Tuesday, July 05, 2011

Cetak wang RM5: Media dakwa Firma Australia sogok Pak Lah

KUALA LUMPUR, 5 Julai — Firma-firma pengeluar mata wang Reserve Bank of Australia disyaki cuba menyogok bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi mendapatkan bantuan beliau memperoleh kontrak bernilai sekitar RM100 juta (A$31 juta).

Abdullah (gambar) merupakan salah seorang daripada beberapa personaliti politik Malaysia berpengaruh, yang pihak berkuasa antirasuah percaya Securency dan Note Printing Australia— firma yang masing-masing separa dan milik penuh bank pusat Australia — didakwa cuba untuk memberi sogokan menggunakan sebahagian daripada komisyen sekitar RM13 juta ($4.2 juta) yang dibayar kepada dua orang tengah kira-kira enam tahun lalu.

Menurut laporan akhbar The Age, sumber-sumber mengesahkan Polis Persekutuan Australia sedang mendapatkan maklumat tentang percubaan memberi sogokan kepada Abdullah oleh Securency dan Note Printing Australia Limited yang mana kedua-duanya turut diselia oleh Reserve Bank of Australia.

The Age berkata ia cuba mendapatkon komen daripada Abdullah.

Ditanya pendekatan yang digunakan terhadap Abdullah, jurucakap Polis Persekutuan Australia berkata "memandangkan hal ini ada kaitan dengan penyiasatan yang melibatkan Securency dan Note Printing Australia, ia tidak akan membuat apa-apa ulasan untuk dibuat."

Difahamkan cubaan untuk menyogok Abdullah mempunyai kaitan dengan rundingan kontrak yang berlaku sekitar 2003, tahun beliau menjadi perdana menteri dan menteri kewangan, beliau berkhidmat sehingga 2009.

Sebelum menjadi perdana menteri, Abdullah adalah timbalan perdana menteri di bawah pemimpin paling lama berkhidmat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tuduhan rasuah terhadap Abdullah, yang masih menjadi Ahli Parlimen akan menambah senarai ahli-ahli politik Asia yang berprofil tinggi yang menjadi sasaran firma Reserve Bank of Australia.

Polis Persekutuan Australia pada minggu lalu mengatakan Securency memberi rasuah kepada bekas gabenor bank Vietnam dengan membiayai biasiswa anaknya.

Selain itu, pihak berkuasa Malaysia pada Jumaat lalu mendakwa bekas penolong gabenor Bank Negara kerana menerima dua suapan daripada Note Printing Australia.

Pendedahan percubaan rasuah terhadap Abdullah akan membongkarkan lebih banyak skandal sogokan kontrak mencetak mata wang polimer daripada Australia, dengan semalam The Age melaporkan tentang penglibatan pegawai kanan dari agensi perdagangan Austrade dalam tuduhan rasuah yang melibatkan Securency dan Vietnam.

Pasukan bertindak antarabangsa Polis Persekutuan Australia meneruskan siasatan untuk melakukan tangkapan seterusnya setelah tujuh bekas pegawai kanan Securency dan Note Printing Australia ditahan kerana kesalahan itu.

Abdullah dipercayai terlibat apabila meluluskan kontrak kepada firma Reserve Bank of Australia untuk mencetak mata wang polimer bernilai RM5 pada 2004.

Ejen Securency dan Note Printing Australia pada 2004, bekas ahli Parlimen dan pemimpin utama Umno Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin dan ahli perniagaan Abdul Kayum Syed Ahmad, ditahan dan didakwa Jumaat lalu kerana terlibat dalam dua kesalahan rasuah.

Abdul Kayum mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikenakan, iaitu menjadi orang tengah Note Printing Australia dan Securency di Malaysia, dikatakan memberi jaminan kepada kedua-dua firma itu dia mampu meyakinkan pegawai Malaysia untuk membeli teknologi wang polimer.

Beberapa pegawai kanan Securency dan bekas eksekutif dipercayai Note Printing Australia membuat bayaran kepada Abdul Kayum berkemungkinan digunakan untuk membayar rasuah. Dia menjadi ejen antara 2000 hingga 2007 sebelum dibuang kerja.

Dia diterima bekerja dan beberapa juta dolar dari Reserve Bank of Australia meningkatkan persoalan-persoalan tentang penyediaan selia yang disediakan Reserve Bank of Australia — yang melantik pengarah Securency dan Note Printing Australia.

Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia semalam enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara itu.

Jumaat lalu bekas penolong gabenor Bank Negara Datuk Mohamad Daud Dol Moin didakwa berhubung kesalahan rasuah melibatkan kontrak mencetak mata wang polimer yang dianugerahkan kepada sebuah firma Australia antara 2003 dan 2007.

Mohamad Daud menghadapi tuduhan menerima RM100,000 daripada Abdul Kayum dalam dua kejadian iaitu sebanyak RM50,000 pada 1 Disember 2004 dan baki RM50,000 pada 16 Februari 2005 di sebuah kafe di Bangsar Shopping Centre.

Dia dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Abdul Kayum akan berhadapan dengan tuduhan berasingan memberi habuan kepada Mohamad Daud di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sementara itu, dalam satu kenyataan dikeluarkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihaknya telah menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini dengan kerjasama dan bantuan penuh Bank Negara.

Katanya, di bawah tuduhan pertama, Mohamad Daud didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 kerana menerima suapan wang tunai RM50,000 daripada Abdul Kayum melalui seorang perantara untuk membantunya mendapatkan kontrak mencetak wang polimer RM5 oleh Note Printing Australia.

Tertuduh tidak mengaku salah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Tertuduh diwakili oleh J.D. Goonting dan Collin Goonting manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dari Jabatan Peguam Negara.

No comments:

Blog Archive