Saturday, December 17, 2011

Pas bergolak: Dr Hassan dan Ustaz Nasha dianggap pemimpin gunting dalam lipatan

PAS kini siap 'menguruskan' dua pemimpin kontroversinya exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan bekas timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa yang dianggap merugikan parti, terutama dalam keadaan menjelang pilihan raya umum.

Antara tindakan itu dengan giat menggunakan organ parti - media cetak dan internet - untuk menjawab kenyataan kontroversi kedua-dua pemimpin itu yang tidak disenangi.

Bermula dengan kritikan terbuka setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali dalam akhbar web PAS Harakahdaily semalam, beberapa lagi siri dijangka berterusan, sekurang-kurangnya sehingga minggu depan.

Malah, Harakah edisi Isnin depan akan memuatkan wawancara khas dengan Mustafa yang mendakwa Hasan kini cuba mempengaruhi beberapa lagi pemimpin parti supaya 'tidak lagi yakin dengan perjuangan PAS', dengan tindakan itu, kedua-dua pemimpin itu adalah seperti gunting dalam lipatan.

Malah Mustafa dilaporkan menyatakan Hasan mahupun Nasharudin 'bakal tidak kekal lama' dalam perjuangan PAS.

"Saya dimaklumkan dan saya boleh mengesahkan Hasan ada menemui orang tertentu termasuk beberapa tokoh dalam PAS untuk meyakinkan mereka supaya bersama dengan dia kerana PAS sudah tidak boleh diyakini lagi.

"Saya tak nak dedahkan lagi siapa orang ini, cuma saya mahu sebutkan apa yang dilakukan Hasan ini dalam ruang-lingkup agenda musuh politik PAS," beliau dipetik sebagai berkata kepada Harakahdaily dan Harakah.

Tulisan itu bagaimanapun sudah boleh dibaca dalam blog seorang wartawan Harakah yang mewawancara Mustafa kerana sudah dimuatkan sejak semalam.

Pada hari yang sama, sebahagian kecil daripada rakaman wawancara kira-kira 30 minit itu juga dimuatkan dalam Harakahdaily.

Tindakan agresif itu jarang berlaku dalam PAS yang sering menekankan konsep penyelesaian secara dalaman dalam pelbagai isu.

Sumber Pas juga mendakwa bahawa disiplin kedua-dua pemimpin itu amat merunsingkan kepimpinan tertinggi PAS sehingga memaksa mereka mengambil langkah itu.

Dr Hasan baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa beliau bersedia membantu perdana menteri menyatupadukan Melayu-Islam, termasuk PAS dan Umno.

No comments:

Blog Archive