Wednesday, August 04, 2010

Kematian Datuk Aziz dan Pembantu wanitanya akibat tembakan mungkin bunuh diri?

Terlalu awal untuk membuat keseimpulan. Namun, ada saksi yang mengatakan bahawa tidak terdapat individu lain bersama Datuk Abdul Aziz (64) dan Siti Rohana Ismat semasa kejadian.

Mantan ADUN Permatang, Selangor tersebut dan bekas Siti Rohana Ismat, 43, ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala masing-masing dalam sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 455.7, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buloh semalam.

Kedua-dua mayat mangsa ditemui di dalam kereta jenis Toyota Caldina yang terbabas di pembahagi lebuh raya berkenaan pada pukul 11 pagi.

Ketika kejadian, kedua-dua mereka dipercayai dalam perjalanan dari pejabat Abdul Aziz di Petaling Jaya menuju ke Tanjung Karang untuk menghadiri mesyuarat.

Polis turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38, dua butir peluru belum digunakan dan tiga kelongsong peluru dalam kereta berkenaan.

Senjata yang ditemui itu disahkan milik Abdul Aziz manakala kereta Toyota Caldina tersebut pula kepunyaan Siti Rohana namun dipandu oleh Abdul Aziz semasa kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, siasatan awal polis pada mayat kedua-dua mangsa mendapati terdapat kesan tembakan di kepala mereka.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati tembakan tersebut dilepaskan dari bahagian dalam kenderaan dinaiki mangsa.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan tetapi polis tidak menolak kemungkinan ia adalah satu kes bunuh dan bunuh diri.

"Laporan bedah siasat awal mendapati terdapat satu kesan peluru di kepala Abdul Aziz manakala dua kesan peluru dikesan di kepala Siti Rohana," katanya dipetik dalam laman sosial Facebook Datuk khalid.

Khalid turut meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kes terbabit memandangkan beberapa saksi di tempat kejadian mengesahkan tidak melihat individu lain dalam kereta berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sungai Buloh memberitahu, beberapa saksi di tempat kejadian memberitahu melihat kereta dinaiki Abdul Aziz dan Siti Rohana terbabas dari kanan ke kiri sebelum melanggar besi pembahagi di tengah lebuh raya.

Jenazah Abdul Aziz dikebumikan di Shah Alam manakala Siti Rohana di Batu 6 1/2, Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang.

Abdul Aziz meninggalkan isteri, Datin Siti Fatimah Md. Noor, 62, dan tiga anak iaitu pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Norazila, 40; pensyarah Universiti Selangor (Unisel), Norazian, 37; Mohd. Anis Hisham, 33, yang juga Exco Pemuda UMNO serta empat orang cucu berusia antara 5 hingga 10 tahun.

Abdul Aziz berkhidmat sebagai ADUN Permatang selama sepenggal mulai 2004 sehingga 2008 setelah menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Samry Masri dengan majoriti 4,285 undi.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum lalu, beliau memberikan laluan kepada Sulaiman Abd. Razak daripada UMNO.

Sebelum dilantik sebagai ADUN Permatang, Abdul Aziz pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Tan Sri Abu Hassan Omar semasa beliau menjadi Menteri Besar Selangor serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

No comments:

Blog Archive