Sunday, March 14, 2010

Kali Ini ADUN LUNAS KEDAH Mohd Radzhi Pula Dakwa 10 Wakil Rakyat PKR Akan Keluar

Sekurang-kurangnya 10 lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah dan lain-lain negeri didakwa akan keluar parti itu dalam tempoh terdekat ini.

ADUN Lunas (Bebas) Mohd Radzhi Salleh berkata beliau begitu optimistik dengan perkembangan itu memandangkan apa yang berlaku dengan PKR kebelakangan ini.

Beliau berkata pucuk pimpinan parti itu kini semakin jelas menampakkan tembelang mereka yang lebih mementingkan diri sendiri daripada anggota, penyokong parti dan orang ramai.

Bercakap kepada pemberita selepas berceramah di majlis penerangan isu-isu semasa bersama lebih 300 Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP)Parlimen Kulim/Bandar Baharu, di sini, pada Ahad, katanya beliau sendiri akan menyertai Umno dalam tempoh terdekat ini.

Mengenai dakwaan kalangan pemimpin pembangkang bahawa tindakan beliau itu adalah kerana telah dibeli oleh Umno, beliau menafikannya dan menegaskan wang ringgit bukanlah menjadi ukuran beliau keluar parti.

Mohd Radzhi juga menggesa pemimpin pembangkang di Kedah supaya menghentikan kempen "Bajet PR Kedah 2010" yang kini sedang rancak diadakan di seluruh negeri, yang cuba mengaburi pemikiran dan mata rakyat dengan kisah-kisah retorik dan angan-angan yang mustahil itu.

Hadir sama di majlis tersebut dan menyampaikan elaun kepada Pengerusi dan Setiausaha JKKKP itu ialah Anggota Majlis Tertinggi Umno yang juga Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir. Abdul Aziz adalah calon BN yang dikalahkan oleh Zulkefli Noordin daripada PKR. Namun, wakil rakyat PKR itu telah dipecat daripada parti itu minggu lalu.

Terdahulu Abdul Aziz dalam ucapannya mengulangi pelawaan beliau kepada ADUN dan Anggota Parlimen PKR yang telah mengisytiharkan diri mereka sebagai anggota Bebas supaya menganggotai Umno sebagai platform yang lebih berkesan untuk mereka berkhidmat kepada rakyat.

Sebelum ini mantan setiausaha Agung PKR Dato' Salehuddin Hashim ada mengatakan bahawa akan ada 10 wakil rakyat PKR akan keluar PKR dan ada juga wakil rakyat samada PAS atau DAP akan keluar parti masing-masing untuk menistiharkan diri wakil rakyat bebas atau menyertai komponen parti BN untuk meneruskan perjuangan politik mereka.

No comments:

Blog Archive