Thursday, January 28, 2010

Rakyat Tertipu Janji Parti Pakatan


Pakatan Rakyat telah membentuk kerajaan bagi negeri-negeri Selangor,Pulau Pinang, Kedah disamping Kelantan sejak Mac 2008 lalu. Heboh satu dunia kalau Pakatan Rakyat dapat memerintah negara, pembasmian kemiskinan tegar, pentadbiran jujur dan telus serta pencegahan amalan rasuah adalah agenda utamanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penuh bersemangat melaungkan “Kita akan angkat maruah rakyat”. “Kita akan angkat martabat rakyat”. “Kita akan angkat ekonomi rakyat”.

Nak tanya sikitlah Datuk Seri, apa yang telah kerajaan Pakatan Rakyat ‘angkat’ setelah hampir 2 tahun memerintah?. Wakil Parlimen dan ADUN Pakatan angkat sumpah untuk terima gaji, alaun keraian, alaun pakaian, alaun hadir mesyuarat, alaun pembantu dan berpuluh alaun lain sebagai wakil rakyat, itu sahaja AYT nampak yang terangkat.

Jutaan rakyat Malaysia menaruh harapan dan keyakinan terhadap perjuangan Datuk Seri serta rakan-rakan pimpinan dalam Pakatan Rakyat, Parti KeADILan Rakyat khususnya.

Rakyat turut berkempen. Rakyat menampal poster. Rakyat berdebat mempertahankan hujah. Rakyat merayu undi bagi pihak calon dan parti. Rakyat berkorban masa dan wang ringgit. Rakyat berarak ke hulu ke hilir memberi penerangan dan sokongan dan akhirnya rakyat telah memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat memerintah beberapa negeri selepas pilihanraya umum ke-12 lalu.

Ucapan tahniah AYT hamparkan kepada calon yang telah menang dan bergelar ‘Yang Berhormat’ sekarang.

Apakah yang rakyat dapat sebagai sebahagian daripada rakyat yang mengundi calon Pakatan Rakyat?. Apakah yang rakyat dapat banggakan dan nikmati selama 2 tahun berada di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat?

Berapa peratuskah perancangan dan janji calon-calon yang sekarang telah menjadi wakil rakyat telah berjaya dilaksanakan? Rakyat ingin tahu. Rakyat ingin menilai.

Apabila rakyat bersuara, maka akan keluarlah kata-kata pujangga pembelit minda daripada para pemimpin yang berselindung disebalik keindahan bicara dan retorik kata-kata. “Jangan tanya apakah sumbangan negara kepada kita, tetapi tanyalah apakah sumbangan kita kepada negara”

AYT tidak bertanya apakah sumbangan negara kepada rakyat, tetapi yang AYT ingin tahu apakah sumbangan calon pilihanraya yang telah diangkat menjadi pemimpin oleh rakyat?.

Hello para Wakil Rakyat, Yang Berhormat dan yang minta dihormati.

Sebelum pemimpin dan pembesar negeri dan negara menyumbang apa-apa kepada rakyat dan negara, rakyat telah terlebih dahulu menyumbang jasa bakti mereka kepada para pemimpin dengan menghidupkan amalan membantu kempen dan keluar mengundi.

Pemimpin dicari, undian diberi dan akhirnya ada calon yang memenangi. Tahniah sekali lagi kepada calon yang menang. Tahniah kepada parti yang berjaya menjadi pemerintah. Sekarang adalah masa rakyat menilai dan menuntut janji-janji yang telah kalian dengan yakin dan bersemangat taburi semasa kempen pilihanraya lalu.

Kepada seluruh rakyat Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan khasnya dan Malaysia amnya, rakyat memohon jasa baik dengan keluhuran hati dan kewarasan minda kalian, tanpa bias untuk menunjukkan perkembangan positif yang kalian lakukan untuk rakyat sepanjang 2 tahun pemerintahan Parti Pakatan.

Sila senaraikan berapa ribu rakyat miskin tegar telah terbela, sila senaraikan ketelusan dalam pemberian kontrak kerajaan?

Pembasmian rasuah? sejak bila kah kerajaan mengamalkan pencegahan rasuah? malah di Selangor kerajaan Pakatan tidak mahu berkerjasama dengan SPRM. Kerajaan Pakataan Selangor mengeluarkan gag order bahawa setiap kakitangannya yang ingin disiasat oleh SPRM kerana dipercayai rasuah hanya boleh disoalsiasat pada masa pejabat sahaja. Ingat tak lagi akibat rasuah exco kerajaan Selangor lah Teoh Beng Hock mati.

Dalam masa yang sama rakyat juga memohon seluruh rakyat khasnya dan Malaysia amnya agar dapat meluahkan dengan jujur dan ikhlas segala penipuan, kepincangan, ketempangan, kerakusan, pengkhianatan, penyelewengan dan kemungkaran janji yang telah dan sedang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Penipuan, kerakusan dan penyelewengan kerajaan UMNO/Barisan Nasional yang konon ingin dihapuskan dan sering dipersoalkan rupanya telah dilampaui oleh kerjaan Pakatan rakyat. Hanya dalam tempoh 2 tahun sukar untuk dirinci kerakusan kerajaan yang mengatas namakan kerajaan rakyat itu.

Kerja-kerja SPRM dan polis tidak serancak dahulu, kini SPRM khasnya terpaksa merungkai bentuk rasuah yang sebelumnya jarang terdengar, yakni rasuah sex.

Baru-baru ini seorang exco kerajaan negeri Selangor telah disiasat kerana dikatakan terlibat rasuah sex dalam urusan penjualan pasir di Selangor.

Runtuhnya kerajaan pakatan Perak kerana melompatnya ADUN PKR yang dikatakan juga terlibat rasuah sex dan wang.

Tanggungjawab rakyat untuk memilih pemimpin telah dilakukan. Tanggungjawab rakyat untuk membahagiakan dan mengharmonikan kehidupan berkeluarga telah dan sedang rakyat laksanakan. Tanggungjawab rakyat untuk bekerja mencari nafkah menyara keluarga sedang rakyat tunaikan. Tanggungjawab rakyat untuk memastikan keharmonian hidup bermasyarakat sentiasa rakyat utamakan.

Namun kerana muslihat para pemimpin Pakatan yang senantiasa mengabui mata rakyat sering dikumandangkan. Pada masa kini sebahagian pemimpin Pakatan tidak lagi membela agama, bangsa dan negara, malah ingin menghancurkannya. Kesultanan melayu yang dianggap payung negara dipersoalkan dan dihina. Agama islam sebagai agama rasmi negara dipermainkan dan dicerna dan dihina.

Wahai rakyat Malaysia, sekarang adalah masa kita menyemak dan menegur wakil rakyat-wakil rakyat yang telah kita semua pilih untuk mengangkat martabat agama, bangsa, negara dan warisan kita seluruhnya.

Seruan AYT kepada rakyat di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat; bangkitlah menentangPakatan Rakyat kerana semua janji-janji manis mereka telah mereka lupa dan hanya sibuk memperkaya diri mereka sendiri.

No comments:

Blog Archive