Sunday, August 01, 2010

Selepas Tee Boon Hock dipecat; kini DAP memburu Ronnie Liu pula

Selepas memecat Tee Boon Hock semalam, DAP kini memburu Exco Kerajaan Negeri Ronnie Liu berhubung isu rasuah yang bersangkutan dengan dakwaan dikenakan ke atas ahli majlis MPK itu awal minggu lalu.

Pengerusi jawatankuasa disiplin DAP Tan Kok Wai berkata, tindakan itu diambil memandangkan Tee turut mengaitkan Liu ketika sesi pendengaran pihaknya semalam.

“Kami telah menetapkan 12 Ogos ini sebagai tarikh untuk pendengaran memandangkan semalam, Tee membuat dakwaan balas terhadap Liu.

“Dia memberitahu bahawa kesemua surat sokongan yang dia tandatangani untuk tujuan (sokongan) kontrak dilakukan atas arahan Liu,” katanya di sini hari ini.

Tan menambah, Tee juga telah membuat aduan rasmi terhadap Liu ketika sesi pendengaran semalam dan jawatankuasa disiplin menerima aduan itu.

“Kami akan memanggil Liu untuk disiasat jika dakwaan Tee adalah benar,” katanya lagi.

Tee diputuskan untuk dipecat semalam.

Selain Liu, kata Tan, jawatankuasa itu juga akan memanggil seorang lagi pemimpin kanan DAP Selangor iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri Teng Chang Khim untuk menjelaskan mesej beliau menerusi Twitter semalam, yang antara lain berbunyi “Oh Tuhan, orang yang melakukan kesalahan sebenar bebas (‘OMG! Real culprit freed’).”

Tan berkata mesej Teng itu mendakwa jawatankuasa menyiasat orang yang salah dalam kes ini.

“Berhubung perkara ini, Teng perlu menjelaskan kepada jawatankuasa, memaklumkan kami dan menyediakan bukti, saksi dan keterangan mengenai apa yang dimaksudkan menerusi Twitter, dan jika boleh menamakakn orang melakukan kesalahan itu yang dimaksudkan,” katanya.

Tan menekankan, selaku pemimpin parti dan pengerusi Selcat Teng mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan nama baik parti.

“Saya merasakan beliau akan bekerjasama dengan jawatankuasa disiplin. Mesej beliau menerusi (Twitter) adalah sesuatu yang serius... dengan mengatakan yang (dakwaan) ini selepas kami membuat keputusan untuk memecat Tee semalam, satu tindakan mempertikaikan kewibawaan jawatankuasa ini,” katanya lagi.

Katanya, jika Teng gagal untuk menamakan orang yang dimaksudkan, jawatankuasa disiplin ada hak untuk menghukum beliau dengan sewajarnya.

“Ini melanggar disiplin parti,” katanya.

Tan juga berkata, jawatankuasa disiplin akan memanggil wakil 15 syarikat yang telah diberikan surat sokongan oleh Tee.

Beliau juga menjelaskan, sejumlah 16 kontraktor telah dinamakan dalam kesemua surat sokongan dengan salah satunya ialah Perkhidmatan AA, yang dimiliki bersama oleh anak Tee, Chin Chin.

Bagaimanapun jelas Tan, menurut rakan kongsi Chin Chin apabila surat sokongan mengesyorkan Perkhidmatan AA untuk perkhidmatan kerja-kerja pembersihan dikeluarkan pada 12 Ogos 2008, anak Tee tidak menyedari perkara itu.

Katanya, ketika sesi pendengaran Tee juga mendakwa dia tidak sedar pembabitan anaknya dalam syarikat Perkhidmatan AA.

“Anak Tee berusia 21 tahun pada 15 Ogos ini. Dia hanya berusia 18 tahun apabila menjadi rakan kongsi firma itu, yang ditubuhkan pada April 2008,” kata Tan.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata pihaknya tidak menemui sebarang surat sokongan yang didakwa digunakan oleh Tee untuk mendapatkan kontrak semasa membuat pemeriksaan ke atas pejabat itu kelmarin.

Kata Khalid, pihaknya telah menjalankan siasatan yang mendakwa Tee telah menyalahgunakan kepala surat dan cop rasmi Liu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor untuk mendapat sokongan bagi kroni dan anggota keluarganya mendapat pelbagai kontrak MPK.

No comments:

Blog Archive