Friday, November 04, 2011

Isu PPSMI: DAP tersalah sokong: Aziz Bari

Pensyarah kontroversi Prof Dr Abdul Aziz Bari berpandangan bahawa sokongan DAP supaya pilihan diberi untuk belajar Sains dan Metematik dalam bahasa Inggeris salah daripada aspek perlembagaan.

Pakar perlembagaan itu berkata, perkara 152 perlembagaan persekutuan menyatakan urusan rasmi mesti dijalan dalam bahawa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan negara ini.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua pada 30 Oktober dilaporkan berkata, kementerian pelajaran perlu lebih anjal dan wajar memberi pilihan supaya kedua-dua matapelajaran itu dalam bahasa Inggeris demi mengekalkan bakat terbaik dalam negara.

Katanya, prinsip paling penting harus terima pakai ialah pelajar yang cerdik tidak harus ketinggalan di belakang hanya kerana ada pelajar yang lemah dalam akademik.

Sehari sebelum itu, timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sistem pendidikan akan kucar-kacir jika kerajaan membenarkan pemilihan bahasa pengantar sama ada bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.

Dalam kenyataan hari ini, Aziz berkata, tindakan Muhyiddin yang juga menteri pelajaran memansuhkan PPSMI dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris sebelum ini adalah betul.

"Bawah perlembagaan dibenarkan belajar bahasa lain; hatta dana awam boleh digunakan untuk tujuan itu. Kenapa pengajaran Matematik dan Sains dijadikan bahan ujikaji?" soalnya.

Beliau berpendapat, walaupun PPSMI tidak disebut antara dasar bersama Pakatan Rakyat, iltizam untuk melindungi dan menegakkan sistem beraja, agama Islam, hak istimewa dan bahasa Melayu, cukup jelas.

"DAP - seperti juga MCA - perlu konsisten berhubung perkara yang melibatkan perlembagaan," katanya.

No comments:

Blog Archive