Sunday, March 28, 2010

Pehin Seri Taib Mahmud Akui Populariti Najib Masa Kini Tinggi; Sesuai Untuk PRU-13

Ketua Menteri Sarawak Pehin Seri Abdul Taib Mahmud tidak menolak kemungkinan pilihan raya negeri itu diadakan serentak dengan pilihan raya peringkat parlimen pada masa depan kerana ia selaras dengan undang-undang.

Walaupun pada kebiasaannya pilihan raya negeri tidak wajar diadakan semata-mata atas permintaan ramai, Pengerusi Barisan Nasional negeri itu berkata terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berbuat demikian jika masa kedua-duanya bertembung secara kebetulan.

"Saya boleh terima tetapi saya tidak akan membuat tindakan tergesa-gesa, ia bertentangan dengan sikap saya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa koordinasi BN Sarawak, di Kuching hari ini.

Pada masa sekarang hanya Sarawak masih mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berasingan dan penggalnya akan berakhir pada Julai tahun depan.

Ditanya sama ada beliau mendengar desas-desus pilihan raya negeri akan diadakan pada masa yang sama dengan pilihan raya umum, Taib berkata: "Tidak. Saya belum lagi sampai kepada peringkat untuk bercakap mengenai bila pilihan raya... Tidak, saya tidak bergurau dengan anda (wartawan).

"Saya tidak tahu, sesetengah pihak (media) menulis bahawa saya sedang berusaha mengembalikan sokongan," kata Ketua Menteri yang merujuk kepada prestasi BN pada pilihan raya negeri lepas yang menyaksikan parti itu kehilangan sembilan daripada 71 kerusi.

Bagaimanapun beliau bersetuju populariti Najib yang genap setahun meneraju pentadbiran negara pada 3 April ini adalah tinggi pada masa ini, dan merupakan syarat perlu untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal jika perlu.

Pilihan raya umum lalu diadakan pada 8 Mac 2008 hanya melibatkan kawasan parlimen di Sarawak.

"Saya tidak boleh baca apa yang ada dalam fikiran Perdana Menteri seperti mana saya belum lagi boleh baca untuk diri saya," katanya.

Mengenai mesyuarat hari ini, beliau berkata perbincangan adalah berhubung koordinasi antara anggota Parlimen dan anggota DUN di bawah kawasan masing-masing bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek luar bandar di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM3.4 bilion yang harus dijalankan menjelang 2012. Bernama

No comments:

Blog Archive