Saturday, June 25, 2011

Video Seks Anwar: Terserah kepada rakyat-percaya atau tidak ulas PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata terserah kepada rakyat untuk memutuskan sama ada individu dalam video seks dalam kes yang didakwa di mahkamah hari ini adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini adalah sesuatu yang rakyat perlu hakimi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak sambil menambah bahawa perkara yang paling penting ialah untuk menentukan ketulenan dan kebenaran.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di ibunegara malam ini, perdana menteri berkata terserah kepada rakyat untuk menentukan.

Menurut Najib lagi, dua pakar asing telah mengesahkan ketulenan video tersebut.

Datuk Shafee Abdullah, peguam yang mewakili Tan Sri Rahim Thamby Chik - salah seorang anggota trio Datuk T - telah berkata menurut laporan 4 Jun Prof Hany Farid dan Prof Lorenzo Torresani dari Dartmouth College di Hanover, New Hampshire, terdapat 99.99 peratus keirasan lelaki dalam klip video itu dengan gambar Anwar berdasarkan analisis pengenalpastian wajah.

Sebelum itu, ketiga-tiga individu di sebalik tayangan video seks seorang lelaki yang menyerupai Anwar, telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. Mereka mengaku bersalah dan didenda sejumlah RM5,500.

Mereka ialah ahli perniagan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah; bekas bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik Seri Makmur Hotel Carcosa Seri Negara di Kuala Lumpur antara 10 pagi dan 12 tengah hari pada 21 Mac lepas.

Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah. Eskay didenda RM3,000 atas kesalahan itu, Shuib RM1,500 dan Rahim sebanyak RM1,000 - menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,500.

Ditanya mengenai dakwaan Anwar bahawa beliau (Najib) telah menemui Rahim di Parlimen semalam, perdana menteri Najib dengan tegas menafikannya.

Menurutnya, kakitangan di pejabatnya berkata Rahim tidak datang untuk berjumpa dengannya.

No comments:

Blog Archive