Saturday, April 18, 2009

Idea dr Mahathir 20 tahun lalu - Kini satu realiti

Idea Mahathir 20 tahun lalu - Kini satu realiti
Oleh Rozaman Ismail dan Aznan Bakar

Tan Sri Musa Hitam sudah lama mengenali Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad malah pernah duduk dalam satu Kabinet sejak tahun 1974 lagi.
Musa juga pernah menjadi Timbalan kepada Dr. Mahathir sewaktu beliau dilantik menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981.
Walaupun `jodoh' Musa dalam kabinet Dr. Mahathir hanya berusia lima tahun, bekas Timbalan Perdana Menteri ini sempat melihat banyak sifat yang `menakjubkan' pada diri Dr. Mahathir.
Musa melihat kepelbagaian sifat Dr. Mahathir dari jurus pandang seorang Perdana Menteri, manusia biasa dan seorang kawan yang sama-sama berkecimpung dalam politik.
Pada masa yang sama Dr. Mahathir juga dilihatnya sebagai seorang yang degil, tidak sabar, terlalu bercita-cita tinggi, sukar mengaku kalah dan salah, gigih dan `provocator' .
``Mengaku kalah dan mengaku salah bukan karakter yang ada dalam diri Dr. Mahathir,'' kata Musa.
Dari satu sudut lain, Dr. Mahathir pada beliau memiliki sifat pemalu, lemah lembut, inovatif, pendengar yang baik, setia dan menghargai erti persahabatan selain sangat menyintai ilmu.
Sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah melakukan dua perkara besar kepada orang Melayu dan masyarakat Malaysia keseluruhannya.
Pertama beliau berjaya menukarkan mentaliti orang Melayu dan peranan orang Melayu keseluruhannya dalam masyarakat Malaysia.
Keduanya, Perdana Menteri berupaya mewujudkan satu kelas rakyat - kelas menengah yang bukan sahaja berskala besar tetapi juga dibentuk dengan jayanya yang sukar dilihat di negara-negara rantau ini atau kalangan negara membangun yang lain.
Dalam menukarkan mentaliti orang Melayu, Dr. Mahathir pada pandangan Musa menggunakan satu taktik yang jarang dan sukar digunakan oleh para pemimpin lain iaitu provokasi.
Perdana Menteri selama 22 tahun memegang tampuk pemerintahan negara tidak putus-putus mengkritik secara keras dan membuat pelbagai tuntutan melampau yang sehingga pada satu tahap ada orang Melayu menganggap beliau telah menghina kaum keturunannya sendiri.
``Banyak di antara kita yang marah kerana kritikan dan desakan yang dibuat sudah kelihatan seperti satu penghinaan kepada orang Melayu sendiri.
``Tetapi pada saya ia bukan penghinaan tetapi satu taktik provokasi Dr. Mahathir bagi membangkitkan kesedaran di jiwa orang Melayu.
``Kemarahan yang meluap-luap membuatkan orang Melayu bangkit dan berazam untuk membuktikan kritikan Perdana Menteri salah.
``Hasilnya dalam tempoh 20 tahun ini orang Melayu telah menjadi satu masyarakat yang berani berhadapan dengan cabaran khususnya di kalangan golongan muda dan terpelajar,'' katanya.
Golongan muda dan terpelajar yang berpeluang menikmati kemudahan pendidikan yang tidak terkira banyaknya pada zaman ini sedaya upaya mahu membuktikan pada Dr. Mahathir bahawa orang Melayu `bukan tidak bagus' dan hasilnya pada masa ini ternyata begitu positif.
``Banyak orang tidak nampak ..tetapi taktik provokasi Dr. Mahathir telah mendorong orang Melayu supaya menjadi bangsa yang berani menghadapi cabaran dan menjadi lebih maju daripada tahap yang ada sebelum ini,'' katanya.
Musa turut melihat satu lagi sumbangan besar Dr. Mahathir iaitu mewujudkan golongan kelas menengah yang begitu besar di sebuah negara yang baru mencapai 46 merdeka.
Walaupun kelas menengah di negara ini telah wujud sejak negara mencapai kemerdekaan dan ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan, ia tidaklah sebesar yang ada sekarang.
Dulu kata Musa, golongan kelas menengah di negara ini dikuasai oleh satu golongan tertentu sahaja iaitu golongan comprador iaitu kalangan para peniaga dan tauke-tauke bagi orang Cina, kalangan profesional seperti peguam dan doktor bagi masyarakat India dan pegawai-pegawai kerajaan bagi orang Melayu .
Ia juga ia tidak begitu besar dan kelihatan berpetak-petak.
Tetapi hasil pembangunan selama 20 tahun yang begitu pesat itu, Dr. Mahathir berjaya mewujudkan satu kelas menengah yang begitu besar tanpa mengira keturunan.
``Ia tidak mengenal keturunan dan melibatkan semua kaum semua peringkat sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dayak.
``Mereka adalah golongan terpelajar yang cara berfikir, kehendak serta cita rasa adalah sama dan tidak berpetak-petak lagi.
``Mereka mempunyai mentaliti yang sama, ingin kereta kedua, hantar anak-anak ke sekolah yang baik, bermain golf, bercuti, beriadah. Dengan kata lain: They speak the same language,'' ujarnya.
Kewujudan kelas menengah ini memberi makna yang besar kepada masyarakat dan negara ini sendiri khususnya bagi orang Melayu seperti menjadikan mereka lebih positif dan boleh menghadapi dan menyahut cabaran.
Mereka juga sudah mempunyai kematangan berfikir yang sekali gus membawa kepada kesedaran dalam berpolitik.
``Suka atau tidak kewujudan kelas menengah yang begitu besar dalam masyarakat Malaysia pada hari ini telah mewujudkan satu kumpulan yang `apolitical' atau yang tidak peduli dan kisah pada politik.
``Bagaimanapun apabila tiba masanya untuk menggunakan hak mengundi bagi menentukan untung nasib negara mereka akan menggunakan sepenuhnya.
``Lebih menarik lagi apabila timbul sesuatu isu mereka akan keluar menyuarakan pandangan tetapi bukan dengan cara berdemonstrasi yang boleh membawa kepada kekacauan tetapi dengan cara yang lebih matang dan sofistikated menerusi memorandum atau petisyen.
``Berbeza dengan era 60-an dan 70-an, hasil bercampur dengan kelas bawahan mereka akan keluar beramai-ramai berdemonstrasi, membawa sepanduk membuat bantahan yang kadang kala bertukar menjadi rusuhan perkauman sehingga menjadi ancaman kepada keselamatan,'' katanya lagi.
Musa mengambil contoh bagaimana kelas menengah Malaysia pada masa ini memberi respons kepada langkah kerajaan mahu memperkenalkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sedikit masa dahulu.
``Kalau dulu cendekiawan-cendekiawan Melayu akan adakan mesyuarat, tetapi sekarang mereka sain petisyen atau memorandum bagi nyatakan pandangan mereka.
``Pada saya ini adalah implikasi daripada kemajuan serta kematangan politik golongan kelas menengah ini yang ternyata telah memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan negara secara keseluruhannya.''
Musa melihat kewujudan kelas sedemikian penting dalam mengukur kejayaan dan kemajuan sesebuah masyarakat.
Sesebuah negara yang kelas piramidnya hanya terdiri daripada kelas atasan dan kelas bawahan seringkali berhadapan dengan pergolakan politik dan keganasan sebagaimana yang berlaku di negara-negara Afrika dan Amerika Latin.
``Inilah satu legacy yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir yang memberi makna yang begitu besar kepada kestabilan negara,'' ujarnya.
Sebagai seorang ahli politik, pada Musa, Dr. Mahathir adalah super politician.
``Dr. Mahathir mahir dan tahu bila perlu bertindak dan jangan sesekali melawan dia kerana bila Dr. Mahathir bertindak....habislah kau...
``Beliau juga tidak pernah mengalah, berani buat dan berani menanggung risikonya.
``Bagi saya dia super politician kalau tidak masakan dia boleh hidup begitu lama dalam politik.
``Saya ni minor politician dibandingkan dengan dia. Saya sempat lima tahun je,'' katanya.
Sebagai manusia biasa pula Dr. Mahathir pada Musa adalah seorang yang pemalu dan lembut tutur bicaranya yang seringkali disalah anggap sebagai satu kelemahannya.
Itulah pandangan tipikal kebanyakan orang tetapi sebenarnya tidak.
``Beliau adalah seorang yang `degil' Apabila beliau telah buat satu-satu keputusan, beliau tidak akan berganjak.
``Inilah salah satu kelemahan yang juga satu kekuatan beliau. Dr. Mahathir tidak akan berganjak kecualilah bagi kes-kes ekstrem.
Lebih 90 peratus keputusan Dr. Mahathir pada ingatan Musa, kekal dan tidak berubah..
``Kalaupun dia salah, jarang sekali dia berkata : ``Maaflah saya salah.''
Dengan kata lain mengaku salah dan mengaku kalah ialah satu karakter yang tidak ada pada Dr. Mahathir.
Karakter-karakter inilah yang menjadi Dr. Mahathir seorang yang berjaya dalam politik sama ada dalam negara mahu pun di peringkat antarabangsa.
Mahathir juga seorang yang gigih, tekun dan `selagi tak dapat selagi itulah dia ingat. Orang lain mungkin boleh lupa tetapi Dr. Mahathir tidak.
Musa mengimbas kembali satu peristiwa pada satu mesyuarat kabinet bagaimana Dr. Mahathir menegur seorang menteri kabinet mengenai kedudukan barisan tiang lampu yang tidak lurus.
Pada minggu depannya menteri terlibat memaklumkan kepada Dr. Mahathir, masalah itu telah diatasi.
Pada mesyuarat kabinet berikutnya, Dr. Mahathir sekali lagi memperingati menteri berkenaan bahawa kedudukan tiang lampu itu masih belum lurus.
Ini menunjukkan bahawa dia seorang yang bersungguh-sungguh. Dia akan bertanya sampai perkara itu diselesaikan.
Dr. Mahathir juga kata Musa, seorang yang sentiasa terlibat secara langsung (hands on) dan teliti.
Musa menceritakan pernah pada satu mesyuarat kabinet, Dr. Mahathir mengedarkan satu bungkusan kecil yang dibalut rapi.
Semua menteri kabinet kelihatan seperti kebingungan dan saling memandang antara satu sama lain.
``This is the way you wrapped thing,'' kata Dr. Mahathir ringkas yang sekali gus membuktikan dia seorang pemerhati dan peneliti selain inovatif.
Beliau selalu menggunakan contoh-contoh yang ada untuk diperbaiki dan dimajukan.
Beliau jugalah yang melontarkan idea `Muslim toilet' tandas untuk orang Islam sebagaimana terdapat di PWTC sekarang ini dan di hotel-hotel bertaraf bintang.
Sebagai pendengar yang baik, beliau akan mendengar apa-apa sahaja idea yang dilontar selain menghargainya dan mana-mana yang baik akan dilaksanakan.
``Dengan kata lain dia seorang pendengar yang baik kepada idea-idea baru,'' ujar Musa.
Sebagai seorang kawan, Dr. Mahathir meletakkan batas yang membezakan antara kawan politik dan kawan peribadi.
Perkara itu dibuktikan apabila beliau sudi hadir ke majlis perkahwinan anak Musa walaupun ketika itu mereka `tengah hangat berperang dalam politik.'
Dr. Mahathir juga dilihat sebagai seorang yang amat setia pada persahabatan dan apabila beliau menghormati seseorang, beliau akan memberi penghormatan yang begitu tinggi.
``Sekali beliau rasa seseorang itu baik, dia akan mempertahankannya bermati-matian,'' kata Musa.
Perdana Menteri juga menurut Musa adalah `one man show.' Itu bukan satu kejian tetapi satu pujian untuk beliau. Barangkali Dr. Mahathir tidak suka tetapi hakikatnya begitulah.
Apa tidaknya kata Musa, Mahathir yang mengeluarkan idea, melaksanakannya dan terlibat secara langsung dan kalaupun bukan dia yang buat, dia akan pastikan ia dilaksanakan.
Idea-ideanya pula sangat menakjubkan dan kebanyakannya dikeluarkan pada peringkat awal beliau menjadi Perdana Menteri.
Hari ini kalau dibandingkan dengan apa yang beliau ucapkan 20 tahun dahulu kebanyakannya sudah menjadi kenyataan.
``Kira-kira 20 tahun dahulu Dr. Mahathir dah bercakap mengenai Sodom dan Gomorrah pasal penyakit AIDS dan sekarang kita baru faham pasal AIDS.
``Samalah dengan perkembangan teknologi komputer yang pernah disuarakan oleh Dr. Mahathir pada tahun 80-an dahulu dan kini terbukti sudah menguasai sebahagian besar kehidupan masyarakat kita pada masa ini.''
Perkara-perkara itu kata Musa, pernah disebut dan dibayangkan oleh Dr. Mahathir dan menjadi kenyataan akhirnya.
Dr. Mahathir juga terlalu bercita-cita tinggi dan tidak sabar. Bak kata Musa, dia mahukan sesuatu dilaksanakan dengan segera.
``I want to be done yesterday'' itulah pemikirannya yang terlalu ke hadapan dan ideanya sentiasa mencurah-curah .
``Setiap hari ada sahaja tembakan idea daripada Dr. Mahathir sehingga menjadikan para pengikutnya terkejut dan keliru,'' kata Musa.
Justeru tidak hairanlah kadang-kala Dr. Mahathir menjadi kecewa dengan pengikut-pengikut serta pelaksana-pelaksana di belakangnya yang dianggap terlalu perlahan.
Segala idea yang menakjubkan itu kata Musa diperoleh hasil daripada mentelaah dan pergaulan sejagat.
Oleh itu kata Musa, untuk menjadi pemimpin seseorang itu tidak boleh jahil dan menjadi seperti `katak di bawah tempurung.'
``Saya bimbang, generasi sekarang lebih ghairah nak atur strategi politik bagi mendapatkan dan mempertahankan kuasa tanpa memberi banyak masa membuat persediaan yang diperlukan untuk berada di peringkat yang lebih tinggi.
``Saya takut akibat keghairahan yang melampau ini mereka sudah tidak ada lagi kekuatan untuk mengekalkan kuasa yang ada.
``Segala apa yang telah Dr. Mahathir perlakukan kepada orang Melayu dan masyarakat Malaysia akan menjadi legacy yang akan dikenang oleh sejarah dan masyarakat.''

No comments:

Blog Archive