Tuesday, June 28, 2011

Bersih disusupi KOMUNIS-Utusan

Perhimpunan BERSIH 2.0 ada kaitan dengan gerakan bersenjata komunis Filipina dan juga NGO pro-demokrasi Amerika Syarikat.

Dengan memetik sumber, akhbar berkenaan mendakwa "ancaman terhadap keselamatan negara" kini "berada pada tahap membimbangkan" memandangkan perhimpunan BERSIH 2.0 "diresapi "gerakan komunis."

Utusan mengaitkan demikian dengan menamakan dua orang individu warga asing yang ditahan bersama sekumpulan ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada Sabtu lalu.

Laporan itu juga mendakwa, BERSIH yang dikepalai PSM "bersekongkol" dengan "ejen asing" berkenaan bagi "menyebarkan propaganda jahat bagi menggulingkan kerajaan."

Seorang daripada individu yang dinamakan dalam laporan bertajuk 'Keselamatan negara diancam' itu ialah seorang lelaki warga Filipina, Romeo Castillo, 59.

Utusan yang memetik sumber melaporkan, Castillo "mempunyai kaitan dengan Parti Komunis Filipina yang banyak membunuh rakyat negara itu melalui gerakan bersenjata sehingga disenarai sebagai gerakan pengganas."

Lelaki berkenaan ditahan bersama seorang wanita warga Korea, Min Young Song, dalam satu kejadian di hadapan sebuah kolej di daerah Ledang, Johor.

Min, 24, didakwa Utusan sebagai seorang individu yang ditaja oleh NGO pro-demokrasi National Democratic Institute – sebuah organisasi yang dinaungi seorang "sekutu" Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jumlah individu yang ditahan berhubung penganjuran perhimpunan BERSIH 2.0 dilaporkan telah mencecah 81 orang apabila polis melancarkan gerakan di seluruh negara bermula Rabu lalu.

BERSIH setakat ini tegas dengan pendiriannya untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai itu walau berdepan tindakan berkenaan.

BERSIH juga berdepan kemungkinan berlakunya pertembungan dengan dua lagi kumpulan yang akan turut berdemo pada hari berkenaan – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia dan juga kumpulan PATRIOT dari Pemuda Umno.

No comments:

Blog Archive