Wednesday, November 04, 2009

Nizar News: Kali Ini Pula: Ada Yang Menyokong Dr Asri Ditangkap

Persatuan Kebajikan Al-Jamiatul Khairiah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin kelmarin.

Presidennya, Datuk Syed Hussein al-Habshee berkata, pihaknya menerima banyak rungutan dan aduan di kalangan ahlinya dan masyarakat setempat di Wilayah Persekutuan dan Selangor tentang ceramah yang pendekatannya disyaki beraliran Wahabi.

"Ramai yang mendesak agar persatuan membuat permintaan terhadap kerajaan supaya diambil tindakan bagi mengelak kekeliruan masyarakat setempat yang berpegang kepada mazhab Syafie," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Isnin lepas, Mohd. Asri ditahan oleh JAIS di Taman Sri Ukay, Hulu Klang kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah. Bagaimanapun, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor semalam tidak mendakwanya, sebaliknya Mohd. Asri hanya dikenakan bon jaminan JAIS sebanyak RM3,000.

Syed Hussein berkata, pendekatan yang disyaki Wahabi itu dikhuatiri akan memecah belah dan mengelirukan masyarakat khususnya generasi muda. "Kita tidak mahu sesiapa yang cuba menjadi jaguh keilmuan dengan mencetuskan kontroversi dan polemik melalui pendekatan bercanggah dengan mazhab yang diamalkan di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar diadakan muzakarah antara mufti-mufti berhubung pendekatan dan fahaman yang dibawa Dr. Mohd. Asri itu. "Mufti-mufti boleh membuat rumusan untuk membantu dan memberi panduan kepada umat Islam serta mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Perbincangan seterusnya adalah antara ilmuwan agama dengan Dr. Mohd. Asri sendiri," katanya. Syed Hussein berkata, apa yang berlaku seolah-olah sejarah berulang kembali kerana pada sekitar 2007, tiga tokoh ulama bermazhab Syafie dari Yemen juga tidak dibenarkan oleh Dr. Mohd. Asri berceramah tanpa tauliah di Perlis ketika beliau menjadi mufti negeri itu.

No comments:

Blog Archive