Saturday, March 20, 2010

Polis Bebas Siasat Pendedahan Zaharin

Kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan ketua pembangkang itu sebagai Perdana Menteri sekiranya rancangan “16 September” menjadi kenyataan.

Pendirian ini dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyusuli kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Hishammuddin berkata Anwar boleh disiasat di bawah Akta Hasutan.

Najib berkata pihak berkuasa akan meneliti sama ada berlaku pelanggaran undang-undang berhubung dakwaan ketua pembangkang itu.

“Terserah kepada pihak berkuasa, mereka (pihak berkuasa) akan meneliti sama ada apa-apa yang patut dilakukan.

“Dari segi siasatan, mungkin ada undang-undang yang telah dilanggari oleh sesiapa. Saya serah kepada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan 50 Tahun Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kuala Lipis hari ini.

Tiga hari lepas, Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim (gambar) mendedahkan dalam sidang Dewan Rakyat berkenaan Anwar yang “menjaja” nama Tuanku Mizan Zainal Abidin kononnya Seri Paduka menunggu di Istana Negara untuk mengesahkan jumlah anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang melompat parti untuk menyertai pembangkang.

Bekas Panglima ATM Tan Sri Abdul Aziz Zainal bagaimanapun menafikan dakwaan Anwar bahawa usahanya untuk menubuhkan kerajaan pada 16 Sept itu mendapat sokongan ATM.

Najib berkata beliau percaya rakyat semakin sedar dengan pembohongan yang dilakukan oleh pembangkang yang bercita-cita besar untuk memerintah negara.

Mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan pendedahan Zahrain itu sebagai tidak berakhlak dan sanggup membuka rahsia parti yang pernah disertainya, Najib yang juga Presiden Umno berkata:

“Nampaknya seorang sahaja buat kenyataan, tidak semuanya (menyokong). Ada yang faham apa yang dibuat itu tidak betul,” kata Najib dipetik Bernama.

Dalam pada itu Hishammuddin berkata Kementerian Dalam Negeri menyerahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menyiasat kenyataan Zahrain tentang usaha Anwar mengambil alih kerajaan pada 16 Sept 2008.

Hishammuddin berkata, tindakan sememangnya boleh diambil terhadap Anwar terutamanya kerana menghasut.

“Saya percaya apabila benda ini (kenyataan Zahrain tentang Anwar) telah dinyatakan di khalayak ramai, Peguam Negara akan melihatnya daripada segi Perlembagaan dan undang-undang,” katanya di Taman Sri Lambak, Kluang hari ini.

No comments:

Blog Archive