Monday, April 13, 2009

Kitaran

Di sekolah rendah dahulu, 15 minit sebelum pulang, cikgu darjah yang mengajar semua mata pelajaran: ilmu hisab, sejarah, ilmu alam , lukisan dan bahasa melayu menguji murid-murid dengan cara congak. Sesiapa saja yang dapat menjawab dengan cepat sebaik sahaja guru membaca soalan, maka murid itu dibenarkan pulang.

Saya, selalu dapat pulang dahulu, bukan kerana saya pandai, tetapi saya rajin menghafal apa yang diajar oleh guru. Tujuannya supaya, tiap hari saya dapat pulang awal. Di waktu malam sebaik selesai mengaji, saya bertiarap diatas bantal berlampukan lampu suloh minyak tanah, mencoba menghafal apa yang disalin dari papan hitam ke atas buku tulis pemberian kerajaan. Setelah lima tahun di sekolah rendah, saya mengambil peperiksaan darjah 6, nasib saya baik, saya lulus dan dapat sijil darjah 6.

Apabila ayah saya tahu, saya lulus darjah 6, sesampai dirumah, ayah saya menyapa saya dalam bahasa melayu, saya faham apa yang beliau maksudkan, tetapi saya tidak dapat menjawab, kerana saya tidak pandai bercakap bahasa melayu. Saya lulus peperiksaan darjah 6, hanya melalui pemahaman bahasa melayu dalam bentuk tulisan.

Ayah saya sanggup bayar lima ringgit tiap bulan dan masukkan saya ke Sekolah jambatan bahasa inggeris. Setelah setahun di Sekolah jambatan; saya diuji dan masih bernasib baik dapat lulus.

Berpindahlah saya ke sekolah menengah masuk form one. Di form one, perubahan budaya telah berlaku, jika dahulu ramai kawan-kawan saya sama kulit dengan saya, di form one setelah melihat kiri-kanan-depan-belakang Cuma saya dan 4 rakan lain mempunyai warna kulit yang sama. Bermulalah proses integrasi, asimilasi belum, kerana kita sempat pulang kampung jika sekolah cuti panjang. Bermulalah tanpa mengira warna kulit, duduk semaja semasa makan, semasa minum, tidur sebilik. Pada masa ini, kita belum mengenal apa itu polarisasi kaum, kita belum kenal bahawa kaum masing-masing hanya memperjuangkan kaum masing-masing,kerana pada masa itu, kita hidup masih berkonsepkan menang-menang. Petani dari kampung membawa hasil pertanian di Tamu besar tiap hari minggu, sebahagian bawaan itu jadi wang, sebahagian dibartertardekan. Begitu juga nelayan, ikan-ikan panggang, ikan yang masih bergolek, ikan yang matanya masih terang, sebahagian jadi wang, sedangkan sebahagian lagi dibartertradekan. Kaum yang berkulit kuning pula yang biasanya punya wang, akan berkurang wangnya, kerana berpindah kepada petani dan nelayan; tetapi yang menangnya: baldi, cangkul, sudu, lanjang (periuk), belanga, paku, tukul berkurangan ada yang jadi wang, tetapi juga ada yang jadi binatang ternakan seperti ayam, itik, burung tekukur dan sebagainya. Proses ini berjalan terus tanpa pernah berhenti, seolah-olah kitarannya memang demikian.

Setelah sibuk-sibuk, katanya mahu merdeka, orang-orang putih yang dipanggil tuan, datang bersama-sama mereka yang sama kulitnya dengan saya. Mereka yang berkulit sama dengan saya kata, kita mesti undi merdeka, ikut Tunku Abdul Rahman, kerana kalau tidak Sukarno akan tawan kita semua. Akhirnya Suruhanjaya Cobbold membuat kesimpulan, bahawa Borneo utara mahu merdeka. Kalau mahu merdeka,mesti ada parti, kerana tanpa parti, bagaimana rakyat memilih wakil mewakili mereka. Mereka yang sewarna kulit saya pada masa itu diwakili oleh Datu Mustapha Datu Harun, katanya keturunan Sultan Sulu dari Kepulaun Sulu. Saudara saudara yang menghuni kawasan yang berjauhan dengan laut di wakili oleh GS Sundang,kemudian oleh Donald Stephen. Sementara saudara saudara yang berkulit kuning di wakili oleh kaum mereka antara lain oleh Peter Lo. Bermulalah epsiode polarisasi kaum. Kaum-kaum dibahagi-bahagikan, supaya nampak cantik. Bermulalah politik kaum. Setiap kaum memperjuangkan kaum-kaumnya. Apabila pada suatu masa, penumpuhan hanya pada kaum belum menjamin kedudukan, maka proses mempertahankan kedudukan menular kepada keagamaan. Ada yang menjalankan pengislaman beramai-ramai, ada yang mendatangkan mubaligh agama Isa Al-maseh secara beramai-ramai dan dietmpatkan di pendalaman-pendalaman. Bermulalah bibit-bibit curiga mencurigai. Jika dahulu, semua kawan,sekarang jadi musuh. Jika dahulu boleh duduk semeja, tinggal serumah, sekarang tidak boleh lagi. Jika dahulu, pilih ketua, tidak perlu pertandingan, sekarang perlu. Jika dahulu tiada broker kepimpinan, sekarang perlu,jika dahulu tiada tauki politik, sekarang perlu. Jika dahulu bersalaman, salah seorang tidak perlu menunduk, sekarang perlu. jika dahulu, jika berjumpa pemimpin tangan tidak perlu didakapkan, dan diletakan betul-betul dipangkuan, sekarang perlu. Setelah proses ini berjalan sedemikan rupa, tanpa celah lagi, seolah-olah tanpa berpenghujung, maka dicanangkan pula Istilah Integrasi. Integrasi perlu demi perpaduan berbilang kaum. Integrasi perlu demi persefahaman antar agama. Integrasi perlu, demi keutuhan negara yang dihuni berbagai suku dan agama. Ada yang melaungkan, demi ketuannya sukunya, mengulang apa yang telah tertulis, tujuannya agar supaya sukunya bangkit melangkau suku lain.

Dunia berkembang terus, ilmu kedoktoran semakin canggih, sumber mendapatkan wang bertambah dan berbagai, sumber mendapatkan maklumat berbagai, sumber mendapatkan batuapi berbagai, sumber mendapatkan sokongan tersembunyi berbagai. Jika dahulu, jumlah anak Cuma 4, sekarang 8, jika dahulu kematian bayi tinggi, sekarang turun. Jika dahulu, ada kaum jumlahnya cuma minroti, sekarang telah 50:50. Jika dahulu kaum tertentu hanya menyokong kaum tertentu, sekarang tidak lagi, angin perubahan telah masuk. Jika dahulu perpecahan satu kaum tidak menonjol, sekarang sangat ketara. Jika dahulu patuh kepada tradisi dan taboo melanggarnya, sekarang tidak lagi. Jika dahulu ada yang sensitif dan haram disebut, sekarang tidak lagi.

Kitaran bulat yang senantiasa berpusing, sekarang tidak lagi berpusing. Kitaran yang bulat telah berubah kepada bentuk lain, apabila berputar ada saja yang terkait. Kaitan yang mengakibatkan orang lain geram,marah, bosan, dan dendam. Sedemikian rupa terjadinya perubahan yang membawa banyak mudarat daripada kebaikan. Berbagai bagai cara telah ditempoh untuk membendung kemudaratan ini. Ada cara berbentuk undang-undang, ada cara berbentuk pencegahan, ada cara berbentuk huluran, ada cara berbentuk hancaman, ada cara berbentuk janji manis, ada cara berbentuk kedudukan dan berbagai-bagai cara diketengahkan.

Proses perubahan perilaku ini tidaklah memakan masa yang panjang, cuma 50 tahun. Dalam masa setengah abad ini, sungguh banyak perubahan yang berlaku. Sayang, walaupun perubahan proses telah berlaku, tetapi mindset semasa memulakan polarisasi masih melekat disetiap sanubari.
Mampukan konsep One Malaysia, People First and Performance now mengatasi gejala ini. sama-sama kita tunggu, semasa meminta mandat baru.

No comments:

Blog Archive