Sunday, January 03, 2010

Mengenang TOK MAT

Pasti ramai yang terkejut dengan pemergian secara tiba-tiba bekas Menteri Penerangan yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Mohamed Rahmat atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat ke rahmatullah pagi awal tahun 1 Januari 2010.

Pada sebelah petangnya pula ibu mentua saya pula pergi ke rahmatullah pada pukul 7.44.49 malam, sudah tentunya di tempat yang berlainan, jika Tok Mat mengembuskan nafasnya Di Damansara, ibu mentua saya di Kampung Rampayan Ulu Kota Belud Sabah.

Bagi sesiapa ahli atau mana-mana ahli UMNO yang tidak merasa ‘kehilangan’ arwah, mereka ini bukan sebagai pejuang UMNO!!!

Ini kerana jasa arwah pada negara amnya dan UMNO khususnya bukan sedikit, malah ‘darah’ dan semangat UMNO yang mengalir dalam tubuhnya selama ini adalah bukti bagaimana arwah begitu komited dalam perjuangannya, sama ada ketika aktif mahupun sesudah bersara.

Tok Mat berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri dan Presiden UMNO sepanjang empat dekad penglibatannya dalam kerajaan serta parti.

Pernah dilantik sebanyak dua kali sebagai Menteri Penerangan iaitu dari 1978 hingga 1982 semasa kepimpinan Tun Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 ketika kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tok Mat pernah terkeluar daripada Kabinet Dr. Mahathir tetapi dilantik tidak lama kemudian sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf Menteri dari 1982 hingga 1984.

Sebagai Duta Malaysia di Indonesia, saya dan kawan-kawan pelajar Malaysia masa itu sungguh sangat bertua mendapatkan seorang duta yang sangat faham tentang keperluan pelajar. Sebagai mantan pelajar Universiti Indonesia (UI) tahun 60-an, beliau sangat tahu sistem pendidikan Indonesia yang berasaskan sistem belanda itu.

Karier politik Tok Mat cukup hebat walaupun tidak berada dalam hierarki tertinggi dalam UMNO. Tetapi jawatan sebagai Setiausaha Agung UMNO sejak 1988 hingga 1996 dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dari 1988 sehingga 1999 patut dihormati dan disanjung tinggi.

Apa yang saya ingin berkongsi di sini adalah mengenai kemungkinan Tok Mat sudah dapat ‘menghidu’ yang beliau akan pergi buat selama-lamanya

Ini kerana baru-baru ini arwah baru saja menghasilkan sebuah yang berjudul UMNO: Akhir Sebuah Impian

Perkataan ‘akhir’ pada tajuk buku sudah cukup menggambarkan pada kita yang Tok Mat bagaikan dapat menduga yang ajalnya semakin hampir di penghujungnya.

Dalam buku itu, Tok Mat yang berpengalaman hampir 50 tahun dalam dunia politik, menceritakan pengalamannya bersama tokoh politik seangkatannya yang banyak berhadapan dengan pergolakan dan naik turun perjuangan dalam UMNO sejak dahulu lagi.

Saya difahamkan yang Perpustakaan Negara Malaysia akan membeli buku tersebut dan mengedarkannya ke perpustakaan desa seluruh negara supaya masyarakat desa juga dapat membacanya sejajar dengan kempen menggalakkan membaca di kalangan rakyat negara ini.

Petikan dalam buku Tok Mat "Apa yang paling penting sekali yang saya utarakan dalam buku ini ialah, UMNO itu tidak salah, tetapi hanya orangnya yang salah. Orang kata rakyat telah membenci UMNO... tidak, rakyat belum membenci UMNO sepenuhnya,"

Namun, katanya, satu perkara yang membimbangkan ialah apabila ada di kalangan anggota parti sejak dahulu yang secara terus-terusan melancarkan kempen membenci pemimpin.

"Ini merupakan satu budaya yang tak baik dalam UMNO dan pada hari ini orang mengatakan bahawa mereka telah benci UMNO, jangan salahkan rakyat kerana kita telah mengamalkan budaya tak baik ini hampir 40 tahun lalu," katanya dalam buku itu.

Tok Mat yang juga pernah memegang jawatan Setiausaha Agung UMNO dari tahun 1988 hingga 1996, berkata tiada seorangpun pemimpin UMNO yang terlepas daripada terkena tempias kempen membenci itu yang bertujuan menjatuhkan mereka.

Tok Mat berkata, selain perjuangan dalam parti UMNO, buku beliau turut menyentuh konsep 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dianggap satu idea yang cukup baik.

"Sudah lama rakyat negara ini berpecah dan menjadi perkara yang serius dan kita harapkan konsep 1Malaysia ini membolehkan rakyat kita duduk bersama.

"Marilah kita berfikir sebagai rakyat Malaysia, berperasaan sebagai rakyat Malaysia dan bertindak sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Bagi saya, apa yang diperkatakan oleh Tok mat seolah-olah satu lontaran perasaannya yang cukup dalam.

Dan atas semua yang ditulis oleh arwah, adakah ini bermakna beliau sendiri sudah dapat menghidu yang ajalnya sudah semakin tiba di penghujung?

Blog Apa Yang Tersirat tidak pasti…mungkinkah ini yang tersurat atau mungkin juga ini satu kebetulan.

Wallahualam.

Al-Fatihah. untuk Roh Tok Mat

Nota Tok Mat dilahirkan pada 4 Janurai 1938. Esok adalah hari jadinya yang ke 72 tahun.

No comments:

Blog Archive