Tuesday, November 29, 2011

TPM ajak ahli Umno berjihad

Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa ahli-ahli Umno berjihad untuk mempertahankan kuasa orang Melayu dengan mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13 yang menurunya merupakan “ibu segala pilihan raya.”
Susulan tsunami politik tiga tahun lalu, Timbalan Presiden Umno ini menegaskan pilihan raya umum ke-13 akan menentukan jatuh bangun umat Melayu dan kelangsungan mereka.

“Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihan raya umum ke-13 adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain?” kata beliau berucap merasmikan secara serentak Persidangan Tahunan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno malam ini. Ucapannya disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen tempatan.

Dalam ucapan bertemakan “Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad”, Muhyiddin yang timbalan perdana menteri bertanya perwakilan ketiga-tiga sayap, “sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas dari genggaman kita?”

“Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat orang Melayu hilang kuasa di bumi sendiri? Jawapannya tentu sekali tidak,” kata beliau.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ini yang Umno merupakan parti terasnya berkata, perjuangan Umno sekarang jihad untuk agama, bangsa dan negara.

“Jihad untuk keadilan. Jihad untuk pertahan hak. Percayalah, pilihan raya umum nanti mempunyai makna yang cukup dalam kepada kelangsungan kita. Pilihan raya ini adalah medan jihad dan saudara-saudari adalah para mujahid dan mujahidah,” katanya merujuk kepada perwakilan ketiga-tiga sayap itu.

Persidangan tahun ini merupakan ketiga dirasmikan oleh Muhyiddin selaku timbalan presiden Umno.

Muhyiddin menambah, calon adalah senjata parti untuk menang dan oleh itu mahu setiap ahli memberi sepenuh keyakinan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.

Katanya, “yang penting, calon kita mesti berkaliber, berpendidikan, berwibawa, berjiwa rakyat, bersih, jujur, amanah, tinggi moralnya dan diterima oleh rakyat.”

“Akurlah dengan keputusan pucuk pimpinan. Berilah sokongan padu kepada setiap calon. Gerakkan jentera untuk membantu mereka,” kata beliau lagi.

Sambil menekankan bahawa Umno tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan, kata Muhyiddin, partinya bukanlah malaikat.

“Kita insaf dan sedar. Kita sentiasa mengorak langkah melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadai prinsip perjuangan,” katanya lagi.

No comments:

Blog Archive