Friday, July 01, 2011

Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan:Penganjur Himpunan Bersih adalah Pelampau

Himpunan Bersih yang dijadualkan pada 9 Julai telah menjadi isi khutbah 150 masjid di Wilayah Persekutuan hari ini. Tajuk Khutbah yang dibacakan membawa tajuk "Memelihara Nikmat Keamanan".

Teks khutbah itu berkata memelihara keamanan adalah satu perkara yang dituntut dalam semua agama.

“Sejarah telah membuktikan Nabi Ibrahim semasa meneroka pembukaan Mekah sebagai pusat ibadah dan tanah suci telah mendoakan agar Mekah dikurniakan Allah SWT dengan keamanan dan kemakmuran.

Kita juga telah menyaksikan betapa rugi dan malangnya negara-negara yang dilanda kekacauan, persengketaan dan perpecahan,” katanya.

“Negara-negara berkenaan bukan sahaja ketinggalan dan mundur dalam aspek kemajuan dan pembangunan, malah keselamatan hidup seharian pun sentiasa terancam,” kata khutbah khas yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ini.

Keseluruhan teks khutbah yang diperoleh memfokus ke atas Himpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), yang mendapat sokongan padu Pakatan Rakyat.

Sejak sebulan yang lalu, Himpunan Bersih 2.0 dikecam hebat dalam media arus perdana, malah polis juga memulakan tindakan keras dengan menahan lebih 100 setakat ini.

Sekitar 2,000 laporan polis dibuat ke atas Himpunan Bersih 2.0.

Kata khutbah itu, Islam menolak mana-mana gerakan yang boleh menghuru-harakan keamanan sesebuah negara termasuk daripada gerakan pelampau.

“Mutakhir ini kita dibimbangi oleh gerakan golongan pelampau yang menggelarkan diri mereka sebagai Gabungan Pilihan Bersih dan Adil.

“Golongan ini pada asasnya memperjuangkan kepentingan individu atau fahaman tertentu tanpa mengambil kira sensitiviti dan kepentingan awam.

“Dalam usaha mencapai matlamat perjuangan, golongan ini akan melakukan demonstrasi jalanan, perhimpunan haram, mereka berarak ke hulu hilir, berkumpul untuk bertindak ganas, merosakkan harta awam, melanggar undang-undang negara malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan,” salah satu petikan dari khutbah itu.

Tegas khutbah itu, Himpunan Bersih 2.0 berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia dan politik untuk “meniru” keganasan di negara asing untuk menekan pemerintah negara yang diterajui BN.

“Apa yang paling malang lagi, golongan ini berlindung atas nama perjuangan hak asasi manusia, perjuangan politik, menggunakan media cetak dan elektronik, kemudahan Internet dan meniru tindakan keganasan yang berlaku di negara asing bagi menekan dan mengugut pemerintah serta rakyat di negara ini dalam memenuhi tuntutan mereka.

“Mimbar ingin menegaskan bahawa tindakan golongan pengkhianat seperti ini merupakan satu tindakan yang zalim dan haram bagi umat Islam mengikutinya kerana cara ini sebenarnya satu tindakan yang boleh mencampakkan manusia itu di dalam kebinasaan serta mendatangkan keburukan, kegelisahan dan kesusahan kepada masyarakat,” katanya.

No comments:

Blog Archive