Friday, October 21, 2011

Datuk T cadang rakaman Video Seks diguna sanggah hujjah Dr Thomas Hoogland

Seorang anggota 'Trio Datuk T' yang menayangkan sebuah pita video lucah yang didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mac lalu, mahu pihak pendakwaan menggunakan rakaman video seks itu sebagai bukti dalam perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu.

Datuk Shazryl Eskay Abdullah dipetik oleh Utusan Malaysia berkata video berkenaan mampu menangkis kenyataan pakar ortopedik Jerman Dr Thomas Hoogland bahawa Anwar tidak mungkin meliwat kerana kecederaan pada tulang belakangnya.

Menurut Shazryl Eskay, pihak pendakwa juga boleh memanggil dua pakar forensik video dari Amerika Syarikat yang mengesahkan bahawa 99.9 peratus pelakunya ialah Anwar sebagai saksi.

''Dua dokumen dipamerkan di mahkamah ketika saya serta dua rakan (Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Datuk Shuib Lazim) didakwa Jun lalu termasuk hasil kajian bagi menentukan kesahihan dan siapa pelaku dalam video berkenaan.

"Justeru, saya mencadangkan pihak pendakwaan menggunakan rakaman video itu dan laporan kesahihannya sebagai bukti," katanya.

‘Datuk T’ telah menayangkan video yang didakwa dirakamkan pada 21 Februari kepada wartawan pada 21 Mac dan dihukum denda kerana menayangkan pita lucah.

Anwar pula telah berulang-kali menafikan bahawa beliau adalah lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan wanita berbangsa Asia dalam video hitam putih itu yang juga tersebar di internet.

Menjawab satu soalan, Shazryl Eskay berkata: "Anwar boleh kata beliau tidak rapat dengan saya atau apapun tetapi pepatah mengatakan sekeping gambar menceritakan segalanya, apatah rakaman beberapa video menunjukkan saya bersamanya dalam sebuah bilik seperti disahkan pakar video AS."

No comments:

Blog Archive