Saturday, July 16, 2011

Inkues Ahmad Sarbaini: Sarbaini jatuh ketika lompat keluar dari tingkap bilik pantri aras 3

Mahkamah Koroner di sini, semalam, diberitahu Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Ahmad Sarbaini Mohamed, tidak membunuh diri atau dibunuh, sebaliknya mangsa cuba melompat keluar ke bumbung konkrit dari tingkap bilik pantri aras 3 bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Cochrane, sebelum terjatuh dan ditemui mati di gelanggang badminton bangunan berkenaan.

Pegawai forensik Bukit Aman yang menyiasat tempat kejadian, Deputi Superintendan Sharul Othman Mansor, 49, berkata ia berdasarkan tiada kesan pergelutan ditemui di lokasi kejadian yang boleh mengaitkan kematian akibat dibunuh. Sebaliknya, hanya kecederaan serius pada kaki dan pendarahan di muka mangsa, termasuk pada hidung dan mulutnya.

Sharul Othman yang dipanggil semula sebagai saksi inkues kedua berkata, jika berlaku pergelutan tentu kesan kotoran seperti tapak kasut dan cap jari ditemui malah pemeriksaan badan si mati tidak menunjukkan tanda baju terkoyak atau butang bajunya tercabut.

Menjawab soalan peguam SPRM, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, adakah kecederaan itu konsisten dengan akibat seseorang terjatuh dari tingkat tinggi berdasarkan penemuan mayatnya yang disyaki melompat dari bangunan itu, saksi berkata, “Ya.”

Katanya, ketika berdiri di tingkap bilik pantri aras tiga bangunan itu, beliau nampak jarak antara lokasi itu dan bumbung konkrit mengelilingi gelanggang badminton di sebelah kiri adalah dekat. Bagaimanapun apabila diukur jarak sebenarnya 3.02 meter.

Beliau yang berpengalaman mengendalikan kes orang jatuh itu turut bersetuju cadangan Muhammad Shafee bahawa pandangan ilusi optik berlaku kepada mangsa yang melihat keadaan bumbung selari dengan tingkap bilik pantri.

Katanya, berdasarkan keadaan mayat si mati, ia berpadanan saiz Ahmad Sarbaini duduk bertenggek di atas sinki terletak bersebelahan tingkap berkenaan sebelum terjun ke arah bumbung itu.

“Saya berpendapat Allahyarham keluar dari tingkap itu perlahan-lahan dan senyap, bukan tergesa-gesa selepas ditinggalkan berseorangan di bilik itu. Lagipun dia pernah hadir ke pejabat SPRM sekali gus sudah biasa dengan semua bilik di aras 3,” katanya.

Menjawab soalan peguam Awtar Singh yang mewakili keluarga si mati, Sharul Othman berkata, berdasarkan keadaan mayat berkemungkinan kaki kiri mangsa jatuh dulu (tergelincir) sebelum terhempap ke gelanggang badminton. Beliau memberi keterangan di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam prosiding inkues bagi menyiasat kematian Ahmad Sarbaini yang ditemui mati di gelanggang badminton bangunan SPRM, jam 10.40 pagi, 6 April 2011.

Sharul Othman turut memaklumkan beliau melakukan empat terjunan masing-masing dua terjunan daripada tingkat dua dan tiga.

Sharul Othman berkata, pakaian Allahyarham yang ada serpihan cat putih di kepala tali pinggang dan hadapan seluarnya berpadanan goresan sepanjang empat sentimeter ditemui di dinding putih di bilik pantri aras 3 berkenaan.

Sementara itu, ahli kimia yang juga saksi ke-26 inkues, Dr Mohd Sukri Hassan, 49, ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid, memberitahu hasil analisis dua sampel darah, air kencing dan kandungan perut Ahmad Sarbaini, menunjukkan tiada kesan dadah, racun, alkohol dan makhluk perosak.

Sementara itu, Saiful Fazamil Mohd Ali, 36, yang juga ahli kimia bertanggungjawab menganalisis serpihan cat putih pada kepala tali pinggang dan hadapan seluar Allahyarham, berkata ia menunjukkan kedua-dua cat putih berkenaan serupa. Prosiding ditangguhkan sehingga 2 Ogos ini.

No comments:

Blog Archive