidang media yang diadakan di Komtar, George Town kelmarin Mohamed Ghani berkata “hadiah” itu diberikan kerana sikap Lim dan beberapa barisan pemimpin kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu termasuk Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik, yang didakwa menindas rakyat Pulau Pinang.

Menurutnya, coli dan seluar dalam wanita bercorak harimau bintang itu dijadikan hadiah kerana ia simbolik menandakan Lim dan Ng sebagai tarzan serta menggelar semua pemimpin kerajaan negeri sebagai harimau.

“Maskot Kerajaan Negeri bukan kucing dan kononnya mengamalkan dasar cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), tapi sebenarnya adalah harimau. Oleh kerana dia tipu rakyat, kita hadiahkan coli dan seluar dalam kepadanya.

“Ini tunjukkan ketidakpuasan hati kami sebagai rakyat Pulau Pinang terhadap kerajaan negeri yang selama ini tidak bela nasib kami,” katanya.

Walaupun tiada wakil kerajaan negeri yang menerima “hadiah” itu, kumpulan itu telah menggantungkan coli dan seluar dalam itu di pintu masuk yang menyediakan lif untuk ke pejabat Lim.

Tambah Razak, tindakan Persatuan Suara Anak-anak Malaysia Negeri itu juga boleh mencemarkan hubungan baik antara orang bukan Islam.

“Kita selaku umat Islam harus mengakui iaitu hubungan kita dengan penganut bukan Islam adalah berasaskan ukhwah insaniah.

“Jangan sesekali mencemarkan hubungan abadi ini oleh sebab permusuhan politik,” katanya

Beza Pakatan dan BN adalah political will? betul ke?

Apa perbezaan di antara Model Baru Ekonomi (MBE) kerajaan BN dengan Buku Jingga Pakatan Rakyat?

“Kemahuan politik (political will),” kata pengarah strategik PKR Rafizi Ramli dalam panel diskusi perbincangan Persidangan Pemimpin Pelajar ke-5 di Kuala Lumpur.

Katanya, besar kemungkinan Pakatan akan mengekalkan sesetengah elemen dalam MBE jika gabungan itu berjaya menguasai Putrajaya kerana kedua-dua rancangan itu mempunyai persamaan.

Menurut Rafizi, tindakan itu termasuk mengekalkan perkhidmatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala - yang dipilih oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib razak untuk melaksanakan pembaharuan ekonominya.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak Pakatan, tetapi saya pasti jika kita berjaya ke Putrajaya, besar kemungkinan Idris Jala akan kekal di mana beliau berada,” katanya.

Namun, Rafizi menegaskan apa yang membezakan BN dan Pakatan ialah 'kemahuan politik' membawa perubahaan meskipun kepentingan parti masing-masing mungkin terjejas.

“Sebahagian besar prinsip asas MBE hampir sama (dengan Buku Jingga) tetapi ia bergantung kepada sama ada sesuatu kerajaan itu mempunyai kemahuan politik untuk merungkaikan perjanjian (yang berat sebelah dengan sektor swasta),” kata Rafizi.

Idris, yang juga menjadi ahli panel diskusi itu menyapa komen Rafizi dengan mengukirkan sebuah senyuman.

"Terima kasih, (sekurang-kurangnya) kita ada satu perjanjian di sini,” katanya.

Forum bertajuk 'Menjana Malaysia Ke Hadapan Melalui Program Transformasi' ini juga menyaksikan pertikaman lidah dan suasana hangat membabitkan Idris, Rafizi dan ahli parlimen PJ Utara Tony Pua berhubung apa yang perlu dilakukan Malaysia bagi melepasi perangkap menjadi negara penduduk berpendapatan sederhana.

Ahli panel keempat diskusi ini adalah ahli jawatankuasa pusat MCA Ti Lian Ker.

Pua juga melahirkan sentimen yang sama dengan berkata program pembaharuan BN pada dasarnya baik, tetapi kerajaan seringkali gagal memastikan pelaksanaanya.

"Dokumen adalah hampir sama tetapi bezanya adalah kemahuan politik. Tanapa kemahuan politik, semua dokumen tidak berguna. Sebagai contoh, konsep 1Malaysia dalam GTP (Government Transformation Programme), saya pasti 99 peratus mereka di dalam bilik ini menerima konsepnya.

“Tetapi apabila kita mempunyai pemimpin kanan negara seperti timablan perdana menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) berkata beliau mendahulukan bangsanya sebelum sebagai rakyat Malaysia, maka semua itu menjadi bercanggah. Ahli politik mesti mempercayai polisi yang digubal mereka sendiri jika mereka mahu melaksanakannya,” kata Pua.

Saturday, July 30, 2011

Presiden MIC dilantik menteri penuh

MIC kini mempunyai dua orang menteri penuh dalam kabinet DS Najib. PM mengumumkan perlantikan G Palanivel hari ini selepas merasmik AGM MIC ke-65 di PICC, Putrajaya.

Dengan pelantikan Palani tersebut, maka berulang zaman pentadbiran Tun Razak, di mana kaum india diwakili oleh dua menteri.

Untuk berdekad-dekad, MIC hanya diwakili oleh mantan Presiden MIC Datuk S. Samy Vellu sehinggalah pada tahun 2008, apabila beliau kalah di Sungai Siput, Perak, kepada Dr Jeyakumar daripada parti PSM.

Dua hari lalu, G. Palanivel berkata, kaum india belum tentu menyokong BN, jika peruntukan yang banyak tidak disalurkan kepada kaum itu. Melalui desakkan itu, DS Najib membacanya bahawa Presdien MIC itu mahukan peranan kaum india dalam kabinet.

Dengan perlantikkan sebagai menteri penuh, kini Palani akan ada bajetnya tersendiri sebagai menteri, oleh itu, beliau dapatlah membantu kaum india.

Apa kah melalui perlantikan Palani sebagai menteri penuh, maka secara automatik kaum india akan menyokong BN? segala-galanya tergantung Palani sendiri.

Pelakon Baharuddin Ahmad akhirnya muncul

Shuhardi Md. Isa, lelaki yang didakwa berlakon sebagai Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal dunia dalam perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai lalu, menafikan dirinya bersembunyi, melarikan diri dan enggan bekerjasama dengan polis.

Shuhardi yang juga Setiausaha Agung Persatuan Usahawan Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop) menjelaskan, beliau terpaksa tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan kematian Allahyarham Baharudin kerana ia jelas menjatuhkan maruah dirinya.

"Saya masih hidup... yang meninggal Allahyarham Baharudin. Saya ingat perkara ini dah selesai dan saya tidak perlu tampil beri keterangan kerana ada blogger-blogger yang mengeluarkan gambar saya dengan mengatakan saya adalah Allahyarham Baharudin, telah meminta maaf kepada saya.

"Tapi semalam bila saya lihat komen Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang berkata saya dipercayai menyembunyikan diri, saya terpaksa mendedahkan perkara ini," katanya.

Beliau berkata polis sepatutnya menyiasat mereka yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai dirinya daripada menumpukan siasatan ke atas dirnya sendiri.

"Saya yakin pihak polis mampu membuat siasatan berdasarkan maklumat dalam internet tanpa perlu melibatkan saya. Malah saya rasa polis sepatutnya siasat mereka yang keluarkan kenyataan keliru mengenai mereka. Saya rasa sepatutnya saya yang menyaman mereka (blogger) yang salah dengan mengaitkan nama saya itu," katanya.

"Tetapi kerana kenyataan maaf dan pembetulan fakta yang dibuat seawal 10 Julai, maka saya menganggap perkara ini tidak perlu diperpanjangkan, malangnya kira-kira seminggu selepas peristiwa Bersih itu, pihak polis dan media masih mengaitkan nama saya," katanya.

Beliau berkata kekeliruan tersebut terlebih dahulu telah dijelaskan oleh anaknya menerusi "facebook" dengan menjelaskan bahawa gambar yang disiarkan bukanlah gambar Shuhardi yang pengsan dalam perhimpunan tersebut.

Bapa kepada dua isteri dan 10 anak ini mendakwa tidak berkomplot dengan mana-mana pihak tertentu untuk berlakon dalam apa jua "aksi" kematian serta tidak mengenali Allahyarham Baharudin sendiri.

"Saya juga tidak kenal dengan mana-mana wartawan atau jurugambar yang datang buat liputan. Saya bukanlah "desperate" untuk dapatkan sogokan yang tidak bermaruah kerana Alhamdulillah saya hidup mewah," katanya.

Suhardi berkata beliau bersedia memberikan kerjasama dengan pihak polis dan boleh dihubungi di talian 012-3900740. BERNAMA

Kisah Dr D Jeyakumar semasa dalam tahanan

Apa yang terfikir oleh ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar semasa dalam tahanan adalah beliau khuatir polis akan memerangkapnya dan rakan-rakan lain supaya dapat menahan mereka secara berterusan.

"Apabila kita beri kenyataan kepada polis, mereka tanya kami mengenai lawatan luar negara kami. Saya pernah ke Senegal (untuk) Forum Sosial Dunia, ke Australia (untuk) Perikatan Sosialis Dunia dan M Saraswathy pula pernah ke Vietnam.

"I bimbang mereka akan kaitkan - Parti Komunis Vietnam, Parti Komunis Senegal, saya fikir mereka berusaha ke arah itu untuk memerangkap kami.

"Saya amat takut mereka akan menggunakan alasan itu bagi menggerunkan rakyat Malaysia, (bagi berkata) oh ada plot komunis dalam Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan nasib baik kita sudah berjaya tangkap orang-orang ini,” katanya.

Menurut Jeyakumar, meskipun secara fizikal, beliau dilayan dengan baik, namun kurungan berseorangan menimbulkan ketakutan di dalam dirinya tetapi beliau bertekad untuk bertahan.

"Saya amat takut mereka akan mencipta cerita (seperti cuba lancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong) dan gunakan alasan itu untuk menangkap orang lain atau membatalkan pendaftaran parti. Saya juga bimbang mereka akan tahan saya untuk dua tahun, saya cukup tertekan kerana tidak ada hubungan dengan dunia luar...

"Pada sebelah petang, saya buat senaman ringan (di dalam sel) dan apabila berjumpa IO (pegawai penyiasat), saya akan memikirkan soalan (di minda saya), (cuba memikirkan) ke arah mana yang mereka cuba menghala,” katanya.

Menceritakan kehidupan seharian mereka selama 28 hari dalam kurungan, Jeyakumar berkata selain perjumpaan dengan polis untuk disoal-siasat dan pembantu perubatan untuk rawatan kesihatannya, tidak banyak yang boleh dilakukan.

"Kami bersarapan pada jam 7.30 pagi, (mereka beri kami) roti dan teh-O dan kira-kira 30 minit kemudian, kami dibawa berjumpa dengan pembantu perubatan untuk diperiksa tekanan darah dan diberi keperluan perubatan kami.

"Setiap kali kami dibawa keluar, mata saya ditutup dan digari - setiap hari. Malah ketika dibawa ke klinik, kita tidak akan tahu ke mana kita sedang tuju, hanya selepas sampai di klinik, penutup mata akan dibuka.

“Selepas itu, antara jam 9.30 dan 11.30 pagi, IO akan datang, ada kala pagi, petang dan kadang-kadang dia langsung tidak datang dan ada hari pula dia datang dua kali sehari.

"Selepas IO selesai, kami dibawa semula ke sel (untuk makan tengahari). Makanannya bagus, kami diberi nasi putih dengan ayam atau ikan. Pada jam 2 hingga 2.30 petang, kami dibawa semula berjumpa IO dan kembali semula ke sel pada jam 5.30 petang,” katanya.

Di sebalik pengalaman ngeri itu, Jeyakumar berkata beliau tidak gentar dengan penahanan itu dan label komunis yang cuba dikaitkan dengan dirinya. Katanya, beliau masih teguh pendirian dan kerja-kerjanya dengan PSM.

"Ini momokan (kerajaan). Bila kami bentuk parti ini (PSM) kerana berpendapat perlu ada kumpulan yang memperjuangkan masalah rakyat Malaysia yang ada kalanya dipinggirkan kerana tekanan pembangunan.

“Ketika itu, kami bekerja di sektor estet, banyak pembangunan (berlaku) dan ramai orang yang diberhentikan kerja dengan pampasan kecil (dan) tiada rumah yang sewajarnya, jadi mereka dirikan kawasan setinggan. Beberapa tahun kemudian, apabila kawasan itu dibangunkan, mereka dihalau keluar.

"Kami menjadi parti sosialis bukan kerana teori bahawa kami akan belajar mengenai komunisme dan berkata ia idea yang baik. Kami melihat apa yang berlaku pada peringkat akar umbi, dan perlu membela golongan terpinggir ini.

"Dan apabila kami memperjuangkan isu itu dan mengketengahkannya, kami kemudiannya sedari ia terletak di bawah sosialisme,” katanya.

Abby Abadi enggan hadir majlis perkahwinan Norman-Memey

Pelakon Abby Abadi sudah mengesahkan tidak akan hadir ke majlis resepsi persandingan bekas suaminya, Norman Hakim dan Memey Suhaiza pada 28 September depan di sebuah hotel walaupun menerima kad undangan daripada mereka.

Norman dan Memey di jadual bernikah pada 24 September depan di Felda Tenggaroh, Mersing Johor iaitu rumah pengantin perempuan.

Ujar Abby, dia berbuat demikian kerana enggan merosakkan hari bahagia mereka yang digelar sebagai “wedding of the year” itu berikutan menerima tajaan bernilai RM12 juta.

“Jujurnya saya tidak akan hadir pada majlis itu. Saya tidak mahu merosakkan hari bahagia mereka,” katanya kepada mStar Online di sini, Jumaat.

Mengenai keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Jumaat yang melepas dan membebaskan Norman dan Memey atas tuduhan berkhalwat kira-kira tiga tahun lalu, Abby enggan mengulas berhubung perkara itu.

Menurut Abby, dia tiada hak untuk memberi komen mengenai kes tersebut memandangkan bekas suaminya itu tiada kena mengena lagi dengannya.

"Itu adalah keputusan mahkamah. Jika mereka (Norman dan Memey) disabitkan bersalah, maka salahlah mereka dan jika keputusan berpihak pada mereka, maka mereka berada di pihak yang betul.

"Pada pendapat saya, sama ada saya beri komen atau tidak, Norman dan Memey tidak ada kena mengena pun dengan saya," katanya.

Tambah ibu tunggal kepada tiga orang anak ini, walau apa pun keputusan mahkamah, ia tetap tidak akan mengubah apa-apa aktiviti mengenai kehidupan sehariannya.

Ditanya adakah Abby sudah berbaik dengan Norman setelah isu tuntutan wang hantaran berjumlah RM11,111.11 terhadap Norman diperkatakan sebelum ini, menurut Abby mereka sekadar bertegur sapa mengenai perihal anak sahaja.

"Jujurnya, apabila timbul pertikaian mengenai isu tersebut (hantaran), ia sedikit sebanyak menjejaskan karier lakonan saya. Dan ia dilihat seperti saya yang mahu memanaskan keadaan.

"Oleh itu, saya letak tanggungjawab tersebut kepada peguam saya yang rasanya lebih tahu tentang perkara ini.

"Saya belajar daripada pengalaman apabila kita cakap sesuatu yang benar, ia akan terkena kepada kita. Jadi cakap pun tak guna dan biarlah orang yang lebih arif sahaja yang uruskan," ujarnya.

Dalam pada itu, mengenai hubungannya dengan pelakon Zul Arifin, mereka belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat walaupun masing-masing pernah berbincang mengenai hal tersebut.

Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan seramai tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Bagaimanapun mereka bercerai pada 18 Disember 2008.Abby

"Aleesha Farhana" akhirnya meninggal

Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu, 5 pagi tadi.

Beliau dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika dihubungi berkata jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor.

Katanya beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan.

Semalam, doktor mengesahkan anaknya itu mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau 'unstable angina with cardiogenic shock'.

Ahsraf nak jadi Aleesha meninggal duniaKatanya Mohd Ashraf Hafiz, 25, sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak pada 18 Julai lalu.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, memohon untuk menukar nama di dalam MyKadnya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu.- Bernama

Friday, July 29, 2011

Cincin berlian RM24 juta-akhirnya Datin Rosmah buka mulut

Dalam kenyataan pertama sejak isu pembelian cincin berharga lebih RM24 juta muncul tiga minggu lalu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menyifatkan dakwaan yang mengaitkannya sebagai satu fitnah dan beliau tiada masa mahu melayan perkara itu.

Rosmah berkata, sebagai isteri Perdana Menteri beliau lebih senang memberi tumpuan terhadap perkara lebih berfaedah, terutama dalam hal dan agenda pembangunan rakyat daripada melayan isu tidak relevan.

“Tak ada apa yang saya nak cakap (mengenai pembelian cincin lebih RM24 juta) sebab saya tidak ada masa hendak layan perkara seumpama ini. Ikut sedap dia (blogger) saja hendak cakap (tuduh),” kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.

“Ini bukan perkara seronok-seronok, ini adalah fitnah . . . apa yang saya tidak rasa? Semua saya sudah rasa (difitnah).

“Justeru, daripada saya layan perkara seumpama ini lebih baik saya beri perhatian kepada hal rakyat kerana itu lebih penting,” katanya kepada pemberita di Pokok Sena, Kedah, semalam.

Ekoran kemunculan isu itu, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua minggu lalu.

Ketua PKR Rembau itu turut mendesak supaya Rosmah memberi penjelasan sumber wang yang dibelanjakannya untuk membeli cincin tersebut.

Badrul berkata beliau juga akan menyerahkan salinan cetakan dokumen itu dari skrin komputer bagi membuktikan pembelian cincin berharga RM24.4 juta itu bebas daripada dikenakan cukai import.

Beliau yang popular dengan panggilan Chegubard berkata, berdasarkan maklumat yang diterima SAMM pada 16 April lalu, berlian yang dikenali sebagai “Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond” diterbangkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Rosmah yang berada di Kedah mengiringi Datuk Seri Najib Razak dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri ini semalam diminta mengulas dakwaan portal berita pembangkang baru-baru ini kononnya beliau membeli sebentuk cincin bertatahkan berlian bernilai lebih RM24 juta.

Sementara itu, Rosmah berkata, sebagai isteri Perdana Menteri yang mempunyai kelulusan dan kelayakan lebih wajar baginya untuk menyumbang kepada usaha membantu rakyat termasuk usaha memantapkan pendidikan awal kanak-kanak terutama di luar bandar.

“Saya lebih senang dengan apa yang saya lakukan sekarang bagi membantu rakyat terutama dalam hal memperkasa pendidikan awal kanak-kanak terutama di luar bandar kerana bagi saya ilmu adalah harta paling bernilai untuk masa depan mereka,” katanya.

Peruntukkan untuk kaum India-prasyarat Kaum itu sokong BN: Palani

Peruntukkan perlu banyak disalurkan kepada kaum india, prasyarat kaum itu sokong BN, demikian kata Presiden MIC- G Palanivel.

Sekiranya kaum india memberi sokongan kepada BN, sudah tentu Presiden MIC itu tidak kalah pada PRU-12. Selain itu, Palani tidak memenuhi kretiria sebagai winniable candidate, atas sebab itu tidak dipilih mewakili BN pada PRK Hulu Selangor-kawasan Palani sendiri.

Layak kah seseorang yang telah tewas dalam pilihanraya dan ditolak oleh kaumnya, berkata-bahawa hanya peruntukkan yang banyak sahaja disalurkan kepada kaum itu, barulah akan menyokong BN.

Bagi AYT, apa yang tersirat melalui kenyataan presiden MIC itu adalah, kaum india sudah tidak menyokong BN. Berapa banyakpun peruntukkkan disalurkan kepada kaum itu, tidak akan mengubah pendirian kaum itu.

Kenapa kaum india menolak MIC? sebabnya terletak dibahu para pemimpin MIC sendiri. Cara kuku besi bekas Presiden MIC-Samy Vellu mengurus parti itu, adalah penyebab utama kaum india menolak MIC dan akhirnya seolah-olah BN juga ditolak oleh kaum itu.Selain itu, mereka melihat suara kaum india lebih banyak kedengaran di pihak pembangkang, baik dalam DAP mahupun PKR.

Kalau lah peruntukkan menjadi kretiria sokongan, kenapa calon-calon DAP atau PKR menang di kawasan kaum india?, sedangkan tiada peruntukkanpun disalurkan oleh dua parti itu kepada kaum itu.

Kepada puncuk pimpinan kerajaan, jangan kerana guruh di langit maka air di tempayan dicurahkan. Peruntukkan yang akan disalurkan akan menjadi seperti mencurah garam ke laut.

Apa yang perlu bagi BN adalah memberi peruntukkan yang sesuai berasaskan kepada setiap peti undi yang dimenangi, lupakan peti undi yang kalah, kerana berapapun peruntukkan yang disalurkan kepada peti undi yang menyokong pembangkang-tidak akan mengubah pendirian mereka.

Ambillah iktibar pada beberapa PRK lalu (peti undi bukan melayu), peratusan undi yang mengundi BN, tidak jauh beza berbanding peratusan yang diperoleh BN pada PRU-12, malah kebanyakkannya menurun; walaupun berjuta peruntukkan diumumkan untuk kawasan-kawasan tersebut.

Ingatlah-kaum bukan melayu/bumiputera, telah tercium-akbiat perpecahan melayu/bumiputera-maka kaum-kaum itu mengambil peluang untuk menidakkan penguasaan kaum majoriti dalam politik dan pentadbiraan negara.

Penguasaan kaum melayu/bumiputera tidak mungkin tergugat-jika masih bersatu-namun, pada keadaan sekarang-kaum majoriti itu telah berpecah tiga-Umno-Pas-PKR. Kaum bukan bumiputera melihat ini, atas sebab itu-apa sahaja rancangan atau peruntukkan disalurkan kepaada kaum itu, tidak akan mengubah pendirian mereka. Bagi mereka, peluang di depan mata-maka manafaatkan lah peluang itu.

Jika pada PRU-13, kaum melayu/bumiputera kehilangan kuasa-jangan salahkan kaum lain, salahkan lah kaum sendiri.Fikir-fikirkanlah

Thursday, July 28, 2011

KULI ambil alih jawatan Ketua Pembangkang?

Pakatan Pembangkang mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Bayan Baru (Bebas), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mendedahkan perkara itu berkata, maklumat itu diperolehinya daripada beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), pagi semalam.

Jayakumar mogok lapar

Ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dipercayai melancarkan mogok lapar bermula hari ini kerana kecewa dan hampa dengan penahanan tanpa bicaranya yang berpanjangan mengikut Ordinan Darurat.

Menurut isteri MP Sungai Siput tersebut Mohanarani, suaminya akan meneruskan mogok laparnya dalam usaha mendapatkan keadilan, samada dibebaskan bersama 5 tahanan atau dituduh di mahkamah.

Jeyakumar baru-baru ini dikejarkan ke hospital kerana komplikasi jantung sebelum dipindah ke Institut Jantung Negara untuk rawatan lanjut.

“Menurut Dr Jeyakumar, beliau telah memberi kerjasama penuh sejak direman di mana beliau telah menandatangani tiga laporan termasuk laporan 45 muka surat di Pulau Pinang.

“Sekarang SB (polis cawangan khas) telah sediakan report dengan 80 mukasurat tetapi Dr Jeyakumar buat keputusan beliau tidak akan tandatanganinya kerana beliau melihat semua siasatan sebagai sia-sia sahaja,” katanya.

Dalam kenyataan media berasingan setiausaha agung PSM S Arutchelvan beliau akan ke ibu pejabat polis di Bukit Aman untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai kesihatan ahli parlimen itu.

Ahhh Komputer 1Malaysiapun dijual? Siapa mahu beli?

Jika benarlah komputer riba 1Malaysia dijual oleh penerima, ini sudah keterlaluan. Banyak mana harga komputer itu? Jenamapun "coby" entah buatan mana?

Pemberian komputer riba 1Malaysia adalah untuk pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan RM3,000 sebulan dan tiada langganan jalur lebar di rumah.

Awas!! Orang ni nak tawan Putrajaya

Atas bantuan PAS, orang ini sangat yakin akan tawan Putrajaya pada PRU-13 akan datang.

Asasnya-kononnya Himpunan Bersih menggambarkan semua itu.

Kawasan kampung dapat RM100 ribu, bandar bilion ringgit

Pada PRU-13 akan datang BN berhadapan dengan persepsi, bahawa mendapat pembangunan daripada dana kerajaan BN tidak semestinya menyokong BN.

Buktinya, kawasan Lembah Klang adalah kawasan dimana para pengundinya menolak BN, pun demikian, projek berbilion dipersembahkan ke kawasan tersebut. Sebaliknya kawasan Parlimen Kota Belud, di mana sejak merdeka menyokong BN, hingga kini keperluan air bersihpun belum terpenuhi. Bayangkan, 47 tahun, Sabah menyertai Sarawak dan Malaya membentuk Malaysia, keperluan asaspun belum disediakan.

Dikhabarkan TPM akan meluluskan tambahan RM100,000 bagi setiap parlimen, sebagai tambahan kepada peruntukan tahunan RM1 juta. Ada apa dengan RM100ribu???? untuk baiki reban ayam barangkali!!!

Perlis undang Dr Uthman bincang Wahabi, Terorisme

Kerajaan negeri Perlis melalui jawatankuasa fatwanya hari ini mengeluarkan undangan rasmi kepada penceramah popular Dr Muhammad Uthman El-Muhammady yang dikatakan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan fahaman Wahabi dan terorisme.

Menurut mufti negeri Dr Juanda Jaya, undangan rasmi bertulis dihantar kepada felo Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC) itu setelah diputuskan anggota jawatankuasanya semalam.

"Kita harap majlis itu dapat diadakan pada bulan puasa ini supaya kurang sedikit unsur syaitannya. Jika tuduhan itu tidak benar, ia dianggap memecahbelahkan orang ramai, mengikut perangai syaitan dan mengancam negara," katanya.

Dalam tradisi Islam, Ramadan dikatakan bulan berkat kerana syaitan dikatakan 'terikat' pada siang hari ketika umat Islam berpuasa.

Sebelum ini melalui taklimat tertutup Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya Isnin lalu, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan 40 ulama muda Umno antara yang dikaitkan dengan fahaman itu.

Dikatakan juga taklimat itu juga mendakwa Arab Saudi sebagai dalang di sebalik jaringan itu.

Bagaimanapun, semalam, Dr Juanda mendedahkan beliau dan institusi kerajaan negeri Perlis turut menjadi mangsa kepada "tuduhan liar" dalam majlis di mana Dr Uthman terlibat sebagai seorang pembentang kepada mufti dan wakil majlis agama Islam negeri yang hadir.

Dr Juanda berkata, Dr Uthman boleh memilih tarikh di mana beliau mempunyai kelapangan untuk membentangkan semula idea-ideanya kepada anggota jawatankuasa fatwa negeri dan ahli akademik yang akan dijemput.

"Majlis ini juga terbuka kepada orang awam dan pihak media supaya setiap pihak dapat menilainya," kata Dr Juanda yang juga felo pelawat di Universiti Oxford.

Menurut Dr Juanda, Dr Uthman perlu membuat penjelasan itu kerana implikasi dakwaan dalam taklimat itu melibatkan amalan penting umat Islam seperti mengerjakan umrah dan haji umat Islam di Mekah - wilayah yang ditadbir Arab Saudi.

"Menjelang Ramadan juga, ramai imam daripada Mekah dijemput mengimani solat Tarawikh di negara ini, kita bimbang amalam mereka tidak sah pula nanti," katanya.

Arab Saudi merupakan negara yang paling dikaitkan dengan fahaman Wahabisme, terutamanya oleh golongan Orientalis. Di Malaysia pula, Perlis satu-satunya negeri yang dikaitkan dengan amalan itu walaupun pemimpin dan ulamanya sering menafikannya.

Dr Uthman merupakan tokoh maal hijrah kebangsaan pada tahun 2005. Pemegang ijazah doktor persuratan kehormat (D Litt) daripada Universiti Sains Malaysia (USM) itu terkenal kerana kajiannya dalam bidang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pelajar Malaysia di Jepun ditemui mati di Pattaya, Thailand

Muhammad Syafiq Abu Ani daripada Batu Pahat, Johor seorang pelajar Malaysia yang sedang belajar di Jepun, dijumpai mati di luar sebuah Kondominum di Pattaya, Thailand Sabtu lalu.

Menurut keluarganya, arwah tidak pernah memberitahu keluarga atas ke pulangannya ke Malaysia; malah pada khamis minggu lepas, semasa dihubungi, arwah berkata dia berada dalam lab di universitinya.

Berdasarkan maklmuat di tiketnya, Arwah berada di Bangkok kerana transit daripada Jepun pada jumaat, namun yang peliknya, kenapa arwah berada di Patayya, 80km daripada airport, sedangkan arwah perlu terbang ke Malaysia pada hari yang sama.

Menurut polis Bangkok, arwah telah terjun daripada tingkat 14, Niran Grand Condominium di Soi Arunothai, Pattaya Tengah.

Sejauh mana keberanian PAS?

Apakah sebenarnya yang PAS mahu? Apakah PAS benar-benar berani?

Itulah persoalan yang perlu dijawab oleh kepimpinan baru parti itu yang dilihat begitu teruja menjadi “jaguh” kepada pakatan pembangkang apabila sejak kebelakangan ini begitu lantang bersuara.

Jika pada 9 Julai lalu, kepimpinan PAS telah menunjukkan keberaniannya dengan mengerahkan ahli-ahlinya turun ke jalanan menyertai perhimpunan haram Bersih, terbaru mereka menolak pula mentah-mentah cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai penggunaan sistem biometrik dalam pilihan raya umum akan datang.

Mungkin kerana keterujaan selepas mengubah dasar perjuangan daripada negara Islam kepada negara berkebajikan, istilah berunding dan berbincang seolah-olah tidak wujud lagi dalam kamus politik kepimpinan PAS, justeru mereka tidak mahu berbincang atau mendengar dahulu penjelasan SPR.

Corak berpolitik PAS sejak terbentuknya barisan harapan pilihan raya parti berkenaan selepas muktamar baru-baru ini, kini lebih menjurus kepada konfrantasi dan demonstrasi bukanlah lagi bertoleransi.

Oleh itu, ia menimbulkan kekeliruan dan persoalan apakah penolakan terhadap penggunaan sistem biometrik itu benar-benar dilakukan setelah membuat kajian atau ia lebih bermotif politik semata-mata.

Mungkin PAS ingin menunjukkan kepada sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bahawa mereka hebat berpolitik.

Namun persoalannya apakah PAS hanya berani berhadapan dengan SPR, berani bertelingkah dengan Umno, berani menyerang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berani berbalah dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi apakah PAS akan benar-benar berani untuk menjadi dominan dalam pakatan pembangkang?

Kalau kepimpinan baru PAS merasakan mereka sudah cukup hebat berpolitik maka mereka juga perlu menunjukkan “kehebatan” itu apabila berunding dengan PKR dan DAP dalam pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketika ini sudah ada cabaran kepada PAS untuk bertanding antara 120 hingga 130 kerusi Parlimen bagi membolehkan parti tersebut menjadi peneraju utama dalam pakatan pembangkang.

Cabaran berkenaan bukan sahaja dilontarkan oleh Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Daerah Kota Setar, Datuk Yusof Ismail, malahan oleh blogger-blogger yang mungkin sudah muak dengan “keberanian tidak bertempat” PAS.

Mereka melihat PAS begitu bercita-cita tinggi untuk menggantikan Umno malahan di mana-mana pun pemimpin PAS “menjaja” bahawa parti itu jauh lebih baik daripada Umno.

Tetapi malangnya “nafsu besar” itu tidak seiring dengan persoalan apakah PAS benar-benar berani hendak memberitahu PKR dan DAP bahawa PAS perlu dominan dalam pakatan pembangkang.

Setakat ini, pemimpin PAS meletakkan sasaran untuk bertanding 80 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum akan datang, lebih 14 kerusi daripada jumlah pada tahun 2008 iaitu 66 kerusi.

Maknanya, PAs mahu bertanding lebih kerusi daripada PKR dan DAP. Pada tahun 2008, PKR bertanding di 97 kerusi dan menang 31 kerusi manakala DAP bertanding 47 kerusi dan menang 28 kerusi.

Soalnya, daripada mana PAS akan mendapat 14 lagi kerusi Parlimen bagi meletakkan calon-calonnya? Apakah DAP akan memberi laluan? Atau apakah PAS hendak mengambil semula kerusi yang diberikan kepada PKR?

Beranikah PAS yang kini dilihat begitu ghairah untuk berkongsi kuasa dengan kedua-dua parti itu berkeras dan menunjukkan kejaguhan seperti mana mereka berhadapan dengan Umno, BN, SPRM, SPR dan PDRM?

Penulis percaya hasrat untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen atau menjadi dominan dalam pakatan pembangkang hanyalah mimpi indah yang mengasyikkan bagi PAS.

Cita-cita itu tidak akan tercapai dan ia sekadar impian seperti mana mereka diperdayakan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam “impian 16 September”.

“Keberanian” pemimpin-pemimpin PAS hanya terbatas di luar lingkungan pakatan pembangkang sahaja tetapi dalam kerjasama dengan PKR dan DAP, PAS sekadar menjadi “pak turut”.

Jika berhadapan dengan Umno, BN dan agensi kerajaan, PAS begitu bermati-matian melakukan serangan tetapi percayalah keberanian berkenaan tidak akan sampai ke mana apabila berhadapan dengan PKR dan DAP.

PKR sudah pasti tidak akan menyerahkan kembali kerusi PAS yang mereka tandingi pada tahun 2008 kerana ia melibatkan banyak kawasan selamat, begitu juga DAP yang tidak akan sesekali menyerahkan kerusi mereka kepada PAS.

Semangat setiakawan seperti mana ditunjukkan oleh Umno yang bersedia menyerahkan kerusi kawasan selamat kepada MCA atau MIC sama sekali tidak akan berlaku dalam pakatan pembangkang.

Dalam pakatan berkenaan masing-masing ingin berkuasa apatah lagi PKR dan DAP amat memahami keghairahan PAS untuk berkongsi kuasa bersama mereka.

Kerana itulah PAS menjadi satu-satunya parti pembangkang dalam sejarah politik negara sanggup mengorbankan dasar perjuangannya — satu tindakan yang sama sekali tidak akan dilakukan oleh PKR apatah lagi DAP.

Oleh itu PKR dan DAP tidak akan melayan tuntutan PAS apabila tiba masa perundingan pembahagian kerusi dilakukan kerana percaya serta yakin bahawa keberanian PAS tidak bertempat.

PAS hanya berani terpekik terlolong di jalanan, menunjuk hebat di hadapan rakyat dengan membuat pelbagai tohmahan kepada kerajaan BN tetapi pasti akan tunduk kepada kehendak PKR dan DAP.

Justeru adalah diharapkan kepimpinan baru PAS tidak terlalu ghairah hendak menjadi jaguh dalam berhadapan dengan Umno, BN dan agensi kerajaan kerana kesudahannya bukan PAS yang akan meraih keuntungan sebaliknya PKR dan DAP.

Dan paling malang bagi PAS pula keberanian tidak bertempat parti itu hanya akan menyebabkan rakyat terutamanya orang Melayu menolak mereka dalam pilihan raya nanti.

Malahan orang Melayu juga tahu PAS tidaklah seberani mana apabila berhadapan dengan PKR dan DAP. Isu penjualan arak di Selangor dan larangan beroperasi kepada 13 pusat hiburan di Kedah pada bulan Ramadan sudah menjadi bukti sejauh mana keberanian PAS dalam berpolitik. — Utusan Malaysia.

Wanita Islam dilarang kerja GRO dipusat hiburan, bagaimanapula Kelab Golf?

Mulai tahun depan Majlis Perbandaran Kuantan menguatkuasakan larangan wanita islam berkerja di pusat hiburan yang menyediakan minuman keras.

Hasil kajian yang dilakukan mendapati 85 peratus pekerja pusat hiburan terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam dan mereka terdedah untuk meminum minuman yang memabukkan itu. Selain itu, ia juga secara tidak langsung memberi kesan negatif apabila GRO beragama Islam, sekalipun tidak meminum tapi mengangkat dan menghidangkan minuman keras kepada pelanggan. Alasan diatas adalah salah satu faktor larangan tersebut.

Bagaimana pula kelab golf? adakah larangan serupa berkuatkuasa?

Wednesday, July 27, 2011

Surendran disiasat

Surendran disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana didakwa membuat kenyataan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam di luar ibu pejabat polis Dang Wangi pada 20 Julai.

Pada 20 julai lalu, Naib Presiden PKR itu menyatakan bahawa apa yang berlaku di jalan bawah KL Sentral (pada 9 Julai) adalah percubaan membunuh.

Penyokong Pakatan buat kecoh di KL Sentral sebelum ketibaan DS Najib

Sepuluh orang termasuk pembantu ahli parlimen Ampang dan pemimpin pemuda PKR membuat kecoh di KL Sentral pada satu majlis bersama DS Najib petang ini. Antara mereka adalah Mohd Fareez Kamal Intidzam, pembantu kepada Zuraida Kamaruddin.

Najib dan beberapa anggota jemaah menteri menaiki tren Express Rail Link, daripada Putrajaya menuju ke KL Sentral bagi mengedarkan bendera Jalur Gemilang menjelang sambutan hari kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Agak-agaknya berapa RM UNCLE ini dapat daripada NSTP?

Lim Kit Siang hari ini bersetuju membuat penyelesaian di luar mahkamah dengan New Straits Times Press (M) Bhd berhubung saman fitnahnya yang mendakwa akhbar itu salah memetiknya pada pilihan raya kecil Galas yang lalu.

Bagaimanapun jumlah pampasan yang dipersetujui tidak dinyatakan.

Perkara itu didedahkan oleh peguam Lim, Sangeet Kaur setelah perjumpaan dengan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

"Pihak-pihak berkenaan diminta hadir semula pada 17 Ogos bagi merakamkan kenyataan dan syarat-syarat yang dipersetujui,” kata hakim.

"Berikutan kenyataan yang dirakamkan itu nanti, saman berkenaan akan ditarik balik.”

NSTP diwakili oleh peguam Liew Teck Huat.

Lim pada November tahun lalu menfailkan saman fitnah terhadap NSTP kerana mendakwa ia menyiarkan artikel berunsur fitnah semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di akhbar Berita Harian, pada 2 November lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim berkata NSTP telah secara salah dan berniat jahat menyiarkan artikel bertajuk "Tindakan Kit Siang tuduh Umno kafir melampau" yang mengandungi perkataan-perkataan fitnah dicetak dan disiarkan di akhbar Berita Harian.

Menurutnya, artikel itu antara lain melaporkan bahawa beliau telah berucap di satu ceramah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di Kelantan, di mana beliau telah menuduh orang Melayu Umno kafir.

Katanya artikel itu membawa maksud beliau adalah seorang ahli politik yang berniat jahat untuk mewujudkan perasaan saling benci-membenci di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Lim berkata penyiaran perkataan-perkataan fitnah itu, telah merendahkan kedudukan beliau sebagai seorang ahli politik serta penghinaan awam, dan sehubungan itu beliau menuntut ganti rugi teruk, teladan, faedah dan kos.

Malah kata Lim, beliau langsung tidak hadir pada cermah di Kampung Baru Hulu di kawasan Galas yang juga dihadiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim .

Mangsa ketuk ketapi-dapat pampasan

Penderitaan wanita berusia 28 tahun yang dipaksa membuat ketuk ketampi dalam keadaan berbogel sambil dirakamkan oleh pihak polis di balai Petaling Jaya berakhir hari ini apabila mereka yang bertanggungjawab dan kerajaan bersetuju membayar pampasan.

Penyelesaian kes itu dicatatkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Lau Bee Lan. Bagaimanapun jumlah pampasan yang dibayar itu tidak didedahkan.

Hemy Hamisa Abu Hasan Saari, yang sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai tiga orang anak juga tidak hadir di mahkamah hari ini.

Beliau diwakili oleh peguam Baljit Singh Sidhu dan Hazizah Kasim manakala kerajaan diwakili oleh Nor Mastura Ayob.

Mimpi ngerinya bermula enam tahun lalu apabila video yang dirakamkan diedarkan sehingga sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja terpaksa ditubuhkan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Dzaiddin Abdullah.

Ketika memfailkan saman ke atas kerajaan pada 2005, Hemy menuntut pampasan sebanyak RM10 juta dan berkata apa yang berlaku “adalah tidak adil” kepada dirinya kerana dimalu sedemikian di khalayak umum oleh tindakan polis berkenaan.

Pada Januari 2006, kerajaan meluluskan peraturan melarang tahanan yang bogelkan membuat ketuk ketampi dan mencangkung selepas panel inkuiri mendapati tindakan itu bukan sahaja menghina tetapi mencabuli hak asasi manusia serta tidak dapat diterima mengikut Islam.

Amalan ketuk ketampi sambil berbogel digunakan bagi mencari dadah atau barangan lain yang disembunyikan di bahagian tertentu tubuh seseorang.

FB Najib diconteng

Warga internet melepaskan kekecewaan berhubung kenyataan dan beberapa tindakan kerajaan akhir-akhir ini dengan menulis komen "diam lah" di halaman Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mereka memulakan sindiran itu selepas tengah malam semalam setelah Najib memuatkan pautan ke artikel dalam blog terbarunya yang menyentuh soal tanggungjawab pemimpin dan keamanan negara.

Malah, ada yang menampal perkataan sama dengan tulisan yang besar di dinding (wall) halaman Facebook itu.

Perkataan “diam lah” turut dicatatakan di ruangan komen untuk masukan (posting) yang ditulis.

Warga internet yang pro-kerajaan bagaimanapun cuba berhujah bagi menangani tindakan itu dengan hamburan kata-kata kemarahan kepada penyokong Pakatan Rakyat. Bagaimanapun, tindakan itu gagal menangani tenaga lawannya yang jumlah jauh lebih ramai.

Sehingga berita ini ditulis, masukan menggesa perdana menteri supaya diam belum reda. Masukan terakhir seseorang yang menggunakan nama Haiza Ana dan foto Datin Rosmah dengan tulisan dengan blok besar.

Himpunan Bersih: Niat Ambiga memang mahu cabar Kerajaan

Akhirnya kebenaran juga yang terdedah. Jika sebelum ini, pihak Pembangkang mendakwa bahawa himpunan Bersih mendapat perkenaan, atas sebab Ambiga dan A Samad Said diterima menghadap di istana, ternyata satu pembohongan.

Petang tadi semasa wacana selepas 9 Julai di Shah Alam, Ambiga sendiri mengaku bahawa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan agar pihaknya tidak meneruskan perhimpunan jalanan seperti yang berlaku pada 9 Julai lalu.

Beliau turut mengaku bahawa baginda bertitah demikian empat hari sebelum perhimpunan haram berkenaan diteruskan ketika majlis menghadap di Istana Negara pada 5 Julai lalu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Exco Pergerakan Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail berhubung sama ada Yang di-Pertuan Agong pernah memberi peringatan kepadanya secara peribadi agar tidak meneruskan perhimpunan jalanan Bersih 2.0.

Bagaimanapun Ambiga berdegil dengan tetap menganjurkan demonstrasi jalanan berkenaan sehingga menimbulkan huhu-hara di ibu kota.

Wacana bertajuk 'Apa selepas 9 Julai' itu turut menampilkan Timbalan Pengerusi Suruhajaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin sebagai ahli panel.

Selain itu berhubung persoalan mengapa pihaknya bertegas mahu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka dan menolak tawaran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menganjurkannya di Stadium Melawati Shah Alam, Ambiga memberi alasan bahawa pihaknya mengambil kira soal kedudukan yang strategik.

"Di Stadium Merdeka senang untuk orang ramai keluar masuk ke kawasan berkenaan, ia kawasan yang strategik.

"Lagipun ada banyak kemudahan pengangkutan awam untuk orang pergi ke sana," katanya.

Bekas Presiden Majlis Peguam itu turut menyatakan bahawa faktor masa yang terlalu singkat menyebabkan perancangan untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka diteruskan.

"Kita bukan tak mahu elakkan keadaan huru-hara dengan menerima tawaran guna stadium di Shah Alam, tapi pengumuman awal telah dibuat dan kita hanya ada masa yang suntuk menguruskannya.

Tuesday, July 26, 2011

Fahaman Wahabi bukan sesat: Dr Mashitah

Thursday, November 5, 2009
Fahaman WAHABI Bukan Sesat: Dr Mashitah

Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Kalau kita kata sesat, maknanya kalau kita pergi Mekah, kita tak bolehlah sembahyang dengan tok imam di Mekah... tak sah, habislah jemaah haji kita.

"Dia (Wahabi) tak sesat, cumanya ia bergantung kepada kesesuaian di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan bertajuk 'Pendermaan Organ dari Perspektif Islam' di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yaasiin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan biasa umat Islam di negara ini.

Mashitah yang menyifatkan isu mengenai Wahabi ini sebagai "sensitif", berkata setakat ini fahaman tersebut masih boleh dibendung dari terus berkembang ke seluruh negara.

"Kita juga perlu menjaga (sensitiviti) beberapa negeri, negara dan masyarakat kita. Jadi kalau kita timbulkan banyak isu ini, masyarakat akan jadi keliru.

"Sekarang ini kita tekankan di Malaysia ialah kita berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Perbezaan dalam aliran ini selagi tidak menyentuh mengenai akidah, maka ia adalah fahaman yang boleh diterima tetapi kalau sentuh soal akidah, contohnya Allah itu duduk ke tak duduk ke, maka kita akan ambil satu pendekatan yang lebih serius.

"Tetapi setakat ini fahaman Wahabi itu kita masih dapat bendung," katanya.

Mashitah ketika ditanya pemberita sama ada fahaman tersebut boleh dikategorikan sebagai berbahaya, berkata: "Kerajaan dan Majlis Fatwa sedang melihatnya dengan berhati-hati supaya tidak menimbul ketegangan dalam kalangan orang agama mahu pun masyarakat yang melihat.

"Kita di Malaysia ini mengambil pendekatan yang halus dan berdiplomasi. Sensitiviti kebanyakan orang itu, kita kena jagalah. Itu yang kita nak jaga supaya perpaduan sesama kita terpelihara."

Turut hadir pada seminar tersebut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Othman Mustafa dan Pengarah Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Datuk Dr Azmi Shapie.

Intisari warkah terbuka Dr Asri-ditujukan kepada pasukan polis

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang semalam mendapat perhatian ekoran laporan bahawa menjadi fokus pihak berkuasa berhubung isu Wahabi dan terorisme, hari ini menulis warkah sambil meminta polis dapat mempertahankan keadilan sebaik mungkin agar pasukan itu tidak “dibenci” dan tidak “diragui” rakyat.

Bekas mufti Perlis ini berkata bidang tugas dan kuasa “saudara yang menghalang kezaliman itu, jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya.”

“Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya,” kata beliau dalam tulisannya bertajuk “Warkah Buat Saudaraku Anggota Polis”, yang bersifat umum, yang diedarkan kepada media hari ini.

Tulisannya tidak merujuk kepada mana-mana kes khusus.

Mengikut laporan media semalam, Majlis Keselamatan Negara telah memutuskan agar agensi agama negeri dan para mufti memantau pergerakan fahaman Wahabi dan dipercayai boleh menjurus kepada aktiviti pengganas.

Asri (gambar) dilaporkan antara nama yang disenaraikan. Turut disenaraikan ialah mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan sekitar 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Asri dari dulu menafikan beliau mengamalkan fahaman Wahabi.

Hari ini dalam tulisannya, kata Asri, jika keadaan itu berlaku, maka “rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas.”

“Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui,” kata beliau yang tidak merujuk kepada mana-mana kes secara khusus.

Asri, yang dilihat sebagai tokoh agama progresif, banyak memberikan pandangan peribadinya mengenai isu-isu semasa termasuk yang terbaru mengenai perhimpunan Bersih 2.0 yang berlangsung pada 9 Julai.

Pihak polis diberi tanggungjawab menangani perhimpunan 9 Julai, tetapi tindakan mereka disifatkan sebagai terlalu oleh sesetengah pihak dan mengakibatkan mereka berhadapan kritikan dan kecaman.

Pentadbiran Najib mempertahankan tindakan polis.

Asri antara lain berpandangan bahawa rakyat harus diberikan kebebasan bersuara dan berhimpun.

Dalam tulisannya hari ini, Asri juga berkata pasukan polis boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab di hadapan Allah.

“Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat.

“Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara,” kata ahli akademik ini.

“Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: ‘Benar adalah amanah, bohong adalah khianat’. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia,” kata Asri lagi sambil menyifatkan tulisan ini sebagai “pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya.”

Katanya, tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak di mana rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua.

“Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil. Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara.

“Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara,” katanya lagi.

Asri seterusnya berkata tiada siapa yang dapat menyelamatkan dirinya daripada hukuman Tuhan.

Kata beliau, seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya atau si mangsa juga mungkin terlupa ataupun pergi menemui Ilahi terlebih dahulu.

“Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa.

“Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya ‘apakah salah saya?’. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana,” kata beliau lagi.

Sambil menarik perhatian bahawa dunia ini sementara, kata Asri, setiap “kita akan ada hari akhirnya.”

“Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan. Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan,” katanya lagi.

Sodomi II: Anwar fail notis untuk temu bual DS Najib dan Datin Rosmah

Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan satu notis usul memohon untuk pihak pembelaan menemu bual lima saksi dalam perbicaraan kes liwatnya sebelum beliau membela diri pada 8 Ogos.

Anwar yang memfailkan permohonannya menerusi Tetuan Karpal Singh & Co pagi ini, menamakan dua saksi berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tiga saksi yang lain ialah Hasanuddin Abd Hamid iaitu pemilik unit kondominium di mana kejadian didakwa berlaku; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Anwar di dalam notis itu menyatakan bahawa mengikut undang-undang adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk memastikan mereka mengemukakan semua saksi untuk ditemu bual pihak pembelaan dan semua kos ditanggung pihak pendakwaan.

Di dalam afidavit sokongannya, Anwar menyatakan bahawa peguamanya, S N Nair menerima sepucuk surak daripada Jabatan Siasatan Jenayah Brickfields bertarikh 18 Julai bahawa Mohd Rodwan, Najib, Rosmah dan Musa enggan ditemu bual tetapi bersetuju untuk menjadi saksi pihak pembelaan dengan syarat sapina dikeluarkan terhadap mereka.

"Sementara itu, Hasanuddin enggan ditemu bual kecuali jika ia dilakukan dengan kehadiran peguamnya," kata Anwar dalam afidavitnya.

Anwar berkata, jika semua saksi berkenaan gagal hadir untuk ditemu bual peguamnya, beliau sudah dinafikan hak untuk satu perbicaraan yang adil.

Daripada 25 orang yang dikenal pasti untuk ditemu bual pihak pembelaan, hanya lima ditemu bual setakat ini.

Mereka ialah bekas ratu pecut, Datuk Mumtaz Jaafar; bekas doktor PUSRAWI, Dr Mohd Osman Abd Hamid; adik perempuan Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan; seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur, Dr Daniel; dan bekas pegawai khas Najib semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anaz Yusof.

Pada 13 Julai, hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 8 hingga 26 Ogos untuk mendengar hujahan pihak pembelaan.

Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantu Ketua Pembangkang itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang juga pengadu kes itu ialah saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa.

Pada penghujung kes pendakwaan, pihak pendakwaan mengemukakan 71 saksi, yang mana pihak pembelaan memilih untuk menemu bual 25 orang.

Pada 7 Ogos 2008, Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan meliwat bekas pembantunya di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun, 2008. - BERNAMA

Muslihat Musa Aman terbongar

Berhadapan dengan Malaysia monument, sepanjang Jalan Pantai ada sebidang tanah, milik kerajaan. Sebelumnya tanah tersebut dijadikan tempat perhentian bas dan teksi. Saya difahamkan tanah tersebut milik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Kini ditanah tersebut tersergam megah Hotel Horizon and Spa. Hotel bertaraf 4 star itu dimiliki Gary Saw, seorang berbangsa Tionghua dari Semenanjung Malaysia. Gary Saw adalah bekas rakan kongsi perniagaan Datuk Musa Aman.

Seorang lagi pemaju yang banyak mendapat peluang perniagaan ialah Humphrey Tan juga bekas rakan kongsi Datuk Seri Musa Aman. Humphrey adalah pemaju Sabah Suria, sebuah hartanah milik kerajaan negeri.

Humphrey dan Musa adalah pemilik Syarikat Jasamu Development Sdn Bhd pernah membangunkan satu lagi tanah kerajaan milik kerajaan, KPD (Koperasi Pembangunan Desa) di Inananm, menjadi sebuah pasaraya yang kini dimiliki syarikat Giant.

Pada mulanya, rakyat Sabah merasa bertuah kerana Datuk Musa Aman yang menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat sebagai Ketua Menteri Sabah pada Mac 2003 adalah seorang yang telah kaya raya. Seorang peniaga dan seorang banker yang berjaya.

Biasanya orang yang berstatus seperti itu, tidak rakus atau terburu-buru mengejar harta dan kekayaan untuk diri sendiri. Sebaliknya fokus kepada pembangunan rakyat dan negeri Sabah!

Apabila Chong Kah Kiat mencadangkan Musa Aman sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah, hanya satu dalam otaknya, orang yang telah kaya tidak tamak dan rakus. Dia juga berharap momentum pentadbiran yang bersih dan telus dapat diteruskan. Pembangunan wilayah seperti di Kudat boleh dikembangkan ke daerah-daerah lain. Begitu juga dengan usaha mengurangkan PTI. Harapan itu dikongsi seluruh rakyat Sabah terhadap Datuk Musa Aman.

Setelah 8 tahun dan dua penggal, negeri dan hasil mahsulnya diurus seperti mengurus sebuah syarikat private and family dan friends enterprise.

Dianggarkan 99% yang mendapat faedah dari hasil balak termasuk konsesi Yayasan Sabah adalah orang bukan Melayu/bumiputera dan bukan Islam. Pemimpin UMNO di Sabah termasuk ketua-ketua bahagian secara senyap-senyap melahirkan rasa amat kecewa. Mungkinkah time bomb yang hanya menunggu masa untuk meletup!?

Muncullah nama-nama seperti Freddy Lim – bekas nominee kepada Datuk Jeffrey Kitingan, Andrew Lim, Micheal Chai, Nasir Yeo, John Lim dan Datuk Elbert Lim. Nama-nama ini meniti dari bibir ke bibir rakyat Sabah yang terus dihimpit kemiskinan dan kesusahan hidup!

Projek-projek negeri yang bernilai ratusan juta pasti diberikan kepada nama-nama berikut: Datuk Robert Tan, Terrece Chung, Lawrence Chung (dua beradik pemilik kedai buku Ming Kiang books store), Gray Saw dan Humphrey Tan.

Manakala projek-projek swasta yang melibatkan hartatanah kerajaan dan GLC, dua nama utama yang dipilih sebagai pemaju ialah Raymond Chan (1Borneo, Warisan Square dan Water Front Project) dan Humphrey Tan (Sabah Suria).

Raymond Chan membangunkan tanah milik Pertubuhan Islam Sabah (USIA) menjadi megamall terbesar 1Borneo. Ramai yang tahu USIA telah ditipu oleh pemaju kerana USIA akhirnya tidak mendapat bahagian yang sepatutnya seperti dalam perjanjian. Tapi pengurusan USIA terlalu takut kepada Musa untuk mengambil tindakan undang-undang.Tulisan asal disini.

Pengganas kah Dr Asri?

Ramai yang terkejut apabila MKN mendapati mereka yang berfahaman wahabi adalah juga pengganas.

Yang lebih memperanjatkan lagi, apabila Dr Asri Zainul Abidin dan Mufti Perlis Dr Juanda beserta 40 ulama muda yang telah menyertai Umno telah dikaitkan dengan fahaman wahabi dan pengganas.

Dikatakan juga bahawa kerajaan Arab Saudi adalah dibelakang tokoh-tokoh agama tersebut untuk menyebar luaskan fahaman wahabi di negara ini.

Demi menjernihkan isu ini, MKN perlu perjelas, atas fakta dan kretiria apakah sehinggakan tokoh-tokoh agama tersebut dicap sebagai pengganas.

Dr Asri terkilan apabila dikaitkan dengan fahaman wahabi

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap ulama-ulama muda, yang menyertai Umno tahun lalu, mengkaji balik kedudukan mereka dalam parti itu ekoran tindakan pihak tertentu terus mengaitkan mereka dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas.

Isu ini menjadi perhatian ekoran laporan media semalam bahawa Majlis Keselamatan Negara (MK) telah meminta para mufti dan agensi agama negeri mengambil tindakan memantau amalan tersebut.

Asri dan 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu disenaraikan sebagai pihak yang perlu dipantau.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada pengesahan rasmi mengenai laporan media semalam.

Sehubungan itu, Asri (gambar) berkata, beliau terkejut apabila ada pihak yang menganggap sekitar 40 ulama muda, kebanyakannya merupakan rakan beliau dan menyertai parti teras Barisan Nasional (BN) itu setahun lalu, didakwa menggunakan politik sebagai platform untuk mengembangkan fahaman Wahabi dan dikaitkan boleh menjurus kepada aktiviti pengganas.

“Saya tahu mereka ini (ulama muda) bertungkus-lumus membantu Umno dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ulama muda dalam parti politik dan menjalankan kerja-kerja mendakwah, tetapi mereka dilabelkan macam ini.Oleh yang demikian, eloklah mereka mengkaji semula kedudukan mereka dalam Umno.

Dalam tulisan di laman Facebooknya semalam, Asri berkata “pada hari ini satu taklimat keselamatan diberikan kepada para mufti dan pegawai agama di seluruh negara... tamat pada pukul 1 tengah hari... beberapa tokoh dimasukkan sebagai mengancam keselamatan negara... saya pun dimasukkan juga... saya tidak kisah, memang ada pun pendapat saya yang tidak sama dengan kerajaan pusat termasuk dalam isu Bersih.”

“Namun yang peliknya 40 ulama muda Umno juga dimasukkan dalam senarai pengganas khusus Ustaz Fathul Bari (Mat Jahya)... demikian setelah mereka berhempas membela kerajaan Umno, inilah balasannya.”

Malah kata Asri, “(kerajaan) Arab Saudi dan ulamanya dianggap negara pengganas.. parti politik tertentu yang menerima bantuan daripada Arab Saudi juga dianggap ada unsur pengganas... sudah pasti lulusan Madinah semuanya pengganas... inilah apabila madu dibalas racun, penawar dibalas tuba... elok ulama muda Umno mengambil langkah yang drastik...”

Ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu dilihat sebagai rakan Asri. Asri juga pernah dikatakan akan menyertai Umno bersama mereka ketika itu, tetapi bekas mufti itu memutuskan untuk kekal di luar arena politik dan meneruskan pendirian beliau tanpa memihak mana-mana pihak.

Cakap-cakap mengenai isu Wahabi dan penyertaan ulama muda dalam Umno pernah kedengaran sebaik sahaja mereka menyertai parti itu tahun lalu tetapi dinafikan oleh mereka dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider.

Difahamkan mesyuarat pagi semalam merumuskan pihak-pihak dipercayai ada kaitan dengan amalan Wahabi akan berakhir dengan pembabitan terorisme.

Mesyuarat itu adalah susulan kepada pertemuan tahun lalu yang membincangkan isu berkenaan amaln Wahabi di peringkat pusat pengajian tinggi.

Difahamkan mesyuarat semalam telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang popular negara ini termasuk tokoh-tokoh ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Selain Asri antara nama yang disebutkan ialah Fathul dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya.

Dalam komen awal semalam, Asri berkata beliau terkejut dengan kemunculan semula isu amalan Wahabi sedangkan menurut beliau ia sepatutnya sudah “reda.”

Sementara itu, Fathul Bari memberitahu semalam bahawa beliau tidak mahu memberi sebarang komen berhubung perkembangan terbaru ini.

Beliau sebaliknya menegaskan agar pihaknya diberi peluang untuk membuat penjelasan dengan MKN.

Isu mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI) muncul awal tahun lalu.

Ketika itu nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Juanda juga muncul. Nama tokoh-tokoh itu dilaporkan dibangkitkan pada satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman ketika itu.Namun pada kali ini nama Hadi dan Shahidan tidak muncul lagi.

Isu itu sekali lagi muncul April lalu apabila seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”

Mengulas lanjut, Asri meminta agar pihak berkuasa boleh memanggilnya untuk mendapatkan penjelasan pada bila-bila masa, bukannya membuat tanggapan sedemikian.

“Dua hari lalu, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ada datang berjumpa saya di rumah saya (di Pulau Pinang). Ketika masa perhimpunan Bersih 2.0, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar juga ada menghubungi saya untuk berkongsi pandangan.

“Jadi, mereka (pihak berkuasa) boleh menghubungi saya bila-bila masa jika memerlukan maklumat dan penjelasan... bukan menyenaraikan dan melabelkan seperti ini,” kata tenaga akademik Universiti Sains Malaysia ini, yang akhir 2009 dikenakan dakwaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor mengadakan kuliah agama tanpa tauliah di Hulu Klang.

Bertolak daripada pendiriannya berkaitan dengan isu-isu politik mutakhir, Asri juga berkata, pihak-pihak tertentu menentang fahaman Wahabi kononnya membawa fahaman sempit dan bertentangan dengan prinsip sebenar Islam.

“Saya menyokong usaha menentang jika fahaman Wahabi membawa fahaman sempit. Tetapi pihak yang membawa amalan Wahabi cuba membawa unsur progresif dan unsur-unsur yang sesuai dengan persekitaran moden, tetapi tidak meninggalkan prinsip Islam... misalnya isu kedudukan wanita dalam masyarakat.

“Seperti yang dikatakan oleh Barat, kita patut menentang dan mengelak perkara-perkara yang membawa kepada fahaman sempit,” kata Asri sambil menambah, “dalam perkembangan sekarang, mereka yang menentang kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan berhimpun juga seharusnya dianggap sebagai mereka yang mengamalkan fahaman Wahabi.”

“Sebab mereka tidak dapat membezakan antara fahaman progresif dan konservatif,” katanya lagi.

Asri merupakan antara tokoh agama progresif memberikan pandangan dan pendirian terbukanya mengenai perhimpunan Bersih 2.0 yang berlangsung di ibu negara 9 Julai lalu. Ia dikatakan kurang disenangi oleh sesetengah pihak dalam kerajaan dan Umno.

Etnik ini lah penyokong kuat BN Sabah

Kehidupan Bajau laut dalam kumpulan etnik BAJAU  yang mendiami Semporna, Sabah.

Bajau merupakan himpunan etnik kedua terbesar selepas Kadazan-Dusun-Murut di Sabah. Seperti KDM, Bajau juga mempunyai organisasinya sendiri yakni USBO.

Jangan peralatkan institusi Raja-Beri nasihat yang benar: Raja Nazrin

Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah bertitah adalah amat penting Raja-Raja disembah maklumkan secara berterus terang mengenai cerita sebenar dan sama sekali tidak dipagari oleh mereka yang berkepentingan diri sehingga Raja tergamak diperalatkan.

"Raja wajib memiliki kumpulan penasihat yang jujur lagi ikhlas, kumpulan penasihat yang peka kepada denyut jantung dan denyut nadi warga, kumpulan penasihat yang tegas lagi berani menyatakan yang benar," titah baginda dalam Wacana Ilmu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bertema "Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Warga" di Shah Alam hari ini.

Menurut baginda, Raja sendiri hendaklah bersedia menerima hakikat dan kenyataan, betapa pahit dan berat sekalipun, kerana keadilan tidak mungkin dapat ditegakkan tanpa kebenaran.

Raja Nazrin Shah (kiri) bertitah bahawa Raja tidak dapat berperanan secara bermakna sekiranya Raja sentiasa dilukiskan dengan sebaik-baik gambaran.

"Ia bukan sahaja melukiskan gambaran palsu tetapi telah tidak bersifat adil kepada Raja, menidakkan hak Raja menyempurnakan tanggungjawab secara saksama untuk membolehkan peranan Raja diterima baik oleh warga," titah baginda.

Baginda bertitah adalah benar persaingan politik semakin sengit dan juga benar isu agama dan isu kaum amat sensitif tetapi persaingan politik hanyalah mengambil kesempatan memperjudikan isu agama dan isu kaum serta mengeksploitasi sentimen ketidakpuasan hati rakyat yang lebih rencam.

"Dalam setiap perselisihan dan dalam segala perbalahan tidak mungkin satu pihak betul semua dan tidak mungkin satu pihak salah semua tetapi kaedah mencarikemenangan mutlak dan kaedah mahu menjatuhkan lawan telah mengetepikan elemen adab, elemen adat, elemen moral dan elemen agama," titah Raja Nazrin.

Baginda bimbang jika suhu politik semakin panas, impian untuk membina perpaduan akan menemui mimpi ngeri yang sangat menakutkan.

Oleh itu baginda bertitah perlu ada institusi yang berwibawa untuk menurunkan suhu politik yang semakin panas, institusi yang kekal berkecuali dan institusi yang dapat diterima untuk membantu menenangkan suasana.

Raja Nazrin bertitah untuk itu amatlah penting dipastikan Raja kekal dalam disiplin yang berada di atas polemik politik tetapi Raja juga ada amanah, ada tanggungjawab untuk memastikan negara aman dan warga hidup secara rukun secara damai.

"Tetapi Raja tidak memiliki lampu ajaib yang boleh memupuk perpaduan dalam sekelip mata apatah lagi jika suasana sudah terlalu berkecamuk," titah baginda.

Menurut Raja Nazrin, sebaik peranan kepada Raja adalah untuk memberi nasihat secara tertutup kepada pelbagai instrumen negara mengenai tanggungjawab masing-masing supaya Raja tidak disalahtafsir mencampuri secara langsung urus tadbir negara.

Baginda bertitah bahawa perpaduan tidak akan berjaya dipupuk dalam situasi politik yang tidak stabil dan tidak matang selepas pilihan raya umum ke-12 di mana perlu ada penerimaan kepada realiti dan pemahaman bahawa tuntutan melakukan perubahan kepada yang lebih baik adalah lumrah alam.

"Perpaduan memerlukan kesediaan melakukan pengorbanan, menerima kekalahan dengan reda dan merayakan kemenangan dengan keinsafan," titah baginda.

Raja Nazrin Shah juga bertitah bahawa dalam dinamik politik yang sedang berlaku, adalah bertambah penting Raja selaku tonggak kestabilan dan payung penyatuan rakyat, bersifat berkecuali supaya semasa berlakunya krisis, Raja berupaya memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak.

"Payung kedaulatan negara ini (Raja) jangan sama sekali dirosakkan, jangan sama sekali ditiriskan, jangan hanya dicari bila panas terlalu terik atau hujan sudah turun.

"Payung negara ini adalah lambang kedaulatan warga, lambang kedaulatan negara, memberi teduh di hari panas, menangkis air di hari hujan," titah baginda.Bernama

Monday, July 25, 2011

50 orang penyokong Teoh Beng Hock mendesak ADUN Seri Kembangan-Ean Yong Hian Wah letak Jawatan

Seramai 50 orang penyokong Teoh Beng Hock berhimpun di Balai Serbaguna Seri Kembangan pagi tadi mendesak ADUN kawasan tersebut dari DAP dan juga exco kerajaan Selangor-Ean Yong Hian Wah meletakkan jawatan, kerana menyebabkan kematian mendiang Beng Hock.

Salah seorang penunjuk perasaan berkata, Ean adalah manusia kejam kerana membiarkan Beng Hock mati tanpa mendapat pembelaan daripada ADUN tersebut.

Beng Hock diminta memberi keterangan kepada pihak SPRM pada 15 Julai,2009 berhubung salah guna penggunaan peruntukan ADUN Seri Kembangan.

Beng Hock dijumpai mati diluar Tingkat 5 Plaza Masalam, Shah Alam, di mana pejabat SPRM Selangor beribu pejabat.

Penunjuk perasaan pagi tadi juga mendesak SPRM membuka semula siasatan terhadap ADUN tersebut, kerana menurut mereka, memang ada unsur salah guna kuasa.

Blog Archive