Saturday, March 06, 2010

Lagi Surat Terbaru Zulkefli Ke MPP PKR: Bertajuk Jangan Gali Kubur Sendiri

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Ahli Parliman Kulim-Bandar Bahru Zulkifli Noordin mengutus surat terbuka kepada anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) awal pagi ini — kira-kira lapan jam sebelum ia bermesyuarat untuk menentukan nasibnya.

Dalam surat itu, Zulkifli berkata beliau telah meminta supaya MPP agar membuat keputusan yang boleh membawa “parti itu ke horizon yang lebih tinggi, bukannya menggali kubur sendiri”.

“Saya cuma menulis meminta mereka (anggota MPP) mengambil keputusan terbaik melibatkan kes saya... saya tidak memberikan mereka kata dua, cuma rayu akan memberikan perbicaraan yang adil kepada saya.

“Apa yang saya minta mereka ialah memberikan saya keadilan dengan kes saya dibicarakan oleh panel beragama Islam... itu yang saya minta, permintaan kecil saya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ia merupakan surat kelima ditulis oleh Zulkifli kepada sekretariat PKR berhubung kesnya.

Surat menyentuh isu yang sama telah dikemukakan pada Isnin lalu.

Zulkifli berkata beliau telah menghantar surat itu menerusi emel awal pagi ini selepas mengetahui syor lembaga disiplin mengenai tuduhan ke atasnya akan dibincangkan oleh MPP yang bermesyuarat pukul 2 petang ini.

“Dalam surat itu, saya sekali lagi meminta agar saya dibicarakan oleh anggota panel lembaga disiplin yang beragama Islam.

“Begitu saya bertanya kepada anggota MPP yang bukan beragama Islam sama ada mereka akan menerima keanggotaan kalangan Islam (dalam panel) jika ia melibatkan kes yang menyentuh agama mereka sendiri,” katanya.

Oleh itu tambah Zulkifli, beliau memberitahu anggota MPP bahawa “apa yang mereka putuskan hari ini akan tercatat dalam sejarah”.

Malah kata Zulkifli, beliau juga menekankan dalam suratnya itu bahawa tidak berhasrat untuk meninggalkan PKR sebagaimana disangkakan oleh sesetengah pihak.

Beliau disebut-sebut antara mereka yang bakal meninggalkan PKR, mengikuti langkah Ahli Parlimen Bayan Baru, Nibong Tebal dan Bagan Serai.

Semalam Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu yang MPP akan menghalusi laporan yang disediakan oleh lembaga disiplin petang ini.

MPP akan memutuskan sama ada menerima syor lembaga disiplin itu ataupun tidak.

Dua hari lalu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan Zulkifli, yang memulaukan sesi lembaga disiplin Khamis lalu, agar sendiri menentukan masa depannya dalam parti itu.

Sambil menegaskan wakil rakyat itu terus-menerus menguji kesabaran parti, Wan Azizah berkata Zulkifli perlu mematuhi peraturan PKR dalam soal berkaitan dengan isu-isu disiplin.

Zulkifli memulaukan sesi bersama lembaga disiplin selepas permintaannya agar kesnya diteliti oleh anggota panel beragama Islam ditolak.

Ia merupakan satu daripada lapan permintaan diletakan di hadapan lembaga disiplin dan kepimpinan parti itu. Kesemuanya diketepikan.

Wan Azizah menjelaskan, kes Zulkifli bukannya berkaitan dengan Islam tetapi perkara yang berkaitan dengan soal melanggar disiplin parti.SUMBER DISINI

No comments:

Blog Archive