Tuesday, September 21, 2010

Dakwaan Nazri Aziz terhadap saya hanya "serangan emosi": Ibrahim Ali

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mendakwa tuduhan “perkauman sempit” yang digariskan Datuk Seri Nazri Aziz dalam surat terbukanya semalam adalah serangan emosi sekadar untuk menjawab dan “tak cukup modal” untuk memburukkan peribadinya.

Bagaimanapun kata Ibrahim, beliau tidak berhajat untuk menjawab serangan itu yang disifatkannya sebagai “bodoh”.

Kata Ibrahim surat terbuka Nazri itu sangat melucukan kerana kononnya beliau seorang yang mengamalkan perkauman sempit, bukan ahli Umno dan peranannya mengurangkan undi untuk Umno.

“Memang benar saya bukan ahli Umno, cuma bekas ketua Pemuda bahagian dua penggal, 11 tahun ketua bahagian, dua penggal exco Pemuda Umno pusat selain dikenakan ISA ketika Operasi Lalang kerana tak lari keluar negeri macam yang lain.

“Dan, enam tahun dalam Majlis Tertinggi dan digugurkan dari menjadi ketua penaja bahagian tanpa sebab macam ISA tanpa bicara,” kata Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ibrahim juga menafikan Perkasa telah mengakibatkan BN kehilangan undi dengan menyoal “bila saya mengurangkan undi Umno dan BN”.

“Perkasa ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-12,” kata Ibrahim sambil menambah, sekadar ukuran persepsi belum tentu betul.

“Tapi (pilihan raya kecil kerusi DUN) Manek Urai dan (kerusi Parlimen) Hulu Selangor (akan) memberitahu, bagi yang tahu, tahulah.

“Tapi apapun Nazri memang orang hebat, bakar tak hangus, bijak bistari dan tokoh dunia. Jangan marah ya... saya tahu kamu, kamu tahu saya. Saya orang kecil sahaja,” kata beliau dalam ‘nada’ menyindir.

Dalam surat terbukanya menjawab tuduhan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia terbitan Kumpulan Utusan semalam, Nazri berkata, beliau sentiasa tahu siapa ketuanya dan mahu Awang mengetahui bahawa “saya sentiasa tahu siapa ketua saya”.

“Ia buka Kit Siang ataupun Anwar kerana mereka bukan Perdana Menteri Malaysia, Pengerusi BN ataupun Presiden Umno. Saya tidak pasti sama ada Awang tahu siapa ketuanya kerana dia memperkecilkan dasar 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri dan mempromosikan perkauman sempit Ibrahim Ali yang sememangnya bukan ahli Umno.”

“Awang harus bertanya pada dirinya persoalan yang dia ajukan kepada saya,” kata Nazri.

Kata beliau, bersopan kepada pembangkang adalah tindkaan tepat untuk diambil dalam amalan demokrasi kerana sepertinya mereka juga dipilih oleh rakyat.

“Sudah tentu Awang terperangkap dalam peredaran waktu masa-masa lalu di mana ahli-ahli Parlimen kerajaan bukan sahaja tidak melibatkan mereka bersama, malah membenci mereka dalam kebanyakan masa.

“Awang tidak akan faham perkara ini kerana dia bukan seorang ahli Parlimen yang dipilih, diletakkan di Dewan menerusi suara rakyat.

“Awang tidak pernah terfikir bagaimana lima Ahli Parlimen PKR boleh melompat ke kumpulan anggota bebas kalau bukan kerana kesopanan yang diperlihatkan oleh saya kepada mereka selaku Meneri Hal Ehwal Parlimen,” katanya.

Menurut Nazri, “bilangan mereka yang melompat untuk menyertai kokus bebas telah mengatasi satu-satunya wakil rakyat tunggal dari kawasan Pasir Mas, hero orang Melayu yang diagung-agungkan oleh Awang.”

“Umno tidak pernah meminta ataupun memerlukan Ibrahim untuk membantu kami, tetapi kerjasama dengan dia hanya akan menyebabkan kami kehilangan undi,” kata Nazri lagi.

No comments:

Blog Archive