Tuesday, March 16, 2010

Mohsin Anggap Pembangkang Ibarat Kaum Quraish Di Zaman Nabi

Saya bimbang akan keselamatan diri saya. Sebab itu saya seolah-olah menghilang setelah saya keluar PKR pada 3 Mac lalu. Pakatan Pembangkang sama seperti kaum quarish di zaman nabi. Bahaya. Sangat bahaya. Sebab itu, lebih baik menghilangkan diri sementara daripada khalayak ramai untuk sementara waktu, demi menjaga keselamatan dan kejadian yang tidak baik berlaku ke atas diri saya, maka lebih baik menutup sementara pusat khidmat rakyat Bagan Serai..Demikian Mohsin, ahli parlimen Bagan Serai,Perak.

Dia juga sempat membacakan sepotong ayat daripada surah Yasin yang mengisahkan bagaimana Rasulullah dapat meloloskan diri daripada dibunuh kaum kafir Quraish pada zaman permulaan dakwah Islam walaupun rumah baginda telah dikepong.

Mohsin diminta mengulas tindakannya 'menghilangkan diri' selepas mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil bebas pada 3 Mac lalu atas alasan tidak bersetuju dengan pandangan parti berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Pengundurannya itu dikritik pelbagai pihak dalam pembangkang, termasuk melalui beberapa siri demonstrasi dan solat hajat tujuh malam supaya beliau mengosongkan kerusi itu bagi memberikan laluan kepada pilihan raya kecil.

“Saya ingin mengambil iktibar daripada kisah Rasulullah berdakwah ke Taif. Baginda mendapat banyak tentangan sehingga dibaling dengan batu.

“Rasulullah bagaimanapun memaafkannya dan mendoakan kebaikan untuk mereka kerana mereka tidak tahu (baik-buruk perbuatan masing-masing),” katanya yang enggan mengkritik langsung pihak-pihak tertentu.

Mohsin bagaimanapun memberikan jaminannya akan terus memperjuangkan nasib rakyat di kawasannya secara lebih bebas tanpa perlu terikat dengan mana-mana parti.

“Kalau dengan Umno, ada yang saya tidak boleh kata (suarakan). Kalau dengan PAS, ada yang sama tidak boleh kata,” katanya, sekaligus menafikan khabar angin bahawa beliau akan menyertai Umno.

Mohsin menambah, oleh kerana beliau kini bebas sepenuhnya, kemungkinan terdapat keadaan-keadaan tertentu apabila beliau menyokong kerajaan dan pada masa yang lain menyokong pula pembangkang ketika membahaskan sesuatu isu di parlimen.

Setakat ini, sekurang-kurang dua demonstrasi dilaporkan diadakan di Bagan Serai susulan peletakan jawatan Mohsin daripada PKR dua minggu lalu.

Manakala bermula kelmarin, laporan di blog-blog menyebut, satu solat hajat khas anjuran ahli majlis syura Ulama PAS Ahmad Awang diadakan bagi memohon hukuman Allah terhadap Mohsin kerana didakwa mengkhianati perjuangan.

No comments:

Blog Archive