Friday, November 25, 2011

Mati-Hidup Umno terletak di tangan perwakilan: Hisham

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perwakilan harus sedar bahawa kelangsungan hidup parti berada di dalam tangan mereka.

Oleh yang demikian, katanya mereka wajar memberikan sokongan padu kepada kepimpinan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menentukan arah tuju perjuangan parti, khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Umno perlu terus mantap khususnya dalam landskap politik baru sekarang ini bagi memastikan parti dan BN kekal relevan, katanya dalam sidang media khas menjelang Perhimpunan Agung Umno 2011 minggu depan.

"Umno mesti menonjol sebagai sebuah parti yang mampu memenangi hati rakyat yang disenangi. Umno mesti memberikan harapan baru kepada rakyat khususnya masyarakat Melayu," katanya.

Seperti yang pernah disarankan Perdana Menteri sebelum ini, Hishammuddin berkata Umno yang sedang mengalami perubahan perlu meletakkan calon yang mampu menang.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ini bermakna muka-muka baru yang bakal diletakkan sebagai calon pilihan raya umum nanti, amat memerlukan sokongan padu setiap anggota parti termasuk mereka yang tidak terpilih dan digugurkan sebagai calon.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti kerana dengan berbuat demikian kita akan turut membantu memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu," katanya.

Mengulas saranan seorang lagi Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa perlunya parti berada dalam keadaan 'zero defect' atau sifar kelemahan sebelum pilihan raya umum, Hishammuddin berkata ia perlu ditekankan kepada anggota dalam pelbagai aspek.

"Apabila kepimpinan telah menentukan calon, pastikan zero defect dari segi bantahan dan zero defect dari segi sokongan kepada calon yang telah dikenal pasti.

"Kedua zero defect dari segi mind setting. Jangan ingat kita boleh menang mudah. Kita kena kerja kuat dan jentera perlu mantap. Kita kena pastikan aspek-aspek tertentu yang penting dalam perjuangan kita ini dapat diberikan fokus, katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap para perwakilan selepas perhimpunan itu nanti keluar dengan satu semangat juang yang tinggi dan memastikan parti terus mendapat mandat daripada rakyat.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno akan membincangkan isu berkaitan transformasi politik dan persiapan menghadapi pilihan raya umum

pada Perhimpunan Agung Umno 2011 yang akan bermula Selasa depan, kata ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin.

"Semangat kita tinggi untuk membincangkan dua isu tersebut pada perhimpunan nanti," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Pemuda Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Khairy berkata rakyat seharusnya lebih menghayati dan menyokong transformasi politik yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia merangkumi langkah-langkah yang boleh mengukuhkan lagi demokrasi negara.

Beliau berkata Pemuda BN membuat ketetapan menyokong konsep 'calon boleh menang' yang ditekankan oleh Perdana Menteri.

"Kita juga harap konsep ini diterima oleh semua dan tidak ada mana-mana pihak yang akan pertikaikan pemilihan calon oleh kepimpinan parti komponen dan juga pengerusi BN sendiri," katanya.

Khairy juga menyambut baik pindaan terhadap Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti &; Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi membolehkan mahasiswa berumur 21 tahun ke atas menyertai parti politik.

"Ini salah satu permintaan Pemuda di mana satu kebebasan politik diberikan kepada mahasiswa. Saya gembira kerana hala tuju yang dibawa selama ini sudah nampak hasil apabila program transformasi politik itu selari dengan generasi muda dan tuntutan zaman," katanya.

Sementara itu, Khairy yang juga pengerusi Pemuda BN turut mengumumkan slogan rasmi Pemuda - 'BN Pilihan Orang Muda' bagi pilihan raya akan datang.

"Kita cari slogan yang segar bagi menghormati kebebasan dan hak yang ada pada orang muda untuk pilih kerajaan akan datang," katanya.- Bernama

No comments:

Blog Archive