Saturday, April 11, 2009

Di Kampung Dahulu

Dahulu di kampung, apabila ada orang meninggal, tidak lagi terhad kepada sebahagian orang yang menguruskan jenazah, tetapi sekampung datang membantu mengurus. Mengurus dalam ertikata, mengurus. Si Aling, tebang pokok kapok dengan kapak yang dibawa bersamanya, sementara si matiyu, si bagissan, si buaya dan ramai lagi menghunus parang mula memotong kayu kapok yang besar itu dalam ukuran 6 kaki lalu dibentuk kepingan papan. Pokok kapok yang ditebang oleh si Aling itu, betul-betul tumbuh didepan rumah si mati. Pokok kapok yang paling besar kelilingnya itu yang ditebang dahulu, sedangkan yang kedua dan ketiga besar, ditebang kemudian kalau gilirian seterusnya tiba.

Sementara kelompok si Aling sibuk menggubah kayu kapok kepada papan, kelompok si Atan pula sibuk mencari pokok pisang untuk dijadikan batangan kepada mayat semasa dimandikan. Pasukan si Atan yang lain, sibuk mencari buah pisang, buah nangka dan ada yang membawa jalanya menjala ikan kolam, karuk, pait, sapat, kambura dan sebagainya.

Tidak lama kemudian, pasukan si lada datang dengan membawa bambo tiga batang seorang. Ada bambo yang sudah tua dan bambo yang masih muda. Sementara pasukan si Kalbee telah pagi-pagi lagi telah berangkat ke kuburan dengan cangkul dan sudu masing-masing. Tujuannya menyiapkan kubur berukuran 6 kaki dengan kedalaman 7 kaki sebelum jenazah tiba.

Di halaman rumah, di bawah rumah nampak semua punya pekerjaan masing-masing. Mereka menyiapkan satu misi/target yang perlu disiapkan sebelum waktu zohor tiba. Yang menariknya, semua kerja-kerja ini berjalan dengan lancar tanpa ada pengarah, penyelia atau mandor.

Setelah sembayang zohor dan seterusnya sembayang jenazah, kurungan mengusong jenazah telah siap, papan keranda berukuruan segitiga telah siap. Jenazah yang dimandikan dipapah dan diletakkan elok-elok dalam kurungan yang berbentuk separuh bulat tetapi memanjang dan diselangkan dengan bambo menjulur 4 kaki disetiap sisi yang melintang dibawahnya bagi menyenangkan si pemikul mengusong jenazah ke diestinasinya yang terakhir.

Dikuburan, setelah jenazah dimasukkan ke liang lahad lalu ditimbus dan seterusnya ditalkinkan Setelah proses ini selesai, maka kubur itu ditandakan dengan linsam, jika lelaki satu batang linsam, jika wanita dipasang dua batang linsam. Dibahagian kepala: linsam lebih besar dibanding sebelah kaki. Setelah proses ini selesai, maka dibahagian kepala diletakkan mayang pinang dan, buku bamban. Kerja seterusnya adalah mendirikan barong-barong atau sulap yang beratapkan nifah yang baru dihanyam. Bermulalah penantian tujuh hari bagi keturunan orang biasa dan 40 hari yang berketurunan dato atau sharif.

Di kampung sekarang; Senerio ini jarang kelihatan. Sesiapa yang menghadapi musibah hanya kelihatan keluarga terdekat yang sibuk membuat keranda yang telah berubah bentuknya kepada empat segi. Pokok kapok tidak pernah nampak lagi,kerana pokok ini telah pupus. Kayu kapok diganti dengan papan seraya yang dibeli di kilang papan. Tempat memapah jenazah, bukan lagi daripada bambo, tetapi berubah kepada besi seperti jeruji rumah. Pasukan si Aling, si Atan Si lada dan si Kalbee, tiada lagi, yang ada Cuma pasukan keluarga yang kehilangan keluarga tercinta.

Sistem dahulu di kampung berubah, kerana bermunculannya kelompok-kelompok berahli yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan, kerana kelompok-kelompok ini hanya suka bekerja dengan ahli ahli yang bernafas sahaja, ahli-ahli yang pandai memangka, ahli-ahli yang pandai mengangguk, ahli-ahli yang pandai mengangkat tangan dan ahli-ahli yang yang pandai angkat kaki.

No comments:

Blog Archive