Monday, December 12, 2011

Sanggupkah PAS korbankan Hassan Ali?

Datuk Dr Hasan Ali awal-awal lagi mengaku, hanya setia pada Allah, bukan "setia" pada Parti, kerana menurutnya kalau beliau mengaku "setia" pada parti, maka akan membawa maksud lain.

Pada masa yang sama bekas pesuruhjaya PAS Selangor ini berkata, beliau akan bekerjasama dengan sesiapa saja yang berjuang untuk Islam.

Laporan media terbaru mengatakan bahawa beliau akan digugurkan daripada mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Gombak Setia.

Exco Kerajaan Negeri Selangor ini berkata beliau komited untuk mempertahankan Islam, orang Melayu dan institusi diraja.

“Saya setia kepada Allah. Kepada umat, dalam konteks ini, saya tidak suka menggunakan istilah setia, tetapi bekerjasama.

Hasan berkata laporan kononnya beliau akan digugurkan daripada bertanding semua pilihan raya akan datang bukanlah penentu akan meninggalkan PAS.

Menurut beliau, tindakan meninggalkan parti adalah satu tugas sukar.

Kata beliau, persoalan sama ada beliau kekal atau digugurkan sebagai calon pilihan raya tidak akan menghalang perjuangannya memartabatkan bangsa Melayu, mengagungkan agama Islam dan mendaulatkan institusi raja.

“Sama ada saya dicalonkan atau tidak, itu bukan menjadi halangan, pendirian saya tidak pernah berubah terhadap tiga perkara berkenaan.

“Bahkan isu ini menjadikan saya lebih kental untuk terus berjuang dan saya yakin, ramai yang memahami dan menjiwai semangat saya,” tegasnya.

Menurutnya lagi, pihaknya sendiri tidak mendapat maklumat daripada peringkat PAS pusat berkaitan isu tersebut, sebaliknya hanya mendapat maklumat daripada media.

“Saya tidak menyalahkan saudara Shaari Sungip berkenaan kenyataan tersebut tetapi saya ingin membuat penegasan bagi mengelakkan kekeliruan bahawa hal-hal pencalonan mesti diputuskan oleh PAS Pusat setelah melalui penilaian oleh Majlis Syura.

“Adalah tidak sesuai sekiranya mana-mana individu bertindak untuk mendahului kepimpinan tertinggi dalam parti berkaitan hal ini dan saya harap kepimpinan dapat memantau ahli di setiap peringkat agar tidak membuat kenyataan mendahului kepimpinan parti,” katanya lagi.

Jelas Hasan, pihaknya juga khuatir sekiranya perkara demikian adalah konspirasi dalaman yang cuba menjatuhkan dirinya.

“Saya rasa macam ada sedikit gangguan di peringkat negeri, tetapi saya harap konspirasi itu tidak berlaku,” katanya lagi.

“Perjuangan kita ikhlas, saya redha dengan apa jua tindakan PAS Pusat, tetapi sekiranya mereka tidak redha dengan saya, itu hak mereka, keutamaan saya adalah mendapat keredhaan Allah,” tegasnya.

Semalam, PAS menafikan laporan Mingguan Malaysia bahawa Hasan dan Nasharudin Mat Isa telah digugurkan daripada bertanding semula dalam pilihan raya umum ke-13.

No comments:

Blog Archive