Sunday, August 01, 2010

Pru 13 amat getir bagi BN: Muhyiddin

Senario politik masa kini serta perubahan dalam lanskap politik negara sejak pilihan raya umum Mac 2008 menuntut kepimpinan Barisan Nasional (BN) daripada semua peringkat untuk melakukan suatu perubahan yang ketara serta proses transformasi yang boleh diterima rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jika ini gagal dilakukan oleh kepimpinan BN, maka parti itu akan menghadapi masalah menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Kalau itu tidak kita lakukan dalam tempoh yang agak segera...maka pasti bila menjelang pilihan raya akan datang kita akan menghadapi masalah agak besar (yang boleh) mencabar keutuhan kuasa politik," katanya pada majlis makan malam anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Kebangsaan (Mubarak) Malaysia di sini Sabtu malam.

Majlis makan malam ini yang turut dihadiri oleh isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman diadakan sempena Perhimpunan Agung Mubarak ke-7 di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata situasi hari ini adalah berbeza dari segi mengurus parti dan kerajaan kerana rakyat kini banyak membuat penilaian serta pertanyaan terhadap dasar-dasar dan tindakan yang dibuat kerajaan.

Menurutnya, jika transformasi besar yang diharapkan rakyat mampu dilaksanakan dengan jayanya, maka BN dapat mempertahankan sokongan rakyat di masa akan datang.

Muhyiddin berkata cabaran politik hari ini yang merupakan rentetan daripada tsunami politik yang melanda pilihan raya umum lepas adalah amat besar, lebih-lebih lagi dengan pendedahan terhadap maklumat-maklmat terkini di dalam mahupun di luar negara, terutamanya di kalangan anak-anak muda.

Katanya, dengan mindset baru di kalangan anak-anak muda ini, maka wujud tuntutan yang memerlukan urusan dan pentadbiran kerajaan serta hal ehwal parti dilakukan dengan lebih efektif dan telus.

Lantaran itu, Mubarak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan dalam membantu BN menghadapi cabaran masa kini, katanya.

Beliau mengajak kepimpinan Mubarak dari semua peringkat berganding bahu dengan kerajaan dalam membantu menjelaskan pelbagai gagasan, dasar serta pendekatan yang sedang dilakukan kerajaan untuk disampaikan kepada masyarakat umum.

Muhyiddin berkata walaupun anggota-anggota Mubarak tidak memegang jawatan pada masa ini, tetapi pengalaman mereka sebagai bekas wakil rakyat amat berguna dalam usaha memajukan negara.

"Pengalaman lama mereka masih boleh dimanfaatkan dalam situasi hari ini yang amat mencabar," kata beliau.

No comments:

Blog Archive